Arahan pentadbiran guna kalimah Allah akan dikeluarkan segera

 

PUTRAJAYA: Kementerian Dalam Negeri (KDN) akan mengeluarkan arahan pentadbiran berhubung penggunaan kalimah Allah dalam masa terdekat mengikut undang-undang sedia ada termasuk Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984.

Menterinya, Datuk Seri Hamzah Zainudin, berkata arahan dikeluarkan untuk orang Islam dan bukan Islam itu perlu dikeluarkan segera supaya tidak timbul masalah yang akhirnya akan memisahkan semua agama dalam negara ini.

“Akta sedia ada memberikan kuasa kepada menteri untuk keluarkan sesuatu arahan dan ini yang kita akan lakukan dan ia (arahan) adalah berkaitan kalimah Allah.

“Paling penting kita boleh mencari jalan untuk hidup dalam keadaan aman dan sejahtera. Jadi, perlu ada toleransi dan ia bukan hanya perlu datang daripada golongan majoriti, namun untuk golongan minoriti juga.

“Kita berharap arahan pentadbiran itu kelak akan diterima baik semua pihak dan kita tidak mahu ia menjadi perkara subjudis kepada isu yang dibawa mahkamah,” katanya pada sidang media selepas menghadiri program Wacana Meja Bulat, di sini, hari ini.

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 10 Mac lalu memutuskan penganut agama Kristian di seluruh negara boleh menggunakan kalimah Allah dan tiga perkataan Arab iaitu Baitullah, Kaabah serta solat, dalam penerbitan agama mereka untuk tujuan pendidikan.

Susulan itu, KDN dan Kerajaan Malaysia pada 15 Mac lalu memfailkan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi itu di Pejabat Pendaftar Mahkamah Tinggi.

Hamzah berkata, arahan pentadbiran itu hanya satu pemahaman kepada penggunaan kalimah Allah dan dibuat dengan mengutamakan Perlembagaan di negara ini.

Beliau berkata, ia membabitkan di mana penggunaan kalimah Allah sepatutnya digunakan supaya tidak melanggar akta sedia ada.

Katanya, buat masa ini pihaknya sedang mengumpul pandangan semua pihak sebelum dapat memutuskan mengenai arahan pentadbiran berkenaan mengikut kaedah tertentu.

“Ini kali kedua saya mengadakan perjumpaan dalam Program Wacana Meja Bulat, sebelum ini saya adakan perjumpaan dengan ulama Islam dan hari ini (semalam) bersama komuniti bukan agama Islam termasuk Kristian, Sikh dan Hindu.

“Jadi kita kumpul dulu segala pandangan diberikan dan kemudian akan putuskan mengikut kaedah tertentu,” katanya. – Berita Harian

www.indahnyaislam.my

—-—

Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam:

https://www.billplz.com/indahnyaislam

MYDAKWAH RESOURCES
5628 3464 5315 (Maybank Islamik)

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *



Sumbangan
Related Posts