Pemilihan Ahli Majlis Peguam Syarie Wilayah Persekutuan

Nampak gayanya Peguam Syarie Wilayah Persekutuan akan terlebih dahulu mengundi berbanding pengundi dalam Pilihan Raya Umum ke-15 nanti.

Seramai lebih 900 Peguam Syarie yang beramal di Wilayah-Wilayah Persekutuan akan memilih tiga belas orang anggota Majlis Peguam Syarie Wilayah-Wilayah Persekutuan sempena Mesyuarat Agong Kali Pertama Majlis Peguam Syarie Wilayah-Wilayah Persekutuan.

Hal ini disebabkan pelaksanaan Akta Profesion Guaman Syarie (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 2019 telahpun dikuatkuasakan.

Jika sebelum ini Jawatankuasa Peguam Syarie Wilayah Persekutuan dipengerusikan oleh Ketua Hakim Syarie Wilayah Persekutuan dan tidak disebut langsung wakil Peguam Syarie secara spesifik, kini Majlis Peguam Syarie Wilayah-Wilayah Persekutuan dianggotai sepenuhnya oleh Peguam Syarie Wilayah Persekutuan.

Ini bermakna Peguam Syarie Wilayah Persekutuan boleh menjadi badan profesional yang mentadbir ahli-ahlinya sendiri dan tidak lagi bernaung di bawah entiti lain.

Dengan cara ini kebebasan peguam syarie akan terpelihara dan peguam syarie tidak akan lagi diperkecilkan.

Perjuangan menubuhkan Majlis Peguam Syarie ini sudah dimulakan sejak tiga puluh tahun lalu. Walaupun asalnya kita mahukan Majlis Peguam Syarie di peringkat kebangsaan setara Majlis Peguam Malaysia, tetapi yang dapat direalisasi sekarang hanyalah di peringkat Wilayah Persekutuan sahaja. Banyak pihak yang terlibat di dalam merealisasikan kewujudan Majlis Peguam Syarie Wilayah Persekutuan ini.

Penghargaan perlu diberikan kepada semua yang terlibat bukan hanya mereka yang memuktamadkan pelaksanaan akta ini sahaja.

Apapun ia merupakan perkembangan baik. Kesukaran yang dilalui Peguam Syarie untuk mewujudkan badan sendiri ini sangat ketara kerana pelaksanaan akta tersebutpun memakan masa selama tiga tahun sejak 2019.

Pemilihan ahli Majlis Peguam Syarie Wilayah Persekutuan yang pertama ini sangat penting bagi meletakkan piawaian dan halatuju yang betul Majlis tersebut. Ia bukan untuk suka suka kerana terdapat pelbagai perkara yang perlu dilakukan oleh anggota Majlis.

Namun dalam keghairahan Peguam Syarie Wilayah Persekutuan mendapat Majlisnya sendiri, pihak kerajaan seolah sepi dengan pewujudan Majlis ini. Bagi permulaan ini dana perlu diberikan oleh kerajaan bagi operasi permulaan Majlis seperti penyewaan pejabat, peralatan, emolumen dan banyak lagi.

Ada yang menyatakan supaya Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan yang memberikan dana ini tetapi saya kurang setuju sekiranya ia diambil dari wang zakat kerana kekaburan asnaf apa yang layak bagi Majlis Peguam Syarie ini.

Apapun banyak perkara yang perlu dilakukan oleh Majlis Peguam Syarie ini. Ia merupakan satu ujian besar kepada Peguam Syarie Wilayah Persekutuan kerana jika terdapat kesilapan kepeguaman syarie dan perwakilan di Mahkamah Syariah juga akan terkesan.

Saya percaya ramai peguam syarie boleh menjadi pemimpin Majlis Peguam Syarie Wilayah Persekutuan ini. Pilihlah yang terbaik di kalangan yang terbaik. Kita tidak mahu lagi peguam-peguam syarie terbahagi mengikut kecenderungan masing-masing sehingga tidak memberi manfaat kepada profesion guaman syarie itu sendiri.

Kesatuan peguam syarie di dalam Majlis Peguam Syarie ini sangat penting dan kita tidak boleh lagi berjalan atas wadah berlainan atas nama Peguam Syarie. Majlis Peguam Syarie hendaklah menjadi wadah kepada kesatuan peguam syarie itu sendiri.

Akhirnya masyarakat awam akan menilai keberkesanan peguam syarie pasca Majlis Peguam Syarie ini. Ia juga akan memberi impak kepada pelaksanaan perundangan Islam di Wilayah Persekutuan khususnya dan Malaysia amnya.

Pesta demokrasi bagi Peguam Syarie Wilayah-Wilayah Persekutuan ini menjadi tanda aras kepada negeri-negeri lain kelak sekiranya negeri-negeri berkenaan juga menggubal undang-undang yang sama seperti Wilayah-Wilayah Persekutuan nanti.

Tidak kiralah siapa yang memenangi pemilihan tersebut, kita hendaklah menyokong Majlis Peguam Syarie Wilayah-Wilayah Persekutuan kerana itu adalah badan yang mewakili Peguam Syarie Wilayah Persekutuan mengikut undang-undang.

Datuk Zainul Rijal Abu Bakar
Presiden Persatuan Peguam-Peguam Muslim Malaysia

www.indahnyaislam.my

—-—

Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam:

www.indahnyaislam.my/Sumbangan-Indahnya-Islam

PERSATUAN INDAHNYA ISLAM

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *



Sumbangan
Related Posts