Akta 164: Di mana hak saudara baharu

 

Terdapat sesetengah pihak yang tidak mahu Rang Undang-Undang 355 dibentangkan dan diluluskan di Parlimen. Tetapi mereka pula ingin supaya Akta 164 (Pindaan Akta Perkahwinan 1976) diluluskan di Parlimen.

Dalam Perlembagaan Persekutuan menyatakan agama Persekutuan Malaysia adalah agama Islam. Mana-mana undang-undang yang bercanggah dengan perundangan Islam, maka terbatallah undang-undang tersebut.

Menurut bekas Ketua Hakim Negara, Tun Ahmad Fairuz, pada tahun 1986 bilamana Ramdas Tikamdas, seorang peguam, telah menghujahkan kepada Mahkamah Agung (kini Mahkamah Persekutuan), bahawa kerana Islam adalah Agama Persekutuan, maka undang-undang yang diluluskan Parlimen hendaklah selari atau disemaikan dengan (‘imbued’) prinsip-prinsip Islam.

Mura Raju pula, juga seorang peguam, menekankan kepada Mahkamah Agung yang sama fakta bahawa undang-undang syariah adalah undang-undang sedia ada ketika negara ini merdeka. Ini adalah kerana semua undang-undang bagi aplikasi umum dalam negara ini mestilah mematuhi undang-undang syarak itu. Situasi ini merujuk kepada pindaan Akta 164 iaitu Akta Perkahwinan 1976 menurut perundangan sivil.

Ini menunjukkan bahawa formaliti tujuan pindaan Akta 164 adalah menyatakan bahawa, pertama, jika selama ini orang yang menganut Islam tidak mempunyai hak untuk memfailkan petisyen pembubaran perkahwinan melalui seksyen 51 akta berkenaan, pindaan ini mengusulkan agar salah seorang pasangan yang memeluk Islam turut dibenarkan untuk membubarkan perkahwinannya mengikut undang-undang sivil sama ada berdasarkan pemelukan Islam ataupun klausa tindakan lain.

Kedua, anutan anak salah seorang pasangan yang memeluk Islam ini kekal pada agama asalnya dan hanya boleh ditukar jika kanak-kanak ini mendapat persetujuan kedua belah pihak. Ketiga, pindaan yang dicadangkan itu dikatakan mempunyai kesan terkebelakang iaitu kes retrospektif.

Perkara pertama adalah dialu-alukan untuk membenarkan salah seorang pasangan tersebut memeluk Islam dibenarkan membubarkan perkahwinannya, tetapi hak penjagaan anak menjadi masalah. Situasi ini menggambarkan Seksyen 51 Akta 164 dilihat seolah-olah menghukum salah seorang pasangan yang memeluk Islam.

Namun sebenarnya apabila seseorang itu telah memeluk Islam, hak beliau mengamalkan agamanya adalah dijamin Perlembagaan Persekutuan. Penyelesaian pembubaran perkahwinan ini termasuklah penjagaan anak diselesaikan di mahkamah sivil. Situasi ini akan menghakis hak beragama salah seorang pasangan yang memeluk Islam dan dijamin undang-undang termasuk mengamalkan undang-undang dirinya sebagaimana termaktub dalam Undang-Undang Keluarga Islam yang berkuatkuasa.

Berkaitan cadangan agama anak-anak saudara baru, sebenarnya ditentukan ibu atau bapa salah seorang pasangan yang telah memeluk Islam. Dalam kes Subahsini lawan Saravanan, Mahkamah Persekutuan – iaitu mahkamah tertinggi dalam negara – mentafsirkan bahawa Perkara 12(4) ini bermakna, mana-mana ibu atau bapa atau penjaga boleh menentukan agama seseorang anak di bawah umur 18 tahun.

Justeru mana-mana pindaan undang-undang yang mengehendaki ibu dan bapa bersetuju bagi menentukan agama anak berusia bawah 18 tahun adalah tidak berperlembagaan dan berisiko akan dibatalkan. Ini boleh dibuktikan dengan Ordinan Undang-Undang Pentadbiran Agama Islam (Selangor) 1952 yang memperuntukkan bahawa apabila seseorang saudara baharu memeluk Islam secara automatik anak-anaknya turut memeluk Islam sejajar kehendak Perlembagaan Persekutuan.

Maka, pindaan Akta Perkahwinan 1976 bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan kerana beberapa faktor. Pertama, salah seorang pasangan yang baru memeluk Islam akan hilang hak penjagaan anak jika anak-anak diberikan pilihan untuk mengikuti salah seorang pasangan tersebut yang masih bukan Islam.

Kedua, berlaku penganiayaan ke atas salah seorang pasangan yang baru memeluk Islam. Ini disebabkan harta sepencarian tidak diagihkan dengan adil jika pembubaran perkahwinan dilakukan di mahkamah sivil. Mereka yang baru memeluk Islam akan hilang hak ke atas tuntutan sepencarian.

Tambahan pula, seseorang isteri yang memeluk Islam dan suaminya masih bukan Islam akan hilang hak ke atas sepencarian dan hartanya jika berkahwin semula dengan lelaki Islam lain yang bukan bekas suaminya. Ini menyebabkan ketidakadilan ke atas wanita tersebut dan menghakis hak beragamanya. Menurut Tun Ahmad Fairuz bahawa undang-undang Islam sepatutnya menjaga hak mereka yang ingin memeluk Islam.

Ini disebabkan menurut hujah peguam Hakim Thorne dalam kes Ramah lawan Laton(1927) 6 FMSLR (CA) telah menekankan bahawa undang-undang Islam bukanlah undang-undang asing bagi Tanah Melayu. Maka, pindaan Akta 164 perlu dikaji semula demi keselamatan iman saudara baharu.

Dr Iskandar Hasan Tan Abdullah

Sumber: http://www.sinarharian.com.my/kolumnis/dr-iskandar-hasan-tan-abdullah/akta-164-di-mana-hak-saudara-baharu-1.656793

www.indahnyaislam.my

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *



Sumbangan
Related Posts