Peguam keluarga Adib tuntut jawapan AG

BANGI – Peguam keluarga anggota bomba Allahyarham Muhammad Adib Mohd Kassim akan terus menuntut pendirian Jabatan Peguam Negara (AGC) berhubung permohonan prosiding komital yang difailkan terhadap bekas Peguam Negara, Tan Sri Tommy Thomas.

Mohd Kamaruzaman A Wahab berkata, sebelum ini pihaknya telah menghantar surat representasi itu menerusi faks dan e-mel kepada Peguam Negara, Tan Sri Idris Harun.

Representasi itu adalah bagi mendapatkan pendirian terkini AGC susulan pertukaran Peguam Negara pada 6 Mac lalu, sama ada masih berdiri teguh di belakang tingkah laku Thomas selaku bekas Peguam Negara, khususnya berkenaan kenyataan media yang menjadi subjek perkara prosiding menghina mahkamah, ataupun AGC menjarakkan dirinya dengan tindakan Thomas tersebut.

“Tetapi sehingga hari ini Peguam Negara tidak bagi jawapan dan respon.

“Jadi, selepas tamat PKP (Perintah Kawalan Pergerakan) ini pun kita akan hantar surat sekali lagi dan tunggu jawapan beliau,” katanya ketika dihubungi Ismaweb.net.

Pada masa sama, Mohd Kamaruzaman berkata, pihaknya tidak akan teragak-agak untuk menyaman Peguam Negara, sekiranya beliau masih lagi tidak memberi sebarang jawapan terhadap representasi berkenaan.

“Kita masih lagi beri peluang, tetapi kalau beliau tak mahu ‘proceed’, kita fikir nak saman.

“Sepatutnya sekarang dah boleh jawab. Kita nak tahu apa ‘stand’ dia dan kita harap Peguam Negara baharu bertindak sewajarnya,” katanya.

Terdahulu, bapa Muhammad Adib, Mohd Kassim Abdul Hamid memfailkan permohonan untuk memulakan prosiding komital terhadap Thomas pada 16 Julai tahun lepas di Mahkamah Koroner Shah Alam, atas dakwaan menghina mahkamah berkaitan prosiding inkues bagi mencari punca kematian anaknya.

Mahkamah Koroner membenarkan permohonan itu dan Thomas kemudiannya menfailkan rayuan terhadap keputusan tersebut di Mahkamah Tinggi Shah Alam yang memutuskan Mahkamah Koroner telah terkhilaf ketika membenarkan prosiding komital dimulakan terhadap Thomas.

Dalam permohonan itu, Mohd Kassim, 66, mendakwa Thomas telah membuat penghinaan terhadap mahkamah menerusi afidavit yang difailkan AGC pada 3 April tahun lalu, berhubung punca kematian anaknya.

Muhammad Adib, 24, yang bertugas sebagai anggota bantuan kecemasan JPBM Subang Jaya parah dalam rusuhan Kuil Sri Maha Mariamman, USJ 25, Subang Jaya dan meninggal dunia pada 17 Disember 2018 di Institut Jantung Negara selepas 21 hari dirawat.

Pada 27 September 2019, Mahkamah Koroner memutuskan kematian Muhammad Adib disebabkan perbuatan jenayah yang dilakukan lebih dua atau tiga individu yang tidak diketahui. – ismaweb

www.indahnyaislam.my

—-—

Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam:

https://www.billplz.com/indahnyaislam

MYDAKWAH RESOURCES
5628 3464 5315 (Maybank Islamik)

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *



Sumbangan
Related Posts