Menginsafi hikmah musibah

Sudah menjadi keyakinan setiap Muslim yang beriman kepada Allah bahawa setiap rahmat dan musibah, kejayaan dan kegagalan, keuntungan dan kerugian adalah daripada Allah. Bahkan Allah sahaja yang Maha Mengetahui bila ia akan melimpah rahmat atau menimpa bencana kepada seseorang atau sesuatu bangsa. Perlu diinsafi apa sahaja yang berlaku kepada diri seseorang atau sesebuah bangsa bertitik tolak daripada perilaku manusia sendiri. Dalam hal ini, Allah berfirman yang bermaksud: “Telah timbul pelbagai kerosakan dan bala bencana di darat serta di laut dengan sebab apa dilakukan oleh tangan manusia; (timbulnya yang demikian) kerana Allah hendak merasakan mereka sebahagian daripada balasan perbuatan buruk yang mereka lakukan supaya mereka kembali (insaf dan bertaubat).” Surah ar-Rum, ayat 41

Walaupun begitu, setiap Muslim wajib meyakini Allah adalah Zat yang Maha Pengasih dan Maha Penyayang. Oleh itu, adalah mustahil bagi Allah untuk berlaku zalim terhadap manusia dan makhluk lain yang menghuni alam semesta ini. Ini kerana rahmat Allah dan keampunan-Nya lebih luas daripada azab dan murka-Nya.

Sehubungan itu, Allah berfirman maksudnya: “Dengan yang demikian maka Allah tidak sekali-kali menganiaya mereka tetapi merekalah yang menganiayai diri sendiri.” Surah ar-Rum ayat 9 

Maksud firman Allah di atas menegaskan bahawa keimanan dan ketakwaan yang bertapak kukuh dalam jiwa setiap Muslim dalam kehidupan masyarakat Islam akan menjadi faktor utama turunnya kerahmatan serta keberkatan daripada Allah.

Sebaliknya, kekufuran, kesyirikan, kemaksiatan, kefasikan, pendustaan terhadap Allah dan kepada sesama manusia menjadi punca utama turunnya azab dan malapetaka yang tidak diundang. Bukankah Allah berfirman yang bermaksud: “Dan (Tuhan berfirman lagi): Sekiranya penduduk negeri itu beriman dan bertakwa, tentulah Kami akan membuka kepada mereka (pintu pengurniaan) yang melimpah-limpah berkatnya dari langit serta bumi. Tetapi mereka mendustakan (rasul Kami), lalu Kami timpakan mereka dengan azab seksa disebabkan apa yang mereka usahakan.” Surah al-A’raf, ayat 96

Justeru, sebarang musibah dan bencana menimpa manusia mewajarkan satu renungan serta muhasabah diri setiap Muslim terhadap perjalanan hidup yang telah dan sedang berlangsung saat ini. Dari satu sudut, setiap Muslim wajar merenung apakah kesilapan atau kecuaian yang pernah dilakukannya sehingga mengundang bala bencana daripada Allah itu. Dalam satu sudut yang lain pula, kehidupan ini pada dasarnya sarat ujian dan dugaan Allah bagi menguji sejauh mana keimanan serta ketakwaan setiap Muslim terhadap Allah. Muslim berjaya ialah yang sentiasa mengambil iktibar, merenung diri dan seterusnya bersyukur kepada Allah.

Amat tepatlah sabda Rasulullah yang bermaksud: “Tidak ada kebaikan dalam kehidupan ini melainkan orang yang benar-benar mahu mendengar dan merenung diri atau orang berilmu serta berkata benar. Wahai manusia! Kalian semua berada pada satu zaman yang penuh dengan kemelut dan krisis. Di samping itu, masa juga berjalan begitu pantas. Pada waktu itu, kalian semua yang menyaksikan sesuatu yang asing dan baharu akan berlaku silih berganti siang malam serta sesuatu yang jauh akhirnya menjadi lebih dekat di samping berselang-selang satu demi satu apa yang dijanjikan Allah.” Hadis Riwayat Ibnu Asakir

