Penubuhan jawatankuasa langkah bijak memperkukuh institusi Islam

 

SESUNGGUHNYA perkenan raja-raja bagi penubuhan Jawatankuasa Tertinggi Institusi Hal Ehwal Islam Peringkat Persekutuan bertepatan pada masanya. Ia dilihat sebagai suatu usaha untuk mengangkat dan menzahirkan kedaulatan Raja-Raja Melayu berkaitan hal ehwal dan martabat Islam.

Penubuhannya tepat pada masa kerana institusi Islam kini berada dalam suasana persepsi negatif yang begitu berleluasa. Kewibawaan dan keberkesanan institusi Islam sentiasa menjadi persoalan. Bahkan, apabila diperhatikan, adakalanya apa yang dikatakan persepsi itu ialah kenyataan sebenarnya institusi Islam.

Sebelum ini, belum pernah wujud inisiatif formal bagi meneliti perkara ini sehingga muncul beberapa keadaan tidak selesa dalam hubungan di antara istana dan institusi Islam pada peringkat Persekutuan.

Dari segi punca kuasa penubuhannya, jawatankuasa tertinggi ini ialah tindakan pentadbiran di bawah kuasa umum Majlis Raja-Raja berkaitan keistimewaan, kedudukan, kemuliaan atau kebesaran raja-raja dalam Perkara 38 dan kuasa raja-raja sebagai ketua agama Islam di negeri-negeri dan kuasa Yang di-Pertuan Agong berkenaan Islam. Ini masing-masing berdasarkan Perkara 3(2) dan (5) Perlembagaan Persekutuan.

Terma rujukan lantikan jawatankuasa yang disebut secara ringkas dalam kenyataan media Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja termasuklah, ‘mengkaji kedudukan pengurusan hal ehwal Islam pada peringkat Persekutuan, latar belakang penubuhan, bidang kuasa, serta keberkesanan agensi agama yang sedia ada termasuk agensi perundangan dan penghakiman Syariah pada peringkat Persekutuan’.

Jawatankuasa tertinggi diketuai oleh bekas Ketua Setiausaha Negara, Tun Ahmad Sarji dan timbalannya ialah Felo Oxford Centre for Islamic Studies, Datuk Dr Afifi al-Akiti dengan ahli; bekas Rektor Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, Prof Emeritus Tan Sri Dr Mohd Kamal Hassan; bekas Mufti Johor, Datuk Nooh Gadot dan bekas Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Datuk Wan Mohamad Datuk Sheikh Abdul Aziz.

Mereka diberikan tempoh lima bulan untuk menjalankan tugasnya ini.

Bukan sekatan

Penubuhan jawatankuasa tertinggi ini tidak harus dilihat sebagai persaingan di antara kerajaan dan raja-raja. Ia juga tidak patut dianggap sebagai bantahan atau sekatan oleh kumpulan ‘konservatif’ terhadap tindakan pembaharuan institusi yang sedang dibawa oleh kerajaan.

Sesungguhnya, sinergi mantap di antara kerajaan dan raja-raja amat diperlukan demi usaha mengamalkan kesyumulan Islam dalam kehidupan bernegara. Pelaksanaan kuasa raja berkaitan agama Islam tidak akan berkesan tanpa pembabitan kerajaan, sama ada pada peringkat Persekutuan atau juga kerajaan pada peringkat negeri.

Ringkas kata, kerajaan dan raja tidak dapat dipisahkan dalam merealisasi dan memanifestasi nilai-nilai dan ajaran Islam dalam kehidupan bernegara. Kedua-duanya hendaklah memainkan peranan masing-masing. Sinergi di antara kedua-dua ini, antara nilai luhur (higher values) Perlembagaan Persekutuan.

Merujuk kepada terma lantikan yang dinyatakan, perhatian jawatankuasa tertinggi ini hendaklah tertumpu, terutamanya, kepada penyusunan institusi Islam mengikut bidang tugas masing-masing supaya semuanya dapat memberikan sumbangan berkesan dan optimum.

Ketika ini, terdapat pelbagai kategori institusi Islam yang telah ditubuhkan pada peringkat Persekutuan. Dari segi punca kuasa, terdapat dua kategori institusi:

(1) Di bawah punca kuasa Majlis Raja-Raja. Institusi yang ditubuhkan di bawah punca kuasa ini ialah Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Islam.

(2) Di bawah Perkara 12(2) Perlembagaan Persekutuan yang menyatakan, “… adalah sah bagi Persekutuan … menubuhkan atau menyenggarakan atau membantu dalam menubuhkan atau menyenggarakan institusi-institusi Islam atau mengadakan atau membantu dalam mengadakan ajaran dalam agama Islam dan melakukan apa-apa perbelanjaan sebagaimana yang perlu bagi maksud itu”.

