Menteri agama arah Jakim dapatkan alasan penghakiman

Bangi– Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) memberi jaminan kepada umat Islam bahawa Mahkamah Syariah akan kekal dan terus terjamin kewujudannya selaras peruntukan Perlembagaan Persekutuan.

Ini susulan keputusan Mahkamah Persekutuan hari ini yang berpihak kepada pasangan peguam bersama anaknya dari Kelantan, Nik Elin Abdul Rashid dan Tengku Yasmi Natasha Tengku Abdul Rahman untuk mendapatkan pembatalan terhadap 16 peruntukan enakmen kesalahan jenayah negeri terbabit.

Panel lapan hakim yang dipengerusikan Ketua Hakim Negara Tun Tengku Maimun Tuan Mat membuat keputusan itu selepas membenarkan petisyen dikemukakan seorang peguam, Nik Elin Zurina Nik Abdul Rashid dan anaknya, Tengku Yasmin Nastasha Tengku Abdul Rahman.

Menteri Hal Ehwal Agama, Datuk Mohd Na’im Mokhtar berkata, beliau telah mengarahkan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) bersama Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM) berusaha segera mendapatkan alasan penghakiman bertulis bagi kes ini, untuk tujuan kajian serta perancangan selanjutnya.

“Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) ingin menegaskan bahawa kedudukan Mahkamah Syariah di Malaysia adalah kekal utuh dengan jaminan kedudukannya sebagaimana dinyatakan jelas di dalam Perlembagaan.

“Justeru, selaras dengan kajian atas alasan penghakiman kes ini yang akan segera dijalankan, perancangan-perancangan lanjut akan dibuat segera bagi memastikan agenda penambahbaikan dan pemerkasaan Mahkamah Syariah akan terus berjalan di Malaysia,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Mohd Na’im berkata, beberapa penyesuaian terhadap pelan dan rancangan sedia ada juga akan dilaksanakan selaras dengan keputusan ini.

Katanya, segala ruang dan peluang yang wujud untuk pemerkasaan Mahkamah Syariah juga akan dilaksanakan.

“Saya akan segera memohon perkenan untuk menghadap Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim dan Timbalan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah Almarhum Sultan Azlan Muhibbuddin Shah Al-Maghfur-lah untuk menyembah maklum perkara yang berkaitan.

“Saya juga akan segera memohon menghadap Sultan Selangor selaku Pengerusi Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia (MKI) dan Raja-Raja Melayu untuk menyembah maklum perkara yang berkaitan,” katanya.

Beliau turut memaklumkan akan memanggil semua pemegang taruh berkaitan, pihak terbabit dengan Mahkamah Syariah untuk berbincang serta menilai langkah pemerkasaan seterusnya bagi Mahkamah Syariah.

“Jika terdapat keperluan melakukan apa-apa pindaan atau reformasi undang-undang, kita akan segera melakukannya.

“Jawatankuasa Khas Mengkaji Kompetensi Dewan Undangan Negeri untuk Menggubal Undang-Undang Islam yang dipengerusikan mantan Ketua Hakim Negara, Tun Zaki Tun Azmi akan mengkaji isu-isu berkaitan dengan kompetensi DUN serta bidang kuasa Mahkamah Syariah sebagaimana yang diperuntukkan di bawah Butiran 1, Senarai II Senarai Negeri, Jadual Kesembilan Perlembagaan Persekutuan,” katanya.

Menurut Mohd Na’im, hasil kajian, pandangan dan syor yang dicadangkan oleh Jawatankuasa Khas ini akan dibentangkan dalam MKI dan Majlis Raja-Raja.

Justeru, beliau menggesa semua pihak untuk bertenang serta tidak melakukan sebarang provokasi yang boleh mengundang kepada keresahan awam. – Ismaweb

www.indahnyaislam.my

—-—

Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam:

www.indahnyaislam.my/Sumbangan-Indahnya-Islam

PERSATUAN INDAHNYA ISLAM

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *



Sumbangan
Related Posts