Pendidikan Prasekolah Menuntut Kerjasama Erat Antara Ibu Bapa, Guru dan Komuniti

Pendidikan prasekolah yang berkualiti bukan sahaja bergantung kepada kurikulum yang kukuh dan persekitaran pembelajaran yang kondusif. Ia turut memerlukan kerjasama erat antara guru, ibu bapa atau penjaga, serta komuniti setempat bagi mewujudkan ekosistem pembelajaran yang dinamik, selamat dan bermakna.

Kurikulum Prasekolah 2026 akan mula dilaksanakan bagi menggantikan Kurikulum Standard Prasekolah Kebangsaan (Semakan 2017) bermula Januari 2026. Kurikulum baharu ini bertujuan melahirkan murid yang sihat secara fizikal, mental dan rohani, mampu berkomunikasi dan bersosial, memiliki keyakinan diri serta mempunyai keinginan untuk belajar. Pelaksanaannya penting bagi memastikan pendidikan prasekolah terus relevan, berkualiti dan responsif terhadap keperluan semasa serta aspirasi negara.

Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) menegaskan bahawa kejayaan kurikulum ini bergantung pada komitmen penuh semua pihak, termasuk agensi pelaksana, pemimpin kurikulum, ibu bapa dan pihak berkepentingan lain. Justeru, KPM menyarankan agar ibu bapa atau penjaga terlibat secara aktif dengan memahami keperluan anak sejak awal serta menyediakan persekitaran yang sesuai untuk tumbesaran dan pembelajaran mereka.

Sebagai individu yang paling hampir dengan anak dari aspek emosi, sosial dan intelek, ibu bapa atau penjaga memainkan peranan penting dalam menyokong perkembangan anak secara menyeluruh, termasuk mengesan dan menangani sebarang kelewatan perkembangan. Kerjasama ibu bapa juga menjadi asas kepada kesinambungan pembelajaran dari sekolah ke rumah, di samping memastikan wujudnya ruang belajar yang kondusif serta memberikan dorongan berterusan.

Sokongan seperti pujian, galakan dan kata-kata semangat dapat meningkatkan motivasi serta keyakinan diri anak dalam proses pembelajaran. Ibu bapa adalah guru pertama dalam kehidupan anak-anak; maka penting bagi mereka menyedari betapa besar kesan sokongan berterusan terhadap perkembangan holistik anak dari segi emosi, fizikal dan sosial.

Contohnya, amalan membaca bersama antara ibu bapa dan anak perlu diperkukuh sebagai rutin harian. Ibu bapa bukan sahaja berperanan sebagai model pembacaan, tetapi juga sebagai rakan bercerita, terutama melalui sesi bercerita sebelum tidur.

Selain itu, kesinambungan amalan pembelajaran seperti tugasan waktu rehat di prasekolah dengan menyediakan makanan, menata meja makan, mengamalkan adab makan dan membersihkan peralatan makan dan perlu diteruskan di rumah. Aktiviti ini bukan sahaja membentuk karakter, malah menyemai nilai murni seperti tanggungjawab, kerjasama dan berdikari. Apabila ibu bapa memastikan amalan ini berterusan, nilai yang dipelajari di sekolah dapat dihayati dengan lebih mendalam.

Ibu bapa juga merupakan penghubung antara murid dan guru. Maklumat penting tentang anak seperti latar belakang keluarga, tabiat atau keperluan khas sangat membantu guru merancang PdP yang lebih berkesan. Oleh itu, ibu bapa perlu menjadi rakan kongsi yang baik kepada guru untuk membangunkan potensi anak.

Interaksi berkesan boleh dijalankan melalui pelbagai medium seperti buku komunikasi, aplikasi media sosial atau pertemuan bersemuka. Guru prasekolah pula bertindak sebagai pemudah cara komunikasi antara sekolah dan ibu bapa, bukan sahaja menyampaikan maklumat, tetapi juga mendengar dan menyalurkan pandangan ibu bapa kepada pihak sekolah. Kerjasama ini amat penting bagi mewujudkan ekosistem pendidikan yang positif serta menyokong perkembangan murid secara menyeluruh.

Guru prasekolah juga berperanan sebagai pendidik kepada ibu bapa dengan berkongsi ilmu tentang pendidikan awal kanak-kanak, kepentingan pembelajaran serta cadangan aktiviti yang boleh dilakukan di rumah. Dalam masa yang sama, guru dapat memotivasikan ibu bapa untuk terlibat dalam program prasekolah seperti hari sukan, gotong-royong, lawatan sambil belajar atau menjadi pencerita jemputan di kelas. Penglibatan ini bukan sahaja mengeratkan hubungan rumah dan sekolah, malah memberi peluang kepada anak untuk berasa bangga melihat penglibatan ibu bapa mereka.

Melalui kolaborasi yang kukuh ini, guru dan ibu bapa dapat bersama-sama membina asas pembelajaran yang bermakna bagi anak-anak. Kerjasama erat ini penting untuk mewujudkan persekitaran yang konsisten dan menyokong, ke arah melahirkan generasi yang bukan sahaja sihat secara fizikal, tetapi juga memiliki jati diri yang bertanggungjawab, beradab serta mampu berdikari.

Sumber: Malaysia Gazette

📲 Join telegram channel untuk lebih info Indahnya Islam: https://t.me/indahnyaislam

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *



Sumbangan
Related Posts