Makan di khalayak ramai ketika Ramadan bukan hak asasi

 

Ramadhan adalah bulan yang mulia. Segala ibadah di dalamnya mengarah kepada memperkukuhkan ikatan hamba dengan Tuhannya dan memperbaiki hubungan sesama manusia.

Halangan utama yang kita hadapi ialah penguasaan hawa nafsu terhadap diri kita selama sebelas bulan yang lalu cuba kita gilirkan dengan kita pula yang mengawal hawa nafsu untuk kali ini di dalam bulan Ramadhan yang mulia ini.

Jika ia berhasil, akan lahir watak hamba yang paling unggul iaitu hamba Allah yang paling taat kepada Tuhannya dan manusia yang berkasih sayang, saling menghormati sesama manusia.

Inilah sebenarnya yang perlu difahami oleh pejuang hak asasi manusia, jika benar-benar ia berjuang untuk mengembalikan hak yang tulin ini kembali kepada manusia. Manusia berhak untuk menentukan keputusannya sendiri dalam keadaan sedar bahawa ia adalah hamba kepada Penciptanya dan membebaskan diri dari belenggu hawa nafsu yang selalu memenjarakannya daripada bebas menunaikan segala perintah Tuhannya.

Dengan lain perkataan, manusia tidak dapat menikmati hak asasinya sebagai hamba kepada Tuhan yang menganugerahkan kepadanya kehidupan dengan melakukan segala perintah Tuhannya disebabkan dipenjarakan oleh hawa nafsunya. Maka ia perlu dibebaskan!

Allah menciptakan manusia sebaik-baik kejadian, terletak antara, ibadatnya para malaikat yang tiada pengaruh nafsu dan serakahnya haiwan yang menurut hawa nafsu. Maka Allah kurniakan iman dan aqal untuk mengawal hawa nafsu dan hawa nafsu terkawal ini digunakan pula untuk membangunkan kehidupan.

Puasa di dalam bulan Ramadhan adalah salah satu bentuk revolusi membebaskan manusia daripada hamba hawa nafsu kepada hanya menjadi hamba Allah. Mengapa di bulan Ramadhan? Allah memilih umat Islam di seluruh dunia termasuk 60% umat Islam di Malaysia melakukan ibadah puasa ini serentak di dalam bulan Ramdhan kerana keberkesanan revolusi ini terserlah jika ia dilakukan secara serentak.

Saranan supaya jangan mempertikai hak asasi samada turut berpuasa di dalam bulan Ramadhan atau tidak adalah amat janggal jika dilihat kepada falsafah dan maqasid mengapa orang Islam wajib berpuasa beramai-ramai di dalam bulan Ramadhan iaitu mengembalikan hak asasinya untuk taat kepada Tuhan yang menciptakannya.

Galakan supaya wanita-wanita yang tidak boleh berpuasa untuk bebas makan di khalayak ramai secara terbuka di restoran adalah satu galakan untuk saling tidak menghormati kehendak majoriti hamba-hamba Allah yang sedang berusaha untuk kembali memperolehi hak asasinya sebagai hamba Allah yang tulin.

Hak asasi majoriti dan pilihan mereka adalah lebih utama untuk dahulukan seperti mana umat Islam sedia untuk patuh terhadap undang-undang setempat di mana umat Islam hanyalah minoriti. Ada sesetangah negara tidak membenarkan azan dilaungkan, bahkan ada beberapa negara yang menghalang masjid dibina dan beberapa halangan lagi. Umat Islam di negara-negara berkenaan tetap akur dengan segala peraturan yang sedang berkuatkuasa.

Banyak negara telah memperkanunkan kesalahan makan dan minum di khalayak ramai di dalam bulan Ramadhan seperti Maghribi, Kuwait, Arab Saudi , Iraq pada satu masa dahulu begitu juga Mesir.

Negeri-negeri di Malaysia juga memperuntukan denda bagi kesalahan makan di khalayak ramai. Di Negeri Perak, Enakmen Jenayah (Syariah) 1992, Bahagian Iv – Kesalahan Berhubungan Dengan Maruah Agama Dan Institusinya. Dalam Seksyen 24 di bawah tajuk Tidak menghormati Ramadhan.

Seseorang yang pada siang hari di dalam bulan Ramadhan;

(a) Menjual apa-apa makanan, minuman atau tembakau kepada seseorang yang beragama Islam untuk dimakan, diminum atau dihisap dengan serta merta; atau

(b) Dengan terang-terang atau di tempat awam didapati sedang makan, minum atau menghisap tembakau, adalah melakukan suatu kesalahan dan hendaklah, apabila disabitkan, dikenakan hukuman denda tidak melebihi satu ribu ringgit atau penjara selama tempoh tidak melebihi enam bulan dan bagi kesalahan yang kedua atau yang berikutnya hukuman denda tidak melebihi dua ribu ringgit atau penjara selama tempoh tidak melebihi satu tahun atau kedua-duanya.

Perkara ini selaras dengan perlembagaan negara Perkara 3: (1) Agama Islam ialah agama bagi Persekutuan; tetapi agama-agama lain boleh diamalkan dengan aman dan damai di mana-mana bahagian Persekutuan. Bila disebut sebagai agama Persekutuan, maka kedudukannya adalah lebih tinggi daripada agama yang lain. Maka, kita boleh meminta kerajaan untuk mempertahankan Islam.

Bukan isunya kuat iman ataupun tidak untuk kita tidak membenarkan orang Islam makan di khalayak ramai siang hari di dalam bulan Ramadhan tetapi ia sebagai menghormati majoriti umat Islam lain yang sedang berpuasa dan menghormati bulan Ramadhan yang mulia ini bahkan ia telah diperakui oleh undang-undang dan termasuk di dalam senarai perkara yang saling difahami oleh penduduk yang bukan beragama Islam.

Bagi orang Islam ia merupakan satu bentuk istihanah penghinaan kepada syiar dan syariat agama dan menimbul rasa kemarahan kepada umat Islam yang lain.

Nabi SAW bersabda: Setiap umatku dimaafkan dosanya kecuali orang yang membuatnya secara terang-terangan. (HR Al-Bukhari dan Muslim)

Sahibus Samahah Ustaz Zamri Hashim
Timbalan Mufti Perak

www.indahnyaislam.my

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published.



Sumbangan
Related Posts