Malaysia sudah menghantar lebih 400 tan bantuan kemanusiaan secara ke Gaza

KUALA LUMPUR: Malaysia sudah menghantar lebih 400 tan bantuan kemanusiaan secara berasingan ke Gaza, yang dijayakan bersama badan bukan kerajaan (NGO) sejak tahun lalu.

Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan, berkata terbaru adalah misi bantuan kemanusiaan kecemasan 100 kontena Malaysia dari Kaherah ke Gaza yang diselia Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM) sudah pun digerakkan Sabtu lalu.

“Kontena bantuan merangkumi 1,358 tan terdiri daripada bahan asas seperti tepung gandum, kotak makanan, barangan ibu dan bayi itu bernilai RM12 juta,” katanya dalam jawapan bertulis di Parlimen menjawab soalan Azli Yusof (PH-Shah Alam)

Beliau berkata, kerajaan sentiasa bekerjasama rapat dengan kerajaan Mesir dan Persatuan Bulan Sabit Merah Mesir (ERC) bagi memastikan akses bantuan kemanusiaan sampai kepada rakyat Palestin yang memerlukan.

“Perdana Menteri (Datuk Seri Anwar Ibrahim) ketika lawatan rasmi beliau ke Mesir pada Oktober 2023 turut berbincang dengan pemimpin tertinggi Mesir bagi memastikan kelancaran akses penyaluran bantuan kemanusiaan yang amat diperlukan oleh rakyat Palestin.

“Semasa lawatan khas Ahli-Ahli Parlimen ke Mesir yang diketuai oleh Timbalan Menteri Luar Negeri turut menyatakan kepada rakan sejawat beliau mengenai peranan penting Mesir dalam penghantaran bantuan kemanusiaan segera ke Gaza,” katanya.

Dalam pada itu, katanya, Malaysia mengguna pakai rangka kerja perundangan antarabangsa berdasarkan kepada Resolusi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) 46/182 (1991) bagi menangani keperluan kemanusiaan yang mendesak di Gaza.

“Penghantaran barangan kemanusiaan Malaysia sentiasa berpandukan kepada spesifikasi dan piawaian yang ditetapkan oleh Pejabat Koordinasi Hal Ehwal Kemanusiaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (OCHA) yang jelas menyatakan prosedur kemasukan bantuan kemanusiaan ke Gaza perlu melalui ERC.

“Antara barangan keperluan utama yang disenaraikan oleh ERC adalah bekalan makanan, minuman, ubat-ubatan, peralatan perubatan, barangan bayi dan wanita, selimut serta lain-lain keperluan kelangsungan hidup,” katanya.

Setakat Ahad lalu, konflik di Gaza mengorbankan 32,142 orang, yang mana 12,300 daripadanya kanak-kanak rakyat Palestin sementara 1,540 rakyat Israel.

Seramai 74,412 orang rakyat Palestin dilaporkan cedera, manakala 7,000 orang lagi dilaporkan hilang. Seramai 2.3 juta orang dilaporkan hilang tempat kediaman.

Buat masa ini juga, terdapat ribuan deretan trak yang membawa bantuan kemanusiaan dari Mesir ke Gaza masih menunggu kebenaran melintasi sempadan Rafah, Mesir untuk masuk ke Gaza.

www.indahnyaislam.my

—-—

Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam:

www.indahnyaislam.my/Sumbangan-Indahnya-Islam

PERSATUAN INDAHNYA ISLAM

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *



Sumbangan
Related Posts