Penceramah perlu dapat tauliah majlis atau jabatan agama negeri: Jakim

 

KUALA LUMPUR – Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) menasihatkan para penceramah yang bakal bersiaran di stesen-stesen televisyen dan radio supaya mendapatkan tauliah dari majlis atau jabatan agama Islam negeri-negeri.

Ketua Pengarahnya, Datuk Mohamad Nordin Ibrahim berkata, ini bagi memastikan segala urusan dan peraturan sedia ada terus dipatuhi.

“Jakim mengambil maklum akan perkara ini dan menyambut baik usaha memastikan penyampaian tiga teras utama pengurusan hal ehwal Islam di negara ini iaitu rahmatan lil alamin, maqasid syariah dan manhaj Malaysia bergerak secara harmoni,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Beliau mengulas isu tular di media sosial mengenai senarai nama penceramah Radio Televisyen Malaysia (RTM) yang diutamakan untuk ke udara di televisyen atau radio bermula Januari 2019.

Kementerian Komunikasi dan Multimedia menyenaraikan sebanyak 20 orang penceramah yang akan dimasukkan ke slot rancangan keagamaan (Islam) RTM untuk siaran televisyen dan radio.

Dalam sekeping surat yang ditandatangani Setiausaha Sulit Kanan kepada menteri di kementerian itu, Gobind Singh Deo memaklumkan, 20 orang penceramah itu turut diterima Pegawai Tugas-Tugas Khas (Bahagian Agama) Jabatan Perdana Menteri.

Penceramah yang tersenarai ialah Zolkharnain Abidin Al Hafiz; Wan Subki Wan Salleh; Nik Omar Nik Abdul Aziz; Azrul Hakim Suradi; Che Ibrahim Che Mohamed; Mohamad Uda Kasim; Abdullah Shahir; Mohd. Fauzi Zakaria dan Izaz Ismail.

Selain itu, turut disenaraikan ialah Ali Muda; Mohd. Rizal Akhir; Rosli Yusuff; Shamshul Maarif Ismail; Suhaimi Kassim; Abdul Aziz Abbas; Zulhazmie Mohammed; Nazri Din; Mohd. Firdaus Jaafar dan Ridzwan Abu Bakar. – Utusan Malaysia

www.indahnyaislam.my

—-—

Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam:

MYDAKWAH RESOURCES
5628 3464 5315 (Maybank Islamik)

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *



Sumbangan
Related Posts