Mengapa Allah tangguhkan balasan pelaku dosa?

  1. Pelbagai isu dibangkitkan dalam media sosial minggu ini. Termasuklah isu Pengkid yang menunaikan Umrah dalam keadaan tidak menutup aurat sehinggalah hartawan yang dikatakan terus menerus melakukan tindakan yang bercanggah dengan syariat.
  2. Sebagai muslim, tugas menegur kemungkaran itu wajiblah dipenuhi. Bahkan Rasulullah mengingatkan bahawa mereka yang tidak mencegah kemungkaran sedangkan dia mampu, maka akan dibimbangi akan ditimpa azab dari Allah. Sabda Rasulullah:

((ما من قومٍ يُعْمَل فيهم المعاصي، ثم يقدرون على أن يغيِّروا ثم لايغيروا؛ إلا ويوشك الله أن يعمَّهم بعقابٍ))

“Tiada satu kaum yang melakukan maksiat, sedangkan ada dikalangan mereka yang mampu mencegahnya, melainkan akan dibimbangi keseluruhan mereka akan ditimpa azab ke atas kesemuanya” (HR Abu Daud)

  1. Barangkali ada yang bertanya, mengapa mereka ini masih kekal melakukan kemungkaran? Apakah mereka tidak takut akan azab Allah ke atas mereka?

Pada hakikatnya, keseronokan melakukan maksiat itu adalah salah satu bentuk hukuman dan balasan yang Allah berikan kepada manusia. Allah menghukum mereka dengan mencabut rasa takut kepada Allah. Inilah seberat-berat azab bagi seorang muslim sehingga mereka tidak rasa gentar melakukan dosa. Kata Abu Hazim bin Dinar:

إذا رأيت ربك يتابع عليك نعمة وأنت تعصيه فاحذره

“Sekiranya engkau perhatikan Tuhanmu kerap mengurniakan nikmat setelah engkau melakukan maksiat, maka berhati-hatilah.” (Ṣifah al-Ṣafwah, 1/386)

  1. Perkara ini diperincikan oleh al-Imam Ibn al-Jauzi yang menyebutkan:

أعظم المعاقبة أن لا يحس المعاقبُ بالعقوبة, وأشدَّ من ذلك أن يقع السرور بما هو عقوبة, كالفرح بالمال الحرام, والتمكن من الذنوب,

“Hukuman Allah yang paling besar (ke atas seorang muslim) ialah pelaku dosa itu tidak merasakan yang dia sedang dihukum oleh Allah. Dan lebih dahsyat dari itu lagi, mereka merasa seronok dengan hukuman (hati mereka dicabut rasa takut tadi) seperti mereka merasakan seronok dengan memakan harta yang haram, atau kekal melakukan dosa.” (Ṣayd al-Khātir, 27)

  1. Ibn al-Jauzi turut menceritakan kisah seorang lelaki pada zaman Bani Israel yang konsisten melakukan maksiat tetapi beliau kekal atas nikmat dan Allah tidak memberikan sebarang hukuman ke atasnya. Lalu dia bertanya:

يا رب كم أعصيك ولا تعاقبني؟ فقيل له: كم أعاقبك وأنت لا تدري؛ أليس قد حرمتك حلاوة مناجاتي؟

“Wahai Tuhanku, berapa banyak dosa yang telah aku lakukan tetapi mengapa Tuhan masih belum memberikan aku hukuman? Lalu dikata kepadanya: Sesungguhnya Tuhanmu telah memberikan azab dalam keadaan yang tidak engkau sedari. Bukankah telah dicabutkan dari hatimu untuk merasakan keseronokan bermunajat kepada Tuhanmu? (Ṣayd al-Khātir, 27)

  1. Benarlah kata al-Imam Ibn Hajar, adakalanya Allah memberikan tempoh panjang buat seseorang itu agar dia kekal dalam pendustaannya dalam hukuman yang tidak dia sedari. Kata Ibn Hajar:

وأخر من كذب للعقاب الطويل

“(Adakalanya) Allah menangguhkan masa buat para pendusta agar hukuman itu lebih panjang buat mereka.” (Fatḥ al-Bārī)

  1. Semoga Allah jauhkan kita dari sebarang maksiat dan hukuman-hukuman yang tidak kita sedari. Ini tidak lain hanyalah muhasabah buat diri kita sendiri.

Semoga Allah membimbing kita.

Dr. Ahmad Sanusi Azmi
Penasihat Syariah Indahnya Islam

www.indahnyaislam.my

—-—

Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam:

www.indahnyaislam.my/Sumbangan-Indahnya-Islam

PERSATUAN INDAHNYA ISLAM

Total
1
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published.



Sumbangan
Related Posts