Hayati kandungan al-Quran untuk berjaya: Tun Mahathir

 

PUTRAJAYA: Tun Dr Mahathir Mohamad mahu orang Melayu menghayati ajaran terkandung dalam al-Quran jika mahu berjaya dan bersaing dengan kaum lain di negara ini.

Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) yang juga Perdana Menteri, berkata kelemahan dan kegagalan orang Melayu bersaing dalam pelbagai bidang terutama ekonomi di negara ini banyak bergantung kepada kefahaman mereka kepada ajaran murni dalam al-Quran.

Katanya, Melayu di negara ini tidak sepatutnya hanya berbangga dengan agama Islam yang mereka anuti, sebaliknya jika mahu berjaya hendaklah mengamalkan ajaran yang terkandung dalam al-Quran.

“Kita hanya bangga dengan Islam yang kita anuti, tetapi malangnya banyak ajaran Islam yang tidak kita ikuti. Ini menyebabkan kita gagal.

“Kita sembahyang waktu Jumaat, kita berpuasa, berzakat, mengerjakan haji dan umrah banyak kali tetapi amalan lain tak buat.

“Yang ada dalam al-Quran supaya kita rajin, amanah dan disiplin, kita ketepikan. Kalau kita kembali kepada ajaran al-Quran dan pegang nilai hidup di dalamnya, kita akan tetap berjaya.

“Percayalah kerana semua yang diajar dalam al-Quran baik belaka,” katanya ketika menggulung perbahasan Perhimpunan Agung Tahunan (PAT) BERSATU kali kedua yang berakhir di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) di sini, semalam.

Dr Mahathir berkata, disebabkan kegagalan orang Melayu memahami dan menghayati ajaran al-Quran, pengajaran ilmu al-Quran di sekolah tahfiz akan dikaji semula.

“Ramai yang mengeluarkan wang berjuta mendirikan sekolah tahfiz tapi jika hanya sekadar baca tanpa fahami maksudnya, ia tidak memberi ajaran kepada kita.

“Sebab itu sekolah tahfiz ini kita perlu selidik apa yang diajar di situ yang menyebabkan kita gagal. Kalau ada keperluan kita betulkan dan kembalikan ajaran al-Quran sebenarnya,” katanya. – Berita Harian

www.indahnyaislam.my

—-—

Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam:

MYDAKWAH RESOURCES
5628 3464 5315 (Maybank Islamik)

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published.



Sumbangan
Related Posts