Malaysia kutuk tindakan pihak berkuasa Sweden benar lelaki bakar al-Quran

Kuala Lumpur: Malaysia mengutuk sekeras-kerasnya tindakan pihak berkuasa Sweden kerana memberikan kelulusan kepada individu untuk melakukan tindakan provokatif dengan membakar al-Quran di sebuah masjid di Stockholm, semalam.

Menteri Luar Datuk Seri Zambry Abdul Kadir berkata, tindakan itu ternyata menyinggung perasaan umat Islam di seluruh dunia ketika sambutan Aidiladha.

“Tindakan itu ternyata mencemarkan kitab suci dan ia sekali gus melanggar prinsip untuk menghormati dan memahami semua agama dan kitab suci masing-masing.

“Keputusan oleh mahkamah Sweden bukanlah satu langkah progresif dalam usaha kita bagi meningkatkan rasa hormat dan persefahaman untuk kebaikan bersama,” katanya dalam Twitter hari ini.

Semalam, seorang lelaki berasal dari Iraq bertindak membakar al-Quran di luar sebuah masjid di Stockholm, Sweden sehingga mencetuskan kemarahan Turkiye ketika Sweden berusaha untuk menyertai Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (Nato).

Perbuatan biadap itu dilakukan oleh dua lelaki di luar masjid utama di ibu negara Sweden menjelang sambutan Aidiladha.

Lapor Daily Mail, kira-kira 200 penduduk menyaksikan perbuatan Salwan Momika yang membakar kitab suci itu. Pada mulanya, Salwan dilihat mengoyakkan beberapa helaian al-Quran sebelum mengelap kasutnya.

Dia kemudian meletakkan hirisan bacon (daging babi) sebelum membakar kitab suci umat Islam itu. Sementara seorang individu yang bersama Salwan pula dilihat melaungkan kata-kata menggunakan alat pembesar suara.

Insiden itu berlaku selepas polis meluluskan permit yang membenarkan lelaki itu melakukan perbuatan demikian.

Dilaporkan, dua minggu lalu mahkamah rayuan Sweden menolak larangan polis terhadap protes membakar al-Quran yang menimbulkan kemarahan dalam kalangan umat Islam di seluruh dunia. – My Metro

www.indahnyaislam.my

—-—

Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam:

www.indahnyaislam.my/Sumbangan-Indahnya-Islam

PERSATUAN INDAHNYA ISLAM

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *



Sumbangan
Related Posts