Meluruskan salah faham tentang hadis ‘rahmah’

 

SAYA membaca kenyataan yang ditulis oleh Pegawai Khas Menteri Agama ini. Secara dasarnya saya tidaklah berbeza dengan beliau bahawa Islam itu Rahmah untuk semua. Nabi sallallah alaih wasallam kita juga digelar sebagai Nabi al-Rahmah.

 

Image may contain: text

Image may contain: text

 

Namun, dalam tulisan beliau ini ada sedikit kesilapan atau penyelewengan terhadap hadis yang dibawa dan ada juga ketidakjelasan dalam penggunaan istilah dan perkataan. Berikut adalah ulasan saya:

1. Apabila beliau menyebutkan: “Orang Kafir Yang Jahat”, sepatutnya dijelaskan juga tahap ke‘jahat’an yang bagaimana? Adakah semua orang kafir yang jahat itu wajar mendapat ‘rahmah’? Setahu saya ia tidak begitu. Bagi seseorang yang membaca hadis-hadis secara holistik, dia akan menjumpai terdapat beberapa hadis yang menunjukkan Nabi Muhammad sallallah alaih wasallam mengambil tindakan keras kepada beberapa puak yang ternyata jahat. Saya berikan beberapa contoh:

a. Nabi sallallah alaih wasallam berdoa supaya Allah SWT membinasakan kabilah Ri’l dan Zakwan yang membunuh Qurra’ baginda dalam qunut nazilah. (HR Bukhari)

b. Nabi sallallah alaih wasallam berdoa agar Allah membinasakan Amru bin Hisyam (Abu Jahal) dan juak-juaknya ketika mereka melakukan kejahatan kepada baginda sehingga mereka semua terkorban dalam perang Badar. (HR Bukhari)

Oleh itu, saya mohon agar pegawai khas menteri agama ini untuk jelaskan had kejahatan yang boleh menerima rahmah daripada baginda.

2. Saya lihat berlaku penyelewengan atau jika bukan penyelewengan mungkin juga salah faham dalam ulasan terhadap hadis ini. Jika meneliti hadis yang beliau bawakan saya tidak lihat Nabi Muhammad sallallah alaih wasallam tidak membalas langsung apa yang disebutkan oleh orang Yahudi itu ataupun membalas dengan kurang dari apa yang mereka buat. Baginda sebenarnya membalas dengan yang setimpal sebenarnya. Apabila orang yahudi mengucapkan:

السام عليكم
Maut ke atas kamu wahai Muhammad.

Baginda membalas:

وعليكم
Ke atas kamu juga.

Ini bermaksud Nabi sallallah alaih wasallam membalas ucapan itu dengan yang setimpal. Cuma baginda tidak mahu Aisyah mengulangi perkataan itu dalam konteks akhlak. Baginda tidak mahu lidah Aisyah terbiasa dengan makian dan cacian. Ibn Hajar berkata:

والذي يظهر أن النبي صلى الله عليه وسلم أراد أن لا يتعود لسانها بالفحش، أو أنكر عليها الإفراط في السب

Maksudnya: “yang zahirnya ialah sesungguhnya Nabi sallallah alaih wasallam mahukan supaya lidah Aisyah tidak terbiasa dengan keburukan ataupun baginda membantah Aisyah kerana melebih-lebih dalam cacian”. (Fath al-Bari, jil. 11, hal. 43)

 

 

Saya tidak pasti di mana rahmah yang diterima oleh orang Yahudi itu melainkan dia mendapat balasan setimpal dengan apa yang dia ucapkan. Tidak lebih dan tidak kurang.

al-Nawawi menyebutkan maksud ucapan Nabi sallallah alaih wasallam ketika menjawab golongan Yahudi tersebut:

جاءت الأحاديث التي ذكرها مسلم عليكم ووعليكم بإثبات الواو، وحذفها، وأكثر الروايات بإثباتها، وعلى هذا في معناه وجهان: أحدهما أنه على ظاهره، قالوا: عليكم الموت، وأجيبوا: وعليكم أيضاً، أي نحن وأنتم فيه سواء، وكلنا نموت، والثاني: أن الواو، هنا للاستئناف، لا للعطف والتشريك، وتقديره: وعليكم ما تستحقونه من الذم، وأما حذف الواو فتقديره: بل عليكم السام

Maksudnya: “hadis-hadis yang disebutkan oleh Muslim ialah: ‘Alaikum dan Wa’alaikum dengan ada huruf waw dan tidak ada. Kebanyakan riwayat menetapkan huruf waw. Mengikut riwayat ini, maka pada maknanya ada dua bentuk:

Pertama: hadis ini difahami secara zahirnya iaitu mereka berkata:

Ke atas kamu maut, jawablah: ke atas kamu juga. Iaitu kami dan kamu pada kematian adalah sama dan semua kita mati.

Kedua: huruf waw di sini adalah isti’naf (ayat baru) bukan ‘ataf (sambungan) atau tasyrik (perkongsian). Maknanya ialah: ke atas kamu apa yang kamu berhak daripada balasan kehinaan.

Adapun jika tanpa huruf waw maka maksudnya ialah: bahkan ke atas kamu juga kematian”. (Al-Minhaj, jil. 14, hal. 144)

Jelas di sini Nabi sallallah alaih wasallam membalas ucapan mereka dengan yang setimpal.

3. Saya melihat kesimpulan besar yang dibuat berdasarkan dengan semata-mata melihat kepada dalil-dalil spesifik yang tidak menyeluruh ini sangat bahaya. Dalam sirah Nabi Muhammad sallallah alaih wasallam, baginda ada menghalau orang Yahudi, mendoakan balasan setimpal dengan kejahatan, memaafkan orang lain, adakalanya mendoakan orang lain dengan hidayah. Semua ini dilakukan berdasarkan ijtihad keadaan yang sesuai. Tidak boleh dibuat kesimpulan bahawa baginda lunak dan tidak membalas kejahatan orang jahat dalam setiap masa dan setiap keadaan. Jika tidak kita tidak akan menjumpai bab Maghazi (peperangan) dalam hadis.

Apa yang pasti baginda tidak melampaui batas dalam membalas kejahatan, namun ada waktunya baginda tegas dan membalas kejahatan dengan yang setimpal.

4. Jika dilihat dalam hadis yang dikemukakan oleh Pegawai Khas Menteri Agama ini saya melihat setidak-tidaknya Nabi sallallah alaih wasallam menjawab juga apa yang diucapkan oleh orang Yahudi terhadap baginda.
Tetapi dalam banyak isu panas yang dibangkitkan oleh sebahagian orang bukan Islam dalam negara ini sehingga meresahkan ramai umat Islam, di mana suara pelopor Rahmatan lil ‘Alamin (RLA) dengan nada ketegasan?

Sebab itu saya mohon agar RLA ini dijelaskan kepada rakyat dengan baik supaya masyarakat Muslim juga merasakan rahmat bukan hanya istimewa buat orang bukan Islam.

Dr Rozaimi Ramle

Sumber: https://web.facebook.com/DrRozaimiRamle/posts/2989361817757965

www.indahnyaislam.my

—-—

Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam:

https://www.billplz.com/indahnyaislam

MYDAKWAH RESOURCES
5628 3464 5315 (Maybank Islamik)

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *



Sumbangan
Related Posts