Nilai kerohanian, keduniaan perlu diseimbangkan

 

MERAIKAN ketibaan tahun baharu 2018. 2017 tahun yang membawa pelbagai cabaran semasa. Kehidupan hari ini dibelenggu pelbagai krisis kelangsungan hidup. Ironinya, manusia berjaya membina bangunan pencakar langit, namun gagal menstabilkan ekosistem alam sekitar yang mengundang pelbagai bencana alam, mencipta pengangkutan menjelajah pelusuk dunia dan angkasa.

Namun gagal mengawal pencemaran alam hasil teknologi yang dicipta, membina bandar idaman masa hadapan, tetapi lupa memikirkan gejala sosial yang menular di bandar-bandar besar, membina mahligai idaman yang selesa tetapi gagal mengurus keluarga bahagia, mencipta pelbagai resipi makanan segera, mudah dan ringkas tetapi tidak mengandungi khasiat dan zat yang sihat.

Mencipta pelbagai inovasi sains dan teknologi tetapi gagal mengawal hawa nafsu dan emosi, lalu menyalahgunakan teknologi dan berjaya menguasai ruang angkasa lepas tetapi gagal menguasai ruang hati sendiri. Inilah krisis lantaran kegagalan menyeimbangi keperluan rohani dan jasmani hidup dalam kehidupan.

Sheikh Muhammad al-Ghazali dalam mukadimah Kitab al-Jaanibu al-A’tifi mina al-Islam, al-Bahthu Fi al-Khuluq wa al-Suluk wa al-Tasauf antara lain menyatakan:

“Dalam perkembangan Islam, kadang-kadang kita melihat Islam berdasarkan apa yang dibincangkan ulama. Sekadar menyebut contoh, pembahasan Fiqh Ibadat berkaitan toharah, solat, zakat, haji dan sebagainya, Fiqh Muamalat membahas persoalan jual beli, syarikat, kontrak dan sebagainya. Perbincangan kedua-dua ilmu ini diperincikan dengan panjang lebar dan penuh ilmiah seperti hari ini. Kenapa persoalan seperti wuduk dan jual beli ini dikaji dengan penuh ilmiah dan terkesan di jiwa setiap Muslim.”

Persoalan akhlak dipandang remeh

Apabila berbicara mengenai cabang keimanan, persoalan akhlak dan tingkah laku yang baik hanya dilihat secara ringkas dan bersahaja, tertimbus dan tidak dibicarakan secara terperinci dan ilmiah. Sesungguhnya kerohanian Islam seperti rasa cinta kepada Allah SWT, ikhlas beribadat, tawakal, sabar menghadapi tekanan hidup, takwa, ihsan, amanah, kasih sesama sendiri dan sebagainya juga antara cabang keimanan.

Seharusnya perkara ini perlu diteliti dengan baik dan ditularkan kepada seluruh masyarakat sebagaimana cabang-cabang keimanan yang sedia dimaklumi. Di sini beliau menyatakan, kepentingan kerohanian dalam penghayatan agama, tetapi ia diabaikan sekian lama dengan tidak diberi penumpuan secukupnya serta sedikit sekali dibicarakan. Ternyata umat Islam lebih memberi tumpuan dalam bidang fiqh berbanding ilmu hati dan kerohanian.

Kerohanian merujuk kepada elemen hati (qalb) yang membawa kepada perkembangan personaliti manusia secara seimbang. Kerohanian adalah imuniti dan kawalan dalaman yang memainkan peranan membawa kebaikan. Hati dipenuhi kekuatan iman, taqwa, tawakal, sabar, ikhlas, jujur dan amanah yang membawa keredaan dan kesejahteraan.

Kestabilan dan keteguhan sebuah negara bergantung kepada kekuatan jati diri rakyatnya. Apabila rakyat dijangkiti penyakit sosial, hidup semata-mata mengejar kemewahan dan keseronokan hawa nafsu, berpecah belah, negara akan menuju kehancuran. Nilai kerohanian membolehkan manusia mempunyai akhlak dan tingkah laku yang baik serta memelihara nilai-nilai itu walau apa juga perubahan yang berlaku di persekitarannya.

Amalan-amalan kerohanian dijadikan amalan kehidupan seharian akan membentuk aura positif di kalangan masyarakat. Allah SWT berfirman bermaksud:

Orang yang bertaubat, beribadat, memuji Allah, mengembara, rukuk, sujud, menyuruh berbuat kebaikan dan melarang daripada kejahatan, dan menjaga hukum-hukum Allah. Dan gembirakanlah orang yang beriman itu. (Surah al-Taubah :112).

Kerohanian ibarat raja dalam diri manusia yang akan menentukan baik atau buruknya individu. Rasulullah SAW bersabda maksudnya: “Ingatlah dan bahawasanya dalam jasad manusia itu ada seketul daging yang apabila baik daging itu, maka baiklah jasad keseluruhannya dan jika rosak daging itu akan rosaklah jasad keseluruhannya, ingatlah, itulah dia hati. (Riwayat Bukhari dan Muslim).

Sunnah merakamkan Rasulullah SAW menjalani manhaj tarbiah rohani yang membentuk kekuatan peribadi seperti yang dinyatakan dalam Surah al-Muzzammil ayat 1 hingga 8. Solat malam (qiamullail) walaupun hanya sedikit) di samping membaca al-Quran dengan tertib dan berzikir. Rasulullah SAW membina generasi sahabat yang mempunyai keupayaan mental, fizikal dan rohani yang mantap, di samping pembinaan infrastruktur di Madinah.

Perkukuh akidah

Kekuatan dalaman dan luaran yang dibina oleh generasi awal ini membawa kejayaan generasi seterusnya. Masyarakat Arab bergelumang dengan pelbagai penyakit akhlak. Baginda mengukuhkan akidah berteraskan pembentukan akhlak. Pembangunan tamadun didahului dengan pembangunan manusia yang seimbang dan pemimpin yang berkemampuan, bertanggungjawab, beramanah serta bertakwa.

Asasnya, tamadun Islam memberi cahaya kepada pembinaan dunia Barat hari ini. Disebabkan pengabaian nilai kerohanian di samping sikap hidup mewah, hiburan serta kegiatan yang melalaikan, umat Islam menghadapi pelbagai tentangan sehingga dijajah oleh kuasa Barat dan menjadi umat yang dipinggirkan.

Agama Islam masuk ke alam Melayu dalam keadaan masyarakat ketika itu hidup dengan pelbagai kepercayaan dan animisme. Namun, dengan kegiatan keilmuan dan kerohanian yang dicetuskan oleh ulama silam, umat Islam membina tamadun yang dibanggakan dan mematuhi nilai-nilai kehidupan yang baik serta mengukuhkan institusi kekeluargaan.

Nilai kerohanian perlu dikembangkan menyeimbangi perkembangan manusia. Setiap individu adalah hamba dan khalifah Allah dalam ruang lingkup masing-masing. Insan abrar yang muhsinin (ihsan), muttaqin (bertakwa), kathirul birri (banyak melakukan kebaikan) dan soleh wal muslih (seorang yang baik dan menyebarkan kebaikan). Segala perlakuan dilakukan berasaskan akidah dan nilai kemanusiaan berbanding nilai kebendaan. Selamat Tahun Baharu 2018.

Tan Sri Dr Abdullah Muhammad Zin
Penasihat Agama kepada Perdana Menteri

Sumber: Berita Harian

www.indahnyaislam.my

—-—

Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam:

MYDAKWAH RESOURCES
5628 3464 5315 (Maybank Islamik)

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *



Sumbangan
Related Posts