Muhammad Mikail juara Tahfiz Muda musim kedua

 

SELEPAS bersiaran selama tujuh minggu, Muhammad Mikail Muhammad Lukman, 9, dinobatkan sebagai juara Tahfiz Muda musim kedua, malam tadi.

Peserta dari Selangor ini mengetepikan tiga calon lain selepas berjaya melunaskan tugasan memperdengarkan bacaan ayat-ayat suci al-Quran dengan baik.

Hasil kemenangan itu, Muhammad Mikail membawa pulang hadiah wang tunai bernilai RM10,000, dua pakej umrah berserta trofi.

“Alhamdulillah, saya bersyukur sangat, tapi sebenarnya saya terkejut sebab ada tersangkut dalam bacaan tadi.

“Insya-ALLAH, kemenangan ini akan jadi semangat untuk terus menghafaz al-Quran,” katanya yang bercita-cita menjadi pejuang mujahidin.

Naib juara pula disandang oleh Nur Khodijah Sohaimi, 11, yang melayakkannya memenangi wang tunai RM7,000 berserta trofi.

Khodijah yang mula menghafaz sejak usia enam tahun bersyukur dan menganggap kemenangan itu adalah rezekinya meskipun masih lemah mengalunkan al-Quran dengan merdu dan berlagu.

Sementara itu, Mior Muhammad Hafizuddin Mir Idris, 11, yang pernah menjadi calon kegemaran terpaksa berpuas hati apabila berada di tempat ketiga dengan meraih wang tunai RM5,000 berserta trofi.

“Memang sedih sikit, tapi saya bersyukur kerana berjaya sampai ke tahap ini. Duit kemenangan itu bolehlah saya sedekahkan ke rumah anak-anak yatim dan orang-orang tua,” katanya.

Pemenang tempat keempat pula menjadi milik Syauqiyah Firdaus Shahfuddin, 11, seterusnya melayakkannya memenangi wang tunai RM3,000 berserta trofi.

“Saya memang minat menghafaz al-Quran. Saya melakukannya sedari kecil dulu terutama ketika mempunyai masa terluang,” katanya.

Hadiah disampaikan oleh Pengurus Saluran Astro Oasis, Ustaz Ahmad Fuad Mat Ali.

Kesemua peserta diadili oleh PU Hafiz dan Ustaz Don Daniyal sebagai Hakim Munabbih (Hafazan), Ustazah Sharifah (Hakim Tilawah & Taranum) serta Ustaz Zambri (Hakim Tajwid).

Program yang diacarakan Imam Muda Asyraf ini turut menampilkan Hael Husaini dan Datuk Ramli Sarip sebagai artis jemputan.

Pusingan akhir Persada Tahfiz Muda musim kedua disiarkan serentak melalui saluran Astro Oasis (106) dan Astro Maya HD (135).

 

 

Tampil berbeza

Sebagai kelainan, pusingan akhir bukan sahaja menyaksikan keupayaan peserta menghafaz ayat-ayat suci ALLAH SWT secara solo tetapi juga tampil berduet bersama bekas peserta Tahfiz Muda musim pertama.

Bahkan, program realiti hafazan kanak-kanak ini turut mengguna pakai pendekatan baru dengan memperkenalkan cabaran menghafaz surah pilihan seperti As-Sajadah, Ar-Rahman, Al Waqi’ah dan Al-Mulk.

Ahmad Fuad berkata, pendekatan itu merupakan inti pati utama yang mahu disampaikan kepada audiens walaupun mencabar kebolehan peserta kerana bukan mudah menghafaz surah pilihan yang agak panjang.

“Tapi, content utamanya adalah kita mahu penonton sedar yang semua orang mampu menghafaz al-Quran. Tiada alasan untuk kita tidak menghafaz al-Quran kerana terbukti kanak-kanak juga mampu melakukannya dengan baik,” katanya

Malah, katanya, sesi duet bersama peserta Tahfiz Muda musim pertama dilaksanakan bagi menguji kepekaan setiap peserta.

“Kita tahu, bukan senang nak sambung bacaan ayat al-Quran. Setiap peserta perlu betul-betul peka dan menghayatinya,” katanya.

Tambahnya lagi, pihaknya juga sentiasa melakukan pembaharuan demi memastikan program realiti itu terus segar di pandangan masyarakat.

Mengangkat tema Quranku, Sahabatku, katanya, program ini membawa penonton menghayati al-Quran sebagai panduan dan cahaya hidup, sekali gus meningkatkan lagi ketakwaan umat Islam kepada ALLAH SWT dengan memahami ayat suci serta mengamalkannya.

“Program ini memberikan cabaran, terutama apabila melihat kepintaran kanak-kanak menghafaz al-Quran. Sebagai hamba ALLAH, kita perlu mempelajari dan memahami pengisian al-Quran sebagai bekalan menuju akhirat.

“Ia juga menyuntik kesedaran dan mengajak seluruh umat Islam untuk menjadikan kitab suci ini sebagai teman hidup, tempat rujukan, mengadu nasib serta mengubati kesedihan dan keresahan jiwa,” katanya. – Sinar Harian

www.indahnyaislam.my

—-—

Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam:

MYDAKWAH RESOURCES
5628 3464 5315 (Maybank Islamik)

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *



Sumbangan
Related Posts