Sistem Al-Quran digital tanpa wayar mudahkan imam solat tarawih

KANGAR: Penyelidik Fakulti Teknologi Kejuruteraan Elektronik (FTKEN) Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) berjaya mencipta sistem al-Quran digital kawalan tanpa wayar bagi memudahkan imam membaca surah lebih panjang dalam solat tarawih.

Prof Dr Anuar Mat Safar yang juga Pengerusi Masjid Al-Arifin Padang Katong di sini, membangunkan sistem tersebut dan menjadikan kariah masjid berkenaan yang pertama menggunakannya ketika solat tarawih tahun ini.     

Dekan FTKEN Prof Madya Dr Azremi Abdullah Al-Hadi berkata projek itu adalah hasil kerjasama masjid tersebut dengan FTKEN, Fakulti Teknologi Kejuruteraan Mekanikal (FTKM) dan Jabatan Agama Islam Perlis (JAIPs).

“Sistem itu memudahkan Imam 1 masjid Ustaz Muhammad Khidhir Abdul Ghani membaca ayat yang lebih panjang dalam solat sunat dan menggerakkan muka surat seterusnya dalam solat tanpa memerlukan pergerakan yang besar,” katanya menerusi satu kenyataan yang dikeluarkan oleh UniMAP hari ini.

Beliau berkata menerusi sistem ini, imam akan membaca surah melalui al-Quran digital yang dipancarkan di skrin dan boleh dikawal pergerakan muka suratnya menggunakan alat yang dipakai di pergelangan tangan.

Kakitangan FTKEN dan FTKM yang turut terlibat dalam projek tersebut termasuk Dr Iszaidy Ismail, Dr Ilman Jais, Dr Wan Mohd Faizal Wan Abd Rahman, Mohd Haidiezul Jamal Ab Hadi dan Mohd Hazwan Mohd Hanid.

Sementara itu, Naib Canselor UniMAP Prof Dr Zaliman Sauli berkata universiti itu komited dalam menghasilkan produk dan perkhidmatan yang boleh membantu komuniti setempat dalam jangka masa panjang termasuk sistem berkenaan.

“Ia juga selari dengan hala tuju Perlis Go Digital, sekali gus memberi kefahaman kepada masyarakat tentang budaya digital,” katanya sambil mengakui sistem itu berpotensi untuk dikomersialkan dan digunakan di masjid, surau serta rumah. –AlHijrah Online

www.indahnyaislam.my

—-—

Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam:

www.indahnyaislam.my/Sumbangan-Indahnya-Islam

PERSATUAN INDAHNYA ISLAM

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published.



Sumbangan
Related Posts