Malaysia kecewa PBB gagal henti keganasan Israel

 

KUALA LUMPUR– Malaysia mengulangi kekecewaannya terhadap ketidakmampuan Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang gagal menghentikan keganasan Israel terhadap penduduk Palestin, kata Menteri Luar Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein.

“Ini merupakan sesi ketiga Majlis Keselamatan PBB dalam minggu ini dan masih belum ada satu kenyataan yang dikeluarkan mengenai situasi semasa di Palestin,” katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Disebabkan tiada sebarang tindakan daripada Majlis Keselamatan PBB, beliau berkata Malaysia, selaras dengan kenyataan bersama Brunei dan Indonesia mendesak Perhimpunan Agung PBB untuk segera mengadakan Sesi Khas bagi menghentikan konflik di Palestin.

“PBB perlu mendesak Israel mematuhi undang-undang antarabangsa serta Piagam PBB,” tambahnya.

Beliau berkata demikian semasa perbahasan terbuka Majlis Keselamatan PBB secara sidang video mengenai keadaan di Timur Tengah pada Ahad, Malaysia turut menggesa Majlis Keselamatan PBB untuk melaksanakan tanggungjawab utamanya bagi memastikan situasi keselamatan dan keamanan di rantau itu.

Malaysia juga mahu pihak Majlis Keselamatan PBB menggunakan mekanisme sedia ada bagi mengelak berlakunya keganasan dan kehilangan lebih banyak nyawa di Palestin.

Malaysia juga menekankan tiga perkara penting di VTC Majlis Keselamatan PBB, pertama Majlis Keselamatan PBB perlu bertindak segera dan memikul tugasnya yang termaktub di bawah Piagam PBB.

Kedua, Malaysia mendesak Majlis Keselamatan PBB bertegas dan bersatu suara serta bertindak pantas terhadap siri serangan oleh rejim Israel;

Ketiga, Malaysia juga menyeru Majlis Keselamatan PBB untuk mengkaji semula cadangan yang terkandung dalam laporan Setiausaha Agung pada 2018, A / ES-10/794, mengenai penempatan pasukan bersenjata PBB atau pemerhati tidak bersenjata bagi meningkatkan perlindungan ke atas rakyat Palestin.

Hishammuddin berkata Malaysia tidak akan sesekali mengiktiraf tindakan pencerobohan dan rampasan tanah milik rakyat Palestin oleh Israel bagi tujuan perluasan penempatan haram mereka, dan menambah bahawa Malaysia turut mengutuk sekeras-kerasnya pengusiran rakyat Palestin daripada kediaman mereka, termasuk yang menetap di kawasan Sheikh Jarrah dan Silwan di Baitulmaqdis.

“Sekali lagi, Malaysia mengutuk sekeras-kerasnya serangan dan pencerobohan berterusan oleh tentera Israel serta pengusiran rakyat Palestin dan umat Islam yang sedang beribadah di Masjid Al-Aqsa,” katanya.

Jumlah kematian akibat serangan Israel di Semenanjung Gaza pada Ahad meningkat kepada 197, termasuk 58 kanak-kanak dan 34 wanita, menurut Kementerian Kesihatan Palestin. Jumlah yang cedera telah mencecah 1,235 orang, sementara banyak bangunan musnah atau rosak.

Ketegangan baru-baru ini yang bermula di Baitulmaqdis Timur pada bulan Ramadan merebak ke Gaza setelah para pejuang Palestin di sana berjanji akan membalas serangan Israel terhadap Masjid Al-Aqsa dan Sheikh Jarrah jika serangan mereka tidak dihentikan.

Israel menduduki Baitulmaqdis Timur, lokasi Al-Aqsa berada, semasa perang Arab-Israel 1967. Ia menceroboh seluruh kota pada 1980 dalam tindakan yang tidak pernah diiktiraf oleh masyarakat antarabangsa. – Bernama

www.indahnyaislam.my

—-—

Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam:

www.indahnyaislam.my/Sumbangan-Indahnya-Islam

PERSATUAN INDAHNYA ISLAM
5622 6352 7695 (Maybank Islamik)

Total
0
Shares
1 comment
  1. Alhamdulillah Malaysia terus beri tekanan kepada PBB sehingga berjaya jangan takut dengan kuasa kuasa besar takut hanya kepada Allah sahaja inshaAllah akan dipermudahkan. Dengan mempertahankan masjid alaqsa dan Palestin juga seperti mempertahankan maruah Malaysia

Leave a Reply

Your email address will not be published.



Sumbangan
Related Posts