Peringatan jelas daripada Allah dalam al-Quran

Permasalahan kecelaruan seksual dan jantina yang merujuk kepada komuniti lesbian, gay, biseksual, dan transgender (LGBT) bukan isu baharu. Allah SWT menjelaskan permasalahan homoseksual sudah lama berlaku dalam kalangan umat Nabi Lut AS.

Perbuatan homoseksual terbabit jelas perkara yang keji sebagaimana firman-Nya pada Surah al-A’raf ayat 80 hingga 84 bermaksud: “Dan Nabi Lut (juga Kami utuskan). Ingatlah tatkala dia berkata kepada kaumnya, ‘Patutkah kamu melakukan perbuatan keji yang tidak pernah dilakukan oleh seorang pun daripada penduduk alam ini sebelum kamu? Sesungguhnya kamu mendatangi lelaki untuk memuaskan nafsu syahwat kamu dengan meninggalkan perempuan, bahkan kamu ini adalah kaum yang melampaui batas.’ Dan tiada jawapan oleh kaumnya melainkan mereka berkata, ‘Usirlah mereka (Nabi Lut dan pengikutnya yang taat) dari bandar kamu ini sesungguhnya mereka adalah orang yang (mendakwa) mensucikan diri. Maka Kami selamatkan dia dan ahlinya (keluarganya dan pengikutnya) melainkan isterinya, adalah dia tergolong dalam orang yang dibinasakan. Dan Kami menghujani mereka dengan hujan (batu yang membinasakan). Oleh itu, lihatlah bagaimana akibat orang yang melakukan kesalahan.”

Ayat ini jelas menggambarkan perilaku jenayah songsang umat Nabi Lut AS yang mengalami masalah kecelaruan seks apabila memiliki kecenderungan melakukan hubungan intim dengan kaum sejenis iaitu lelaki bersama lelaki dan perempuan dengan perempuan.

Orientasi seksual yang dilakukan sesama pasangan sejenis atau homoseksual disebut dalam hadis dengan istilah liwat (homoseksual) dan al-sihaq (lesbian).

Dalam ayat al-Quran di atas, Allah menggambarkan azab yang menimpa ke atas kaum Nabi Lut AS iaitu kaum Sodom dan Amoro iaitu daerah di Syam.

Menurut Blanch Consulting, lesbian merujuk kepada perempuan yang tertarik (secara seksual atau romantiknya) terhadap perempuan lain. Gay pula merujuk kepada lelaki yang tertarik (secara seksual atau romantiknya) terhadap lelaki lain. Sementara itu, biseksual merujuk kepada seseorang yang tertarik (secara seksual atau romantiknya) terhadap lelaki dan perempuan. Transgender pula merujuk kepada seseorang yang identiti jantina atau ekspresi jantinanya berlawanan atau bertentangan dengan norma tradisi serta ciri fizikal seksualnya.

Namun, wujud kecenderungan dalam kalangan ilmuwan dan pengamal LGBT Muslim khususnya di Barat yang menyokong perbuatan homoseksual dengan menggunakan ayat al-Quran sebagai hujah. Khususnya ayat yang membicarakan kisah umat Nabi Lut AS dengan memberikan pentafsiran baharu yang jelas menyeleweng daripada pentafsiran muktabar.

Ini dibuktikan berdasarkan pandangan Amreen Jamal yang mengkritik pentafsiran ayat berkaitan umat Nabi Lut AS yang disebut sebanyak 14 tempat dalam al-Quran (misalnya 6: 85-87, 38: 11-14, 54: 33-40) yang kononnya tidak mengharamkan homoseksual.

Beliau sebaliknya menegaskan antara punca umat Nabi Lut AS diazab kerana berlakunya keganasan seksual. Pandangan tersasar ini disokong oleh Malik, Nahas, Shahrur dan pemikir liberalisme agama yang lain.

Selain al-Quran, fenomena kebejatan LGBT turut dijelaskan oleh baginda SAW. Antaranya daripada Abu Musa al-Ash’ari RA berkata, Nabi SAW bersabda bermaksudnya: “Tidaklah seorang wanita itu menikmati hubungan dengan seorang wanita lain kecuali mereka berzina. Dan tidaklah seorang lelaki menikmati hubungan dengan seorang lelaki lain kecuali mereka juga (sedang) berzina.”

Hadis ini ada dalam karya al-Mu’jam al-Awsat. Menurut Shu’ayb al-Arna’ut, hadis ini berstatus sahih, tetapi sanadnya terputus. Oleh yang demikian, hadis ini berstatus sahih walaupun dikatakan sanadnya terputus kerana hal sebegini tidak memberikan apa-apa kesan kepada kesahihan matannya.

Hadis ini menjelaskan hukum wanita bersedap-sedapan (termasuk bersetubuh) dengan wanita lain dan lelaki yang mendatangi lelaki lain. Kedua-dua jenis perlakuan ini dinamakan sebagai golongan lesbian (bagi sesama wanita) dan gay (bagi sesama lelaki) atau disebutkan juga golongan homoseksual. Kedua-dua perbuatan terkutuk ini adalah termasuk dalam kategori zina.

Allah SWT menjadikan manusia itu berpasang-pasangan, lelaki dengan perempuan dengan jalan perkahwinan yang halal mengikut syarak supaya manusia boleh memperoleh zuriat, memelihara keturunan, sekali gus menjaga akhlak supaya tidak dicemari dengan perbuatan tidak sepatutnya.

Namun, akhir ini, sudah banyak lelaki yang menyerupai wanita ‘mempromosikan’ diri mereka di media sosial, malah tiada lagi perasaan segan dan malu. Perbuatan lelaki menyerupai wanita ini adalah tergolong dalam empat jenis manusia yang dilaknat Allah SWT.

Daripada Saidina Abu Hurairah RA, Nabi Muhammad SAW bersabda: “Empat jenis manusia dimurkai Allah pada waktu pagi dan dikutuk Allah pada waktu petang.” Aku bertanya: ‘Siapakah mereka itu wahai Rasulullah?’ Baginda menjawab: ‘Orang lelaki yang menyerupai perempuan, perempuan yang menyerupai lelaki, orang yang melepaskan nafsu pada binatang dan orang yang datang kepada lelaki (homoseksual).'” Hadis Riwayat al-Baihaqi

Keempat-empat golongan berkenaan sudah ada di depan mata kita sekarang dan yang paling jelas adalah tiga kelompok utama iaitu lelaki yang menyerupai wanita. Dalam istilah bahasa pasar masyarakat pada hari ini dilabel dengan nama ‘mak nyah’ dan seumpamanya, perempuan yang menyerupai lelaki yang dikenali dengan ‘tomboi’ dan lelaki yang mendatangi lelaki untuk melakukan hubungan sejenis.

Sesungguhnya Allah SWT sudah memberi peringatan yang jelas kepada kelompok manusia ini. Tambah memberi keanehan tatkala ada pendakwah yang cuba menegur mereka, ia dibalas dengan kata sinis atau yang lebih buruk dengan kata-kata nista seumpama mahu mempertahankan perbuatan mereka. Ini adalah kelompok yang hidup bersama kita pada hari ini, semoga Allah SWT mengurniakan hidayah kepada kita semua supaya dapat menginsafi perbuatan sendiri dan mengambil teladan daripada peringatan terdahulu. – My Metro

www.indahnyaislam.my

—-—

Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam:

www.indahnyaislam.my/Sumbangan-Indahnya-Islam

PERSATUAN INDAHNYA ISLAM
5622 6352 7695 (Maybank Islamik)

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published.



Sumbangan
Related Posts