Menyelamatkan aqidah anak kecil tanggungjawab umat

 

Aqidah merupakan perkara yang sangat penting untuk dipasakkan kepada anak-anak sejak dari kecil lagi. Aqidah akan membentuk jati diri seseorang. Oleh sebab itu dua kalimah syahadah melalui mekanisme azan dan iqomah diperdengarkan kepada bayi sejak kelahirannya seperti yang diajarkan oleh Nabi SAW:

“Sesiapa yang mendapat cahaya mata maka diazankan pada telinga kanannya dan diiqamahkan pada telinga kirinya maka akan dijauhkan dari gangguan Ummu Sibyan (sejenis jin yang membawa penyakit).” (HR al-Baihaqi).

Apabila seseorang bayi dilahirkan dalam keadaan kedua ibu bapanya memang beragama Islam maka secara automatik agama anak ini adalah agama Islam. Perkara ini telah diijmakkan oleh para ulama’. Apabila anak ini mencecah umur baligh tidak perlu ia memperbaharui dua kalimah syahadah lagi.

Umat Islam di Malaysia janganlah teruja dengan gagasan yang berselindung di sebalik kata-kata manis slogan hak samarata sesama warga negara dengan menyetujui beberapa tuntutan IFC. IFC ini merupakan satu Suruhanjaya yang dicadangkan penubuhannya sebagai badan berkanun yang mempunyai kuasa undang-undang yang boleh mengubah ajaran sesuatu agama akibat desakan agama lain.

Suruhanjaya ini berhasrat untuk berfungsi sebagai sebuah mahkamah atau satu badan berkanun seakan-akan satu badan seperti Suruhanjaya Hak Asasi Manusia yang menerima dan melayan aduan-aduan khususnya yang berkaitan dengan agama. Penubuhan IFC ini dicadangkan oleh Malaysian Consultative Council of Buddhism, Christianity, Hinduism and Sikhism (MCCBCHS) melalui memorandum mereka yang dihantar oleh Presiden MCCBCHS kepada Majlis Peguam bertarikh 21 Ogos 2001.

Antara tuntutan mereka ialah seorang anak yang dilahirkan oleh ibu bapa Islam tidak mengharuskan secara terus menjadi orang Islam. Tuntutan ini sangat bertentangan dengan agama Islam.

Dalam kes salah seorang ibubapa anak ini memeluk Islam atau salah seorang daripada ibubapanya murtad atau kekal berada dalam kekufuran maka anak ini akan mengikut agama yang terbaik di antara agama kedua ibubapanya. Jika salah seorangnya beragama Islam maka anak itu juga beragama Islam kerana Islam adalah satu-satunya agama yang diiktiraf oleh Allah SWT menerusi firman Allah:

“Sesungguhnya ugama (yang benar dan diredai) di sisi Allah ialah Islam. Dan orang-orang (Yahudi dan Nasrani) yang diberikan Kitab itu tidak berselisih (mengenai ugama Islam dan enggan menerimanya) melainkan setelah sampai kepada mereka pengetahuan yang sah tentang kebenarannya; (perselisihan itu pula) semata-mata kerana hasad dengki yang ada dalam kalangan mereka. Dan (ingatlah), sesiapa yang kufur ingkar akan ayat-ayat keterangan Allah, maka sesungguhnya Allah Amat segera hitungan hisabNya.” (Aali Imran: 19)

Pendapat ini adalah pandangan jumhur ulama termasuk mazhab yang dominan di negara kita iaitu mazhab Syafie. Perkara ini juga telah menjadi perkara yang sangat tidak disenangi oleh IFC dan salah satu tuntutan mereka ialah sehingga hak jagaan anak juga mereka tuntut agar tidak diberi peluang kepada orang Islam apatah lagi mengiktiraf keislaman anak berkenaan. “Seseorang atau pasangan suami isteri yang menukar agamanya dengan memeluk Islam tidak patut diberikan hak jagaan anak.”

Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan ke-87 (23- 25 Jun 2009) telah “memutuskan bahawa apabila salah seorang pasangan (ibu atau bapa) memeluk agama Islam, status agama bagi anak bawah umur pasangan tersebut adalah secara langsung beragama Islam.”

Ia juga diperakui oleh perlembagaan negara menerusi Perkara 12 (4) Perlembagaan yang menyatakan seperti berikut: “…agama seseorang yang di bawah umur lapan belas tahun hendaklah ditetapkan oleh ibu atau bapanya atau penjaganya.”

Mahkamah di dalam kes Subashini a/p Rajasingam v Saravanan a/l Thangathoray and other appeals [2008] 2 MLJ 147, telah menyatakan: “menurut kuasa Perkara 12(4) Perlembagaan, salah satu pihak boleh menentukan agama kanak-kanak di bawah umur 18 tahun”.

Maka adalah jelas bahawa di bawah Perkara 12 (4) Perlembagaan dan daripada keputusan Mahkamah, bahawa persetujuan kedua-dua ibubapa adalah tidak perlu. Memadai hanya salah seorang ibubapa diperlukan.

Mahkamah Syariah mempunyai kuasa untuk menentukan kes-kes keislaman anak-anak kerana ia adalah termasuk urusan agama Islam dan campurtangan Mahkamah Sivil dalam isu ini bertentangan dengan semangat Perkara 121 (1A) Perlembagaan Negara .

Di dalam kes Pathmanathan a/l Krishnan (also known as Muhammad Riduan bin Abdullah) v Indira Gandhi a/p Mutho and other appeals [2016] 4 MLJ 455, Mahkamah telah memutuskan bahawa dengan membenarkan Mahkamah Tinggi Sivil untuk menyemak keputusan berkaitan dengan bidangkuasa eksklusif Mahkamah Syariah (ia) adalah bertentangan dengan Perkara 121 Perlembagaan Persekutuan dan prinsip-prinsip semakan kehakiman.

Cadangan pindaan Akta 164 dengan memperkenalkan seksyen 88A hendaklah dikaji semula kerana ia bertentangan dengan keputusan Muzakarah Fatwa Kebangsaan dan Perkara 12 (4) Perlembagaan Malaysia.

Antara pertentangan yang nyata ialah jika suatu pihak kepada sesuatu perkahwinan telah masuk Islam, agama mana-mana anak dari perkahwinan itu hendaklah kekal sebagai agama pihak-pihak kepada perkahwinan itu sebelum penukaran agama itu, kecuali jika kedua-dua pihak kepada perkahwinan itu bersetuju akan penukaran agama anak itu kepada Islam, tertakluk kepada keinginan anak itu apabila dia telah mencapai umur lapan belas tahun dan jika pihak-pihak kepada perkahwinan menganut agama berbeza sebelum satu pasangan masuk Islam, seseorang anak dari perkahwinan itu hendaklah bebas untuk kekal dalam agama salah satu daripada agama pihak yang tersebut sebelum masuk Islam.

Sahibus Samahah Ustaz Zamri Hashim
Timbalan Mufti Negeri Perak

www.indahnyaislam.my

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *



Sumbangan
Related Posts