Muhammad Adib meninggal dunia

 

KUALA LUMPUR: Anggota bomba, Muhammad Adib Mohd Kassim yang cedera parah dipukul dalam rusuhan di Kuil Sri Maha Mariamman, USJ 25, Subang Jaya bulan lalu disahkan meninggal dunia di Institut Jantung Negara (IJN) pada jam 9.41 malam ini.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin, berkata jenazah arwah akan diuruskan di IJN sebelum dibawa ke Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Hang Tuah, di sini pagi esok, untuk penghormatan terakhir.

“Selepas itu, jenazah arwah akan dibawa menaiki helikopter untuk dihantar pulang ke kampung halaman di Kedah.

“Jenazah dijangka akan dikebumikan selepas solat Zohor,” katanya pada sidang media di IJN, di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Zuraida berkata, keluarga anggota bomba itu berada di sisi Adib ketika arwah menghembuskan nafas terakhirnya.

“Keluarga Adib dimaklumkan mengenai keadaan semasa Adib sejak pagi tadi.

“Keluarga arwah termasuk ibu bapa dan adiknya berada di sisi Adib dari pagi tadi hingga malam ini,” katanya.

Semalam, IJN dalam kenyataan menjelaskan keadaan kesihatan Muhammad Adib semakin merosot dan fungsi paru-parunya mengalami penurunan beransur-ansur sejak 24 jam lepas.

Selepas menjalankan penilaian menyeluruh, paru-paru anggota bomba itu didapati menunjukkan tanda-tanda konsolidasi dan pengerasan tisu, justeru menjadikan pertukaran gas tidak berkesan.

Dalam kejadian awal pagi 27 November lalu, Muhammad Adib yang juga anggota Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Subang Jaya, parah dipercayai dipukul sekumpulan perusuh di hadapan kuil Sri Maha Mariamman, USJ 25, Subang Jaya.

Dia dimasukkan ke unit jagaan rapi di Pusat Perubatan Ramsay Sime Darby, Subang Jaya, kira-kira 1 pagi, sebelum dipindahkan ke IJN, Kuala Lumpur, pada keesokan malamnya. – Berita Harian

www.indahnyaislam.my

—-—

Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam:

MYDAKWAH RESOURCES
5628 3464 5315 (Maybank Islamik)

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published.



Sumbangan
Related Posts