Pemimpin berperanan corakkan anak bangsa

SHAH ALAM – Peranan pemimpin amat penting dalam mencorakkan pemikiran dan perbuatan anak bangsa dengan sifat jujur dan amanah sebagai usaha mengekang budaya rasuah dalam negara ini.

Ketua Pegawai Penyelidik Yayasan Warisan Ummah Ikhlas (WUIF), Safri Muhammad Zein berkata, pemimpin seharusnya menyampaikan kefahaman terhadap syariat Islam kepada masyarakat dan menjelaskan kepada mereka tindakan Islam terhadap perbuatan rasuah.

“Tanamkan akhlak terpuji kepada anak bangsa dengan pendidikan dan tarbiah yang baik agar terlahir sebagai insan yang sentiasa menghormati orang lain.

“Berikan hukuman kepada yang mengamalkan rasuah agar orang ramai mengambil iktibar dengan hukuman tersebut,” katanya kepada Sinar Harian pada Jumaat.

Mengulas lanjut, Safri berkata, budaya rasuah sudah menjadi gejala penyakit ummah dari dulu sampai bila-bila serta tidak asing lagi dalam masyarakat.

Menurutnya, budaya buruk itu akan memberi impak besar kepada generasi penerus bangsa dari segi pendidikan, ekonomi, kesihatan akhlak atau moral sesetengah negara.

“Rasuah adalah suatu amalan yang dilarang ALLAH SWT kerana ia merupakan kezaliman terhadap orang lain berdasarkan daripada firman ALLAH SWT dalam Surah Al Nisa’ ayat 29.

“Para pemimpin dan para ulama harus bergading bahu bagi menangani gejala tersebut agar tidak terus berleluasa yang akan menyebabkan keruntuhan akhlak dan moral sesuatu bangsa dan negara,” ujarnya. -Sinar Harian

www.indahnyaislam.my

—-—

Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam:

www.indahnyaislam.my/Sumbangan-Indahnya-Islam

PERSATUAN INDAHNYA ISLAM
5622 6352 7695 (Maybank Islamik)


Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published.



Sumbangan
Related Posts