NS sedia geran RM500,000 bantu usahawan penuhi piawaian halal

Seremban: Kerajaan negeri memperuntukkan geran bantuan sebanyak RM500,000 bagi membantu usahawan kecil menaik taraf premis dan alatan sebagai memenuhi piawaian halal yang ditetapkan, tahun ini.

Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun, berkata bantuan sebanyak RM5,000 itu diberikan secara percuma kepada setiap seorang usahawan yang memenuhi syarat.

Katanya, Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan (JHEAINS) dipertanggungjawabkan untuk mentadbir urus geran bantuan inisiatif berkenaan.

“Kita (kerajaan negeri) sedar akan kepayahan hidup rakyat yang diberhentikan kerja dan hilang punca pendapatan sepanjang tempoh pandemik dua tahun lalu.

“Ramai menceburi bidang perniagaan makanan secara kecil-kecilan di rumah, namun sukar untuk meluaskan pasaran kerana gagal melepasi piawaian halal seperti tidak mempunyai premis perniagaan sendiri serta fasiliti yang sesuai dan lengkap.

“Menerusi usaha ini, seramai 102 usahawan kotej diberi bantuan Geran Inisiatif Kotej Halal. Mereka lulus dan layak untuk menerima Sijil Pengesahan Halal Malaysia setelah menjalani latihan, konsultasi dan bimbingan kemahiran daripada JHEAINS,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyempurnakan Majlis Penyampaian Sijil Pengesahan Halal Malaysia dan Ramah Mesra Usahawan Kotej Halal di Pusat Dakwah Islamiah, Paroi, di sini, petang semalam.

Yang turut hadir, Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Dr Razali Ab Malik; Pengarah Unit Perancang Ekonomi Negeri, Datuk Muhamad Nahar Mohd Sidek; Pengerusi Majlis Agama Islam Negeri Sembilan (MAINS), Datuk Dr Abdul Aziz Sheikh Ab Kadir dan Pengarah JHEAINS, Datuk Zaidi Ramli.

Aminuddin menggesa usahawan terbabit memberikan komitmen tinggi untuk memelihara kualiti halal dalam penyediaan makanan dan penghasilan produk masing-masing.

“Saya yakin masih banyak lagi bahan makanan atau ramuan boleh dijadikan sebagai produk usahawan kotej halal seperti bahan ramuan koji atau ragi yang sukar diperoleh.

“JHEAINS diharap dapat memainkan peranan proaktif dan berkolaborasi dengan mana-mana pusat penyelidikan untuk menghasilkan bahan ramuan koji dan ragi yang boleh dipersijilkan halal kerana ia diperlukan dalam industri makanan.

“Secara tidak langsung usahawan koji dan ragi halal ini dapat memberi sumbangan yang berkesan dalam rantaian makanan halal khususnya di Negeri Sembilan,” katanya.

Sementara itu, Mohd Zaidi berkata, pihaknya sudah mengenal pasti, membuat penyenaraian, melaksanakan lawatan dan intervensi terhadap usahawan sebelum bantuan geran diluluskan.

Beliau berkata, mereka yang menerima perakuan Sijil Pengesahan Halal Malaysia mempunyai potensi besar untuk meluaskan lagi pasaran produk sekali gus dapat menambah pendapatan.

“Kita mengalu-alukan lebih ramai usahawan kecil dapat menyertai program ini kerana dengan cara itu, masalah sosioekonomi dapat dikurangkan dan dalam masa sama akan dapat menyumbang kepada peningkatan peratusan kutipan zakat,” katanya.- My Metro

www.indahnyaislam.my

—-—

Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam:

www.indahnyaislam.my/Sumbangan-Indahnya-Islam

PERSATUAN INDAHNYA ISLAM

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *



Sumbangan
Related Posts