Pasang khemah tambahan atasi solat Jumaat dua sesi

 

KUALA TERENGGANU: Keputusan kerajaan membenarkan khemah dipasang di perkarangan masjid bukan saja membolehkan lebih ramai jemaah menunaikan solat Jumaat, tetapi dapat menyelesaikan isu solat dua sesi.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri, berkata kebenaran itu terpakai jika dewan utama dan ruang sekitar masjid tidak mampu menampung jumlah jemaah.

Bagaimanapun katanya, keperluan untuk menunaikan solat Jumaat dua sesi yang disebabkan jemaah ramai dan ruangan masjid terhad masih tertakluk serta bergantung kepada keputusan jabatan agama Islam negeri.

“Pihak Jawatankuasa masjid dibolehkan memasang khemah di luar masjid bagi membolehkan jemaah menunaikan solat Jumaat jika ruang solat tidak mencukupi menampung jemaah.

“Pemasangan khemah ini boleh menyelesaikan isu solat dua sesi seperti yang dicadangkan beberapa pihak sebelum ini,

“Namun solat Jumaat dua sesi secara rasmi tidak boleh dilaksanakan di Wilayah Persekutuan seperti diputuskan Jawatankuasa Muzakarah Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia (MKI),” katanya.

Beliau berkata kepada media selepas merasmikan Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM) Peduli Pasca Musa’adah COVID-19, dekat Chendering, hari ini. Yang turut hadir, Yang Dipertua YADIM, Nasruddin Hassan.

Kerajaan sebelum ini membenarkan pengurusan masjid memasang khemah tambahan di luar masjid bagi membolehkan lebih ramai jemaah menunaikan solat Jumaat dan solat fardu.

Bagaimanapun, Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, menegaskan khemah itu hanya boleh dipasang di dalam kawasan masjid dan tidak boleh diletakkan di luar pagar masjid.

Katanya, kebenaran itu tetap tertakluk kepada prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan kerajaan khasnya jemaah perlu mengamalkan penjarakan sosial, pengesanan suhu dan merekod butiran jemaah yang hadir. – Berita Harian

www.indahnyaislam.my

—-—

Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam:

https://www.billplz.com/indahnyaislam

MYDAKWAH RESOURCES
5628 3464 5315 (Maybank Islamik)

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *



Sumbangan
Related Posts