“Kami Tidak Mencuri, Kami Sedang Lapar” – Suara Anak-anak Gaza

Gaza – Di tengah gempuran bom, runtuhan bangunan dan suara tangisan anak-anak yang kelaparan, satu lagi tuduhan dilemparkan ke arah rakyat Palestin – bahawa mereka merompak bantuan kemanusiaan. Namun, jawapan dari agensi dunia jelas dan tegas: “Tiada bukti Hamas merampas bantuan,” kata Cindy McCain, Pengarah Eksekutif Program Makanan Sedunia (WFP).

Dalam satu temubual dengan CBS, McCain menangkis tuduhan bahawa Hamas telah merampas 15 buah trak bantuan yang sedang dalam perjalanan ke Gaza selatan. “Tidak, langsung tidak,” katanya. “Orang-orang ini sedang kelaparan. Mereka melihat trak makanan datang – dan mereka berlari, bukan kerana nafsu, tetapi kerana perut yang kosong terlalu lama.”

“Orang-orang ini sedang kelaparan. Mereka melihat trak makanan datang – dan mereka berlari, bukan kerana nafsu, tetapi kerana perut yang kosong terlalu lama.”

Inilah hakikat yang pedih. Kanak-kanak, wanita, orang tua – semua menanti dengan harapan yang semakin tipis. Bukan kerana tamak, bukan kerana mereka bersenjata, tetapi kerana mereka sudah sampai ke tahap tiada pilihan lain untuk terus hidup.

Pada hari konvoi bantuan diserbu, satu unit polis Gaza sedang berusaha melindungi trak-trak itu dari kumpulan perusuh. Tetapi sebelum mereka sempat bertindak, jet pejuang Israel melancarkan lapan serangan peluru berpandu berturut-turut. Enam anggota polis terbunuh di tempat kejadian. Dua puluh lagi cedera. Trak-trak itu tidak sempat pun sampai ke gudang WFP di Deir al-Balah.

Israel bukan sekadar menyekat bantuan — mereka mensasarkan konvoi, membunuh pengiring dan memadamkan harapan satu-satunya rakyat Gaza yang sedang nazak. Penutupan lintasan utama sejak 2 Mac memutuskan segala bentuk bantuan – makanan, ubat-ubatan, dan keperluan hidup. Badan hak asasi manusia menuduh Israel menjadikan kebuluran sebagai senjata perang.

Israel menuduh Hamas mencuri bantuan. Tapi Hamas menafikannya. “Beberapa anggota kami terbunuh cuba mempertahankan trak-trak ini daripada perompak yang sebenarnya dilindungi oleh tentera Israel sendiri,” kata wakil Hamas.

Menurut laporan Integrated Food Security Phase Classification (IPC), hampir 25% rakyat Gaza akan berdepan kebuluran tahap paling kritikal dalam beberapa bulan akan datang.

Selepas lebih 80 hari Gaza dikepung tanpa belas, dan dunia mula bersuara, Israel akhirnya membenarkan sedikit sahaja bantuan masuk. Tapi menurut McCain, “Ia hanyalah setitis dalam baldi. Kita ada 50,000 orang yang berada di ambang maut akibat kelaparan.”

“Dulu semasa gencatan senjata, 600 trak bantuan masuk sehari. Sekarang, mungkin 100. Itupun kalau selamat.”

Sumber : Quds News Network

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *



Sumbangan
Related Posts