Malaysia #QuranHour dapat sokongan padu umat Islam

 

KUALA LUMPUR – Bacaan ayat-ayat suci al-Quran bergema di masjid dan surau di seluruh negara sempena program Malaysia #QuranHour semalam yang mendapat sokongan padu umat Islam.

Program edisi ketiga itu mencatat sejarah baharu kerana secara rasminya melibatkan 1,670 lokasi di seluruh negara serta 12 lokasi di luar negara dengan lebih dua juta rakyat negara ini dari pelbagai peringkat usia mengalunkan ayat-ayat suci secara serentak selama sejam bermula pukul 12 tengah hari.

Bertemakan Bangsa Berbudi dan Penyayang, program itu diadakan secara besar-besaran di Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin di Putrajaya serta di negeri-negeri seluruh negara termasuk perpustakaan, universiti dan pusat beli-belah.

Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah berkenan berangkat menyertai kira-kira 5,000 orang yang berkumpul di masjid berkenaan untuk menjayakan program meliputi tadabbur dan tazakkur, solidariti ngaji, Bacaan 24 Surah oleh 24 Tokoh dan Doa ‘Malaysia Berbudi dan Penyayang’ sebelum menunaikan solat zuhur berjemaah serta beramah mesra dengan para hadirin.

 

Ustaz Amiruddin dari Indahnya Islam bersalaman dengan Sultan Nazrin Muizzuddin Shah.

Hadir sama pada majlis anjuran Yayasan Warisan Ummah Ikhlas dan Kumpulan Media Karangkraf dengan kerjasama Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dan Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin itu ialah Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr. Zambry Abdul Kadir; Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom dan Ketua Pengarah Jakim, Datuk Othman Mustapha.

 

Ustaz Amiruddin dari Indahnya Islam bersama Timbalan Mufti Negeri Perak, Sahibus Samahah Ustaz Zamri Hashim.

Di ALOR SETAR, ribuan umat Islam menyertai program itu yang diadakan di beberapa lokasi antaranya Masjid Bukhary yang turut disertai Timbalan Mufti, Syeikh Marwazi Dziyauddin dan dimulakan dengan bacaan surah al-Fatihah diikuti lima ayat terawal surah al-Baqarah serta surah-surah lain.

Di Perbadanan Perpustakaan Awam Kedah (PPAK) pula, majlis yang turut disertai Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan, Kesenian, Kebudayaan dan Warisan dan Badan-Badan Bukan Kerajaan (NGO) Kedah, Datuk Aminuddin Omar dimulakan kira-kira pukul 11.45 pagi dengan ceramah disampaikan Pencetus Ummah (PU) Musim Kedua, Mohamad Azraie Mohamad Yunus.

Di IPOH, program di Masjid Sultan Azlan Shah, Jalan Musa Mahadi di sini menarik minat golongan muda apabila lebih separuh daripada 1,000 peserta yang mengambil bahagian terdiri daripada pelajar sekolah dan tahfiz selain kakitangan kerajaan dan orang awam yang membaca al-Quran dalam kira-kira 100 halaqah atau kumpulan.

Program sama turut berlangsung di Universiti Teknologi Mara (UiTM) disertai lebih 200 pelajar dan kakitangan di kampus di Seri Iskandar selain anjuran secara persendirian termasuk oleh Yayasan Bina Upaya (YBU), Bank Pertanian serta di peringkat sekolah antaranya Sekolah Tunas Bakti Taiping dan Sekolah Kebangsaan Sungai Sumun di Bagan Datuk.

Rumah Ngaji Perak tidak ketinggalan mengadakan program sama di beberapa lokasi di seluruh negeri antaranya di Arena Square, Tualang Sekah di Malim Nawar, Kuala Kangsar, Kampun Gajah, Sitiawan dan di Teluk Intan.

Di KOTA KINABALU, kira-kira 200 orang menyertai program yang berlangsung di Masjid Universiti Malaysia Sabah (UMS) yang turut diselitkan Majlis Tadarus Khatam al-Quran Perdana.

Walaupun dianjurkan pada waktu bekerja, rata-rata kakitangan, mahasiswa UMS serta orang ramai turut memeriahkan majlis tersebut yang dimulakan dengan ceramah bertajuk Meraih Syafaat al-Quran yang disampaikan oleh Penolong Pengarah Jakim negeri, Alamin Majok diikuti bacaan al-Quran yang dipimpin oleh Pegawai Hal Ehwal Islam Kanan merangkap Ketua Imam Masjid UMS, Md. Razali Saibin.

Di MELAKA, kira-kira 1,400 peserta dari pelbagai peringkat umur menyertai program peringkat negeri di Masjid Al-Azim, Bukit Palah dengan peserta terdiri daripada penjawat awam, pelajar sekolah rendah dan menengah, guru-guru Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) serta pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

Majlis bermula pukul 9 pagi itu didahului dengan solat duha di­ikuti tadarus al-Quran serta sesi ceramah tadabbur al-Quran dan khatam al-Quran secara beramai-ramai dimulakan kira-kira pukul 12 tengah hari yang dipimpin oleh Imam Besar Masjlid Al-Azim, Datuk Mohamad Hashim.

Di KANGAR, dianggarkan lebih 10,000 orang yang terdiri daripada agensi-agensi kerajaan dan pelajar-pelajar sekolah mengambil bahagian dalam program itu termasuk yang diadakan di Masjid Syed Alwi dan turut dihadiri Menteri Besar, Datuk Seri Azlan Man dan Mufti Perlis, Prof. Madya Datuk Dr. Mohd. Asri Zainul Abidin yang dimulakan dengan bacaan surah al-Hujuraat dan diakhiri dengan terjemahannya.

Di Masjid Sultan Iskandar, Bandar Dato’ Onn, JOHOR BAHRU pula, program yang turut diisi dengan ceramah agama berkaitan keberkatan membaca al-Quran disertai kira-kira 1,500 orang terdiri daripada kariah masjid dan surau di sekitar bandar raya ini, pelajar, kakitangan jabatan dan agensi kerajaan, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) serta individu dengan dibimbing oleh Imam Ellyeen Amineen.

Di KUCHING, umat Islam yang sedang membeli-belah untuk persiapan Aidilfitri di Majma` Mall, Kompleks Islam Sarawak di sini terpegun mendengar bacaan kitab suci al-Quran disampaikan oleh lebih 300 peserta terdiri daripada pelajar sekolah, Kolej Sidma Sarawak, Madrasah Islamiah dan Institut Perguruan (IPG) Batu Lintang, kakitangan Kompleks Islam Sarawak dan para peniaga di situ.

Orang ramai juga berpeluang mendengar tazkirah yang menyentuh tema Bangsa Berbudi dan Penyayang disampaikan oleh Timbalan Imam negeri, Mohammad Ihsan Haidzir dan menghayati bacaan al-Quran dipimpin oleh guru al-Quran dari Majlis Agama Islam Sarawak (MAIS), Morshidi Salleh.

Program sama turut diadakan di Pustaka Negeri Sarawak, SMK Bako dan Pusat Maklumat Islam (IIC) Sarawak serta Universiti Teknologi Mara (UiTM) di Kota Samarahan dan Mukah.

Di SHAH ALAM, lebih 700 orang terdiri daripada peserta Tadarus Perdana Muballighat, pelajar dan orang awam membanjiri Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah menyertai program itu yang turut meliputi majlis khatam al-Quran secara beramai-ramai. – Utusan

www.indahnyaislam.my

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *



Sumbangan
Related Posts