Ini bermakna kehidupan di dunia ini tidak sunyi daripada kemelut, krisis, musibah dan malapetaka apabila tidak seorang pun manusia akan terlepas daripadanya. Masa pula seakan-akan tidak lagi memberikan kesempatan bagi manusia untuk membuat pilihan sama ada esok atau lusa. Ini kerana malam dan siang bersilih ganti menghadirkan seribu satu dugaan dan ujian yang terhampar sepanjang perjalanan hidup manusia bagi menguji tahap keimanan serta ketakwaan yang bertakhta di sanubari. Malah dunia ini tidak lagi memberikan kebaikan dan keberkatan hidup kecuali kepada orang yang sedia mendengar serta menginsafi diri atau orang yang memanfaatkan ilmunya untuk menyampaikan kebenaran.

Selanjutnya, Rasulullah pernah memberi peringatan kepada umatnya berkaitan beberapa punca turunnya musibah dan malapetaka yang menimpa mereka. Dalam satu hadis yang diriwayatkan oleh Tabrani dan Ibnu Asakir bahawa Rasulullah ada menyebut di antara punca malapetaka itu ialah hilangnya sifat amanah dan rasa malu, berleluasa sifat dusta, takbur, hasad serta tamak. Keenam-enam sifat tersebut kadang-kadang saling berkaitan antara satu sama lain. Seseorang yang melakukan khianat terhadap amanah yang terpikul di bahunya biasanya akan hilang rasa malu dalam melakukan pelbagai tugas dan kewajipan bertentangan dengan amanah. Malah dia juga tidak segan silu berdusta untuk mengaburi mata masyarakatnya di samping menutupi segala kesalahan dilakukannya. Lebih teruk daripada itu, agama dijadikan alat untuk memudahkan jalannya ke arah matlamat yang diimpikan. Perlu diingat khianat terhadap amanah hanya mengundang kefakiran dan kemiskinan sebagaimana maksud sabda Rasulullah: “Amanah itu akan mengundang rezeki sedangkan khianat hanya akan mengundang kefakiran.” Hadis Riwayat Dailami

Sifat takbur pula akan menyebabkan seseorang atau sesuatu bangsa tidak pernah menyedari, apatah lagi menginsafi segala kesilapan, kecuaian mahupun dosa yang pernah dilakukan. Malah dia juga tidak mahu mengambil iktibar dan pengajaran terhadap segala musibah serta fenomena yang terjadi dalam kehidupannya. Ini kerana hatinya tertutup dengan selaput sifat takbur dan sombong. Oleh sebab itu, segala nasihat dan peringatan tidak pernah diendah, apatah lagi diterima sebagai bahan renungan pada kemudian hari.

Sifat hasad (dengki) pula akan menyebabkan permusuhan kepada manusia lain yang mendapat bermacam-macam anugerah nikmat Ilahi. Pelbagai cara akan digunakannya untuk menghalang, menghapus dan merampas nikmat itu. Akibatnya, akan tercetuslah dendam dan permusuhan yang tiada berkesudahan. Sifat tamak pula hanya akan menumbuhkan keegoan dan materialistik. Jika sifat ini wujud dalam diri seseorang atau sesuatu bangsa, dia akan menjadi hamba dunia. Dunia akan menjadi matlamat terakhirnya.

Ini bermakna matlamat akan menghalalkan cara. Untuk itu, semua cara akan dihalalkan demi untuk meraihnya.

Begitulah wajah kehidupan manusia yang sewajarnya direnungi agar dapat dijadikan teladan dan sempadan kepada umat Islam. Ringkasnya, semua punca malapetaka yang menimpa itu adalah daripada ketohoran iman, kemiskinan rohani, ketandusan amal soleh dan kelunturan akhlak. Hanya iman dan takwa sahajalah bahtera penyelamat utama Muslim daripada sebarang malapetaka dunia dan azab akhirat.

Penulis profesor di Pusat Pengajian Usuluddin, Fakulti Pengajian Kontemporari Islam, Universiti Sultan Zainal Abidin

www.indahnyaislam.my

—-—

Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam:

www.indahnyaislam.my/Sumbangan-Indahnya-Islam

PERSATUAN INDAHNYA ISLAM

Total
1
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published.



Sumbangan
Related Posts