Pejuang Hamas semakin sistematik, naikkan semangat lawan Zionis

SHAH ALAM –  Perjuangan Hamas dan Briged Al-Qassam untuk membebaskan Palestin menaikkan semangat umat Islam di negara itu untuk menentang kekejaman rejim Zionis.

Ketua Pegawai Eksekutif Persatuan Cinta Gaza Malaysia (CGM), Muhammad Nadir Al-Nuri Kamaruzaman berkata, serangan berani oleh pejuang Hamas terhadap Israel juga disifatkan sebagai satu tindakan bersistematik berbanding penentangan sebelum ini.

“Kekuatan yang ada pada pejuang Hamas dan Briged Al-Qassam kerana mereka disokong oleh rakyat yang berada di sekelilingnya.

“Apabila bercakap mengenai Hamas, kita tidak bercakap tentang satu kumpulan atau tentera yang terlatih dengan sistematik.

“Para mujahidin melalui proses untuk menjadi lebih sistematik dan teratur dalam tindakan ketenteraan, tetapi memakan masa kerana tiada sumber dan tidak mampu mendapat keistimewaan seperti tentera Zionis Israel,” katanya dalam program ‘Di Sebalik Isu Bersama FY: Al- Aqsa, Ke Mana Akhirnya’ yang disiarkan secara langsung di semua platform digital Sinar Harian pada Jumaat.

Turut diundang sebagai panelis ialah bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dan bekas Pegawai Kanan Markas Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Mejar Jeneral (B) Mohd Anas Hassan manakala Finaz Yunus bertindak sebagai hos rancangan.

Dalam pada itu Muhammad Nadir berkata, golongan mujahidin menggunakan segenap ruang yang ada untuk memastikan mereka boleh berdepan dengan musuh sekali gus mempertahankan serangan.

“Pada 2014 ketika peperangan, saya duduk di sebuah rumah di tingkat lima dan ada pengeboman di kawasan berhampiran, rumah yang terkesan adalah depo simpanan roket para mujahid.

“Namun sekarang, mereka menyimpan di bawah tanah di kawasan selamat. Lebih teratur dan praktikal. Tidak lagi menggunakan rumah dan bangunan.

“Kawasan sekolah dan hospital yang dibom oleh Zionis kerana didakwa menjadi tempat perlindungan pejuang Hamas, adalah kenyataan tidak tepat,” jelasnya.

Mengenai kerajaan Fatah (Pertubuhan Pembebasan Palestin) dan Hamas, beliau berkata, kedua-dua pihak kini bertindak secara bersendirian dalam menangani situasi sukar ketika ini.

Malah dikatakan Fatah telah menjadi tangan yang melaksanakan sebahagian operasi yang dilaksanakan Israel.

“Banyak tangkapan ke atas mujahidin dan mereka yang bersuara tentang isu Palestin. Ada yang dibunuh oleh Fatah.

“Sekiranya mahu melihat siapa rakyat pilih antara Hamas atau Fatah, lihat sahaja adakah Palestin berjaya untuk adakan pilihan raya,” ujarnya.- Sinar Harian

www.indahnyaislam.my

—-—

Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam:

www.indahnyaislam.my/Sumbangan-Indahnya-Islam

PERSATUAN INDAHNYA ISLAM

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *



Sumbangan
Related Posts