Pemimpin wajib tunai hak rakyat bukan hak diri sendiri

  1. Dalam keadaan rakyat ditimpa kesusahan, para pemimpin seharusnya turut menghayati dan menunjukkan simpati terhadap musibah yang melanda. Pemimpin wajib menunaikan hak dan keperluan rakyat. Jangan pula bantuan yang dijanjikan tidak sampai atau bersikap olok-olok sahaja. Ingatlah pesanan Rasulullah:

مَا مِنْ عَبْدٍ يَسْتَرْعِيهِ اللهُ رَعِيَّةً، يَمُوتُ يَوْمَ يَمُوتُ وَهُوَ غَاشٌّ لِرَعِيَّتِهِ، إِلَّا حَرَّمَ اللهُ عَلَيْهِ الْجَنَّةَ»

“Tidak ada seorang hamba yang diberikan tanggungjawab untuk memelihara rakyat sedangkan dia mati dalam keadaan menipu rakyatnya melainkan Allah mengharamkan baginya syurga.” (Sahih Muslim)

  1. Hadis ini menjelaskan kepada kita tentang amaran Rasulullah SAW kepada pemimpin muslim yang menipu rakyatnya. Menurut al-Qadi Iyyad, yang dimaksudkan dengan larangan menipu kaum muslimin ini adalah larangan mengkhianati hak-hak yang seharusnya ditunaikan ke atas mereka. Kata al-Qadi Iyyad:

إِهْمَالِ حُدُودِهِمْ أَوْ تَضْيِيعِ حُقُوقِهِمْ أَوْ تَرْكِ حِمَايَةِ حَوْزَتِهِمْ وَمُجَاهَدَةِ عَدُوِّهِمْ أَوْ تَرْكِ سِيرَةِ الْعَدْلِ فِيهِمْ فَقَدْ غَشَّهُمْ

“(Iaitu mereka) tidak mengambil berat tentang perundangan Islam, atau mengabaikan hak-hak orang Islam, atau tidak memelihara keselamatan mereka, dan tidak bersungguh menentang musuh Islam, atau meninggalkan kepimpinan yang adil; lalu ini semua termasuk dalam apa yang dikatakan sebagai pemimpin yang menipu kaum muslimin. (al-Nawawi, Syarh Muslim)

  1. Malah apa yang lebih membimbangkan lagi, al-Imam al-Nawawi dan al-Imam al-San’ani melihat kesalahan pemimpin muslim yang menipu rakyatnya ini dikategorikan sebagai dosa besar. Kata al-Imam al-San’ani:

وَأَنَّهُ مِنْ الْكَبَائِرِ لِوُرُودِ الْوَعِيدِ عَلَيْهِ بِعَيْنِهِ، فَإِنَّ تَحْرِيمَ الْجَنَّةِ هُوَ وَعِيدُ الْكَافِرِينَ فِي الْقُرْآنِ

“Dan sesungguhnya ia (iaitu perbuatan menipu kaum muslimin ini) adalah termasuk dalam dosa-dosa besar. Ini disebabkan kerana ancaman yang diberikan (buat mereka yang melakukan dosa ini) adalah diharamkan ke atas mereka syurga. Ancaman ini seakan disamakan dengan ancaman yang dikenakan ke atas orang kafir iaitu mereka diharamkan dari masuk ke dalam syurga Allah seperti yang disampaikan di dalam al-Quran.” (Subul al-Salam)

  1. Lebih menakutkan lagi, dalam riwayat al-Hakim pula, Rasulullah mengancam bahawa pemimpin yang menipu kaum muslimin ini akan dilaknat Allah. Sabda Rasulullah:

مَنْ وُلِّيَ مِنْ أَمْرِ الْمُسْلِمِينَ شَيْئًا فَأَمَّرَ عَلَيْهِمْ أَحَدًا مُحَابَاةً فَعَلَيْهِ لَعْنَةُ اللَّهِ لَا يَقْبَلُ اللَّهُ مِنْهُ صَرْفًا وَلَا عَدْلًا حَتَّى يُدْخِلَهُ جَهَنَّمَ

“Barangsiapa yang dilantik untuk menjadi pemerintah kaum muslim, kemudian dia memerintah dalam keadaan sambil lewa, maka dia akan dilaknat oleh Allah. Allah tidak menerima pengurusan dan pengadilan ke atasnya sehinggalah dia dimasukkan ke dalam neraka jahanam. (Mustadrak al-Hakim – dinilai Sahih oleh al-Hakim.”

  1. Perhatikan betapa dahsyat ancaman yang berikan oleh Rasulullah terhadap pemimpin yang menipu rakyatnya. Ini semua bagi memastikan mereka melaksanakan tugas dengan sebaik mungkin.
  2. Apa yang membimbangkan pada hari ini, perbuatan menipu atau berlakon di hadapan rakyat terkadang menjadi perkara biasa buat sebahagian politikus. Mereka mengambil kesempatan atas kesusahan yang menimpa rakyat.

(Artikel ini adalah petikan dari buku 40 Hadis tentang Politik dan Kepimpinan)

Semoga Allah membimbing kita.

Dr. Ahmad Sanusi Azmi
Penasihat Syariah Indahnya Islam

www.indahnyaislam.my

—-—

Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam:

www.indahnyaislam.my/Sumbangan-Indahnya-Islam

PERSATUAN INDAHNYA ISLAM

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *



Sumbangan
Related Posts