Mufti Wilayah tegur drama Isteri Untuk Disewa

 

BANGI – Penamaan tajuk drama yang provokatif dikhuatiri akan menjadi trend dalam penggiat seni, sekiranya tidak diberikan penerangan jelas daripada hukum syarak mengenai implikasinya kepada masyarakat.

Mengambil contoh drama terbaharu, Isteri Untuk Disewa, Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri berkata, jika difahami secara zahirnya, ia suatu perkara yang bertentangan zahir nas al-Quran dan sunnah, termasuk moral masyarakat.

Tanpa menafikan kebebasan berkarya dalam budaya penggiat seni, Dr Zulkifli berpandangan bahawa tajuk drama yang diadaptasi novel itu kurang sesuai, kerana kedudukan isteri mulia dan bukan untuk disewa.

“Dalam Islam, isteri haram dikontrakkan sama ada dalam tempoh jam, hari, minggu atau bulan. Manakala meminjam isteri bukanlah amalan dalam Islam, begitu juga menyewa isteri.

“Isteri adalah amanah Allah kepada suami untuk dimuliakan, dikasihi, disayangi dan diberi hak-haknya seperti termaktub dalam nas al-Quran, hadis dan pandangan fuqaha,” katanya dalam satu kenyataan.

Katanya, beliau yakin penulis novel dan pengarah drama berkenaan tidak berniat untuk membuat sesuatu diluar kerangka Islam, namun sewaan isteri jelas sekali adalah sejuzuk daripada cabang mut’ah yang tidak dibenarkan dalam kalangan Ahli Sunnah Wal Jamaah serta diharamkan Islam.

 

 

Dr Zulkifli berkata, ia sebagaimana yang disebut Imam al-Nawawi bahawa nikah mut’ah tidak dibolehkan kerana pernikahan itu pada dasarnya suatu akad yang mutlak, maka tidak sah apabila dibataskan dengan masa.

“Kami menganggap pengarah mungkin terkhilaf dalam menentukan tajuk dan jalan cerita drama tersebut yang khabarnya diadaptasi daripada sebuah novel.

“Sekali lagi ditegaskan bahawa kami sama sekali tidak berhasrat kebebasan dan kreativiti dalam berkarya. Namun, seeloknya biarlah ianya selari dengan agama dan budaya ketimuran kita,” katanya.

Beliau berkata, Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan sentiasa membuka pintu dan ruang kerjasama dalam memartabatkan industri seni tanah air.

“Dinding antara seni dan agama wajar dipecahkan bagi mengangkat budaya dan faham seni yang berkualiti serta berdaya saing.

“Kami amat yakin bahawa Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) atau Lembaga Penapis Filem (LPF) sentiasa memainkan peranan yang lebih aktif dalam memastikan drama dan filem yang disiarkan, mencapai standard kualiti dan moral yang terbaik.

“Kami mengambil kesempatan memohon maaf atas kenyataan terbuka ini. Maaf sekiranya kenyataan ini mengguris hati mana-mana pihak. Tidak ada langsung secebis rasa benci dan marah melainkan kasih semata-mata,” katanya. – Ismaweb

www.indahnyaislam.my

—-—

Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam:

MYDAKWAH RESOURCES
5628 3464 5315 (Maybank Islamik)

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *



Sumbangan
Related Posts