Perang Tabuk, pembukaan Konstantinopel serlah merdeka hakiki

 

UMAT Islam di negara ini perlu mendalami prinsip kemerdekaan sebenar bagi memastikan pemahaman merdeka mengikut acuan Islam tidak disalah tafsir dan tersasar.

Pensyarah Fakulti Tamadun Islam, Akademi Tamadun Islam, Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Prof Dr Badlihisham Mohd Nasir, berkata kebanyakan orang Islam terutama generasi muda tersalah tafsir memahami erti kemerdekaan kerana hanya mengaitkannya kepada kebebasan mutlak atas nama hak asasi manusia semata-mata.

Namun, Badlihisham berkata, hakikat sebenar kemerdekaan menuntut setiap Muslim berfikir sejenak supaya tidak terlalu terikut-ikut acuan merdeka dicanai Barat hingga minda umat Islam terus dijajah fahaman sekularisme.

“Prinsip merdeka dalam Islam adalah mengeluarkan atau memerdekakan manusia daripada perhambaan sesama manusia kepada perhambaan kepada Allah SWT semata-mata.

“Merdeka daripada kesempitan hidup kepada keluasan dunia dan akhirat. Merdeka daripada kekejaman kepada kebaikan, yang negatif kepada lebih positif. Itulah makna merdeka mengikut acuan Islam.

“Tidak merdeka mereka yang terus mengutamakan hawa nafsu dan mengagungkan budaya serta gaya hidup Barat yang berkiblatkan pegangan hidup liberal,” katanya.

Badlihisham berkata, merdeka dengan acuan bebas berfikir, berbuat apa saja tanpa dibatasi sebarang peraturan, undang-undang termasuk hukum syarak, mengagungkan budaya serta gaya hidup Barat, selain kehidupan jauh terpesong daripada aturan hakiki ditetapkan Allah SWT yang hanya akan membawa kebinasaan.

Beliau berkata, umat Islam perlu menyelami iktibar daripada perang yang pernah disertai Rasulullah SAW terutama pengorbanan dan perjuangannya, khasnya menerusi Perang Tabuk.

“Perang Tabuk membabitkan musuh Islam paling kuat dan terbesar pada zaman itu iaitu Rom.

“Namun, sebelum tiba detik pertempuran, tentera Rom mengambil keputusan berundur, sekali gus membawa kemenangan kepada Islam tanpa sebarang pertumpahan darah.

“Malah, Rasulullah SAW mengadakan perjanjian damai dengan pemimpin dari Ailah, Jarba’ dan Azruh,” katanya.

Badlihisham berkata, ia membawa kepada berakhirnya penguasaan wilayah yang sebelum ini dikuasai Rom dengan ramai delegasi Arab selepas itu mulai bernaung di bawah pemerintahan Islam.

Beliau berkata, dalam Perang Tabuk tiada nyawa hilang kerana strategi Nabi Muhammad SAW dalam peperangan lebih kepada tujuan dakwah iaitu menawan dan mengislamkan Musyrikin bukan dengan niat lain seperti menjajah tanah mereka.

Katanya, kejayaan Rasulullah SAW membawa keamanan kepada wilayah bergolak dan mempersaudarakan sesama Muslim walaupun berlainan bangsa, sekali gus kemerdekaan lebih bermakna tanpa perlu pertumpahan darah serta kehilangan nyawa.

Mengulas lanjut, beliau berkata, makna kemerdekaan mengikut Islam perlu dikaitkan dengan ketokohan Sultan Muhammad Al-Fatih ketika memimpin tentera empayar Islam Uthmaniah menakluki Konstantinopel dengan penuh hikmah kemanusiaan.

Katanya, Sultan Muhammad Al-Fatih dan bala tenteranya boleh saja menyerang Konstantinopel habis-habisan berikutan tentera Rom Timur dari empayar Byzantine sudah keletihan dan hilang semangat selepas diserang secara bertubi-tubi.

“Namun, baginda mahu memasuki kota itu dengan cara damai tanpa pertumpahan darah tetapi Raja Constantine enggan berunding serta menyerahkan kota itu walaupun sudah diberikan jaminan keamanan dan keselamatan,” katanya.

Badlihisham berkata, selepas serangan 52 hari itu, Kota Konstantinopel akhirnya dapat dibuka Sultan Muhammad Al-Fatih dan tenteranya.

“Titah awal baginda adalah semua tenteranya harus melayan tawanan perang mereka dengan lemah-lembut tanpa sebarang kekerasan, selain berbuat baik kepada penganut Kristian yang juga penduduk asal.

“Selepas mengisytiharkan kemenangan, Sultan Muhammad Al-Fatih menuju ke Gereja Hagia Sophia yang ketika itu, penduduk Konstantinopel beragama Kristian termasuk pendeta berkumpul dalam keadaan ketakutan.

“Namun, baginda menitahkan supaya mereka semua pulang ke rumah seperti biasa dengan aman, malah menjamin kebebasan mengamalkan kepercayaan agama mereka,” katanya.

Badlihisham berkata, melihat akhlak dan toleransi Sultan Muhammad Al-Fatih, beberapa penduduk serta pendeta Kristian akhirnya mengucapkan syahadah.

Beliau berkata, peristiwa itu bukan saja menerbitkan kekaguman kepada penduduk asal Konstantinopel yang beragama Kristian, malah membawa pengertian penaklukan dan kemerdekaan menerusi acuan Islam sangat bertoleransi, bertimbang rasa serta menghormati, sekali gus tidak bertindak menghukum dan membalas dendam tawanan perang.

“Peristiwa itu memberi pengajaran sangat berguna kepada umat Islam bahawa peperangan dan penaklukan mengikut acuan Islam tidak sesekali membawa derita, malah mampu memberi kemerdekaan sebenar kepada tawanan perang tanpa perlu memaksa mereka memeluk Islam.

“Kesannya, nama Sultan Muhammad Al-Fatih amat disegani dan dihormati penduduk asal Kristian di Konstantinopel hingga ia bertukar menjadi Turki seperti hari ini,” katanya. – Berita Harian

www.indahnyaislam.my

—-—

Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam:

https://www.billplz.com/indahnyaislam

MYDAKWAH RESOURCES
5628 3464 5315 (Maybank Islamik)

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *



Sumbangan
Related Posts