Dari sudut jenis institusi, terdapat institusi Islam yang ditubuhkan sebagai jabatan atau institut kerajaan; yayasan yang ditubuhkan di bawah Akta Pemegang Amanah (Perbadanan) 1952; institusi yang ditubuhkan di bawah Akta Syarikat; dan Badan Berkanun menerusi akta khas.

Institusi Islam yang ditubuhkan sebagai jabatan kerajaan ialah JAKIM, Jabatan Kehakiman Syarie Malaysia, Jabatan Pendakwaan Syariah Wilayah Persekutuan dan Jabatan Wakaf, Zakat dan Haji (JAWHAR). Institut Wasatiyyah Malaysia pula ditubuhkan sebagai sebuah institut di bawah Jabatan Perdana Menteri.

Institusi yang ditubuhkan di bawah Akta Pemegang Amanah (Perbadanan) dikenali sebagai yayasan. Di bawah kategori ini terdapat Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM), Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YaPEIM) dan Yayasan Wakaf.

Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM) dan TV Al-Hijrah ialah dua institusi yang ditubuhkan di bawah Akta Syarikat. Institut Kajian Strategik Islam (IKSIM) yang mendapat dana daripada Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan juga sebuah institusi yang dibina di bawah Akta Syarikat.

Lembaga Tabung Haji pula sebuah Badan Berkanun yang ditubuhkan melalui iaitu Akta Tabung Haji 1995 (Akta 535).

Semua institusi Islam itu mempunyai visi dan misi masing-masing pada mula ditubuhkan. Setelah dirangkum pewujudan institusi berkenaan, aspek berkaitan Islam pada peringkat Persekutuan, termasuklah hal-hal berkaitan ekonomi umat Islam, perundangan, pendidikan, pemikiran, pendidikan dan dakwah. Kelihatannya, institusi Islam ini telah merangkumi semua aspek penting Islam.

Bergerak serentak

Diharapkan agar jawatankuasa tertinggi ini dapat merumus dan mencadangkan formula untuk menggabung jalin dan membina sinergi antara institusi Islam sedia ada supaya semuanya bergerak secara serentak dan bekerjasama dalam pelaksanaan fungsi sehingga memperlihatkan manifestasi ajaran Islam dalam kehidupan bernegara.

Juga menjadi harapan supaya jawatankuasa ini dapat menzahirkan kaedah yang merangkumi usaha melestari kedudukan Islam dan menyantuni pelbagai dimensi kepelbagaian di negara kita, dalam bingkai Perlembagaan Persekutuan.

Kaedah ini penting kerana ia akan menjelmakan Islam sebagai agama syumul dan menepis tohmahan bahawa Islam ialah agama yang mendorong kepada diskriminasi atau kekerasan.

Juga menjadi harapan supaya jawatankuasa tertinggi ini dapat mencadangkan mekanisme tertentu untuk menzahirkan pemikiran Islam dalam urusan pentadbiran negara secara langsung dengan mencadangkan penubuhan institut atau jawatankuasa penyelidik dan pemikir secara khusus dan secara langsung, di bawah Jabatan Perdana Menteri serta diperkenan Majlis Raja-Raja.

Semoga kedaulatan raja-raja dalam hal berkaitan agama Islam secara khusus dan peranan raja-raja sebagai payung negara secara umum dapat dizahirkan melalui formula dan mekanisme yang akan dicadangkan oleh jawatankuasa tertinggi ini.

Mungkin jawatankuasa boleh mencadangkan penubuhan sebuah lembaga atau kumpulan profesional yang tiada kepentingan politik kepartian untuk memberikan pandangan kepada raja-raja berkaitan pengurusan dan pentadbiran Islam secara langsung dari masa ke masa, bagi mengelakkan Islam dijadikan bahan politik kepartian.

Akhir sekali, semoga jawatankuasa tertinggi dapat memberikan nafas baharu kepada perkembangan Islam dan pemantapan pentadbiran, serta pelaksanaan fungsi oleh institusi Islam dan menyampaikan dakwah Islam secara lebih sistematik.

Prof Madya Dr Shamrahayu A Aziz
Pensyarah Fakulti Undang-Undang Ahmad Ibrahim,
Universiti Islam Antarabangsa Malaysia

Sumber: Berita Harian 

www.indahnyaislam.my

—-—

Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam:

MYDAKWAH RESOURCES
5628 3464 5315 (Maybank Islamik)

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *



Sumbangan
Related Posts