Peluk Islam selepas temui ketenangan di masjid

ANAK lelaki kepada gipsi terkaya di United Kingdom (UK) telah memilih Islam sebagai agama barunya selepas mengalami satu kejadian yang mengubah hidupnya di sebuah masjid.

Alfie Best Jnr, 25 tahun, tidak asing dengan kekayaan bapanya, Alfie Snr, yang mempunyai nilai bersih £740 juta (RM4.16 billion) dengan armada kereta mewah, sebuah helikopter dan sebuah kapal layar.

Menurut laporan Lad Bible, jutawan muda gipsi Roman yang mempunyai kekayaan £10 juta (RM56 juta) itu dilaporkan merasakan seperti ada sesuatu yang hilang daripada hidupnya sehingga dia menemui Islam yang memberi ketenangan jiwa kepadanya.

Alfie Jnr percaya dia adalah pengembara pertama (merujuk kepada budaya gipsi berpindah randah) memeluk Islam, yang berlaku selepas lawatan makan tengah hari ke Cornwall.

“Saya unik kerana saya satu-satunya gipsi yang memeluk Islam.

“Ia bukan sesuatu yang saya mahu sembunyikan. Sebagai pengembara, saya mempunyai stigma sejak di bangku sekolah dan masih merasakannya sehingga hari ini.

“Saya menanganinya sepanjang hidup saya dan ia tidak benar-benar mengganggu saya. Jika ada, ia akan menjadikan saya seorang yang lebih kuat,” kata Alfie Jnr.

Kehidupan petinju profesional itu berubah pada September lalu apabila dia dan empat rakannya menaiki helikopter £4.5 juta (RM25 juta) milik ayahnya ke Cornwall untuk makan tengah hari, membawa kepada detik yang mengubah hidupnya di sebuah masjid selepas itu.

Ketika itu, salah seorang rakannya, yang berbangsa Inggeris, terpaksa pulang awal kerana ibunya akan mengucap syahadah untuk memeluk Islam di sebuah masjid di Lewisham di selatan London.

Di masjid itulah Alfie Jnr mendapat hidayah dari ALLAH SWT apabila dia melihat rakannya itu menangis di saat ibunya melafazkan syahadah.

“Dan (dalam masjid itu) saya merasakan sesuatu yang tidak pernah saya alami di mana-mana tempat ibadah. Sebagai gipsi, saya pernah pergi ke banyak gereja dan saya percaya pada Tuhan.

“Ia menyebabkan badan saya merasakan sesuatu bahawa ini (Islam) adalah terbaik untuk saya,” kata Alfie Jnr merujuk kepada ketenangan jiwa dirasakannya sebelum dia akhirnya memeluk Islam.

Kini Alfie Jnr banyak meluangkan masanya di masjid berbanding di gym selain belajar al-Quran dan solat lima waktu sehari serta ke masjid sekurang-kurangnya sekali seminggu. – Sinar Islam Plus

www.indahnyaislam.my

—-—

Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam:

www.indahnyaislam.my/Sumbangan-Indahnya-Islam

PERSATUAN INDAHNYA ISLAM

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *



Sumbangan
Related Posts