Perlu faham sejarah panjang perjuangan Palestin

PADA penghujung abad ke-19, orang Yahudi beramai-ramai menerima agenda Zionisme, iaitu suatu gerakan bagi menubuhkan negara Yahudi di atas tanah Palestin.

Agenda ini disebarluaskan oleh Theodor Herzl, seorang wartawan dan aktivis politik Yahudi yang telah menulis sebuah buku bertajuk Negara Yahudi, disebarkan kepada masyarakat Yahudi di seluruh Eropah pada 1896.

Pada 1897, Persidangan Zionis Antarabangsa Pertama dilaksanakan di Basel, Switzerland.

Gerakan Zionis Antarabangsa telah mencapai satu resolusi untuk menubuhkan sebuah negara khusus bagi orang Yahudi di tanah Palestin yang diiktiraf undang-undang antarabangsa.

Bermulalah pelbagai perancangan Zionis untuk merampas tanah Palestin. Pada peringkat awal, mereka berusaha untuk membelinya daripada Khalifah Uthmaniyah, Sultan Abdul Hamid II, namun baginda menolaknya dan mempertahankan tanah Palestin dengan tegas.

Gerakan Zionis seterusnya bekerjasama dengan Empayar British untuk menjatuhkan Empayar Uthmaniyah dan seterusnya mendapatkan tanah Palestin bagi merealisasikan cita-cita mereka.

Pelbagai peristiwa berlangsung dalam proses mendirikan negara Yahudi tersebut.

Antaranya penjajahan British ke atas Palestin (1917), migrasi hampir 400,000 Yahudi ke bumi Palestin (1920-1946), Pelan Pembahagian Tanah Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) 1947, iaitu pemberian dua pertiga daripada tanah Palestin kepada orang Yahudi.

Akhirnya pada 14 Mei 1948, gerakan Yahudi Zionis mengumumkan kewujudan entiti haram Israel selepas tamatnya mandat British atas Palestin.

Pada 15 Mei 1948, rakyat Palestin mengisytiharkan hari tersebut sebagai Hari Nakbah, iaitu bermulanya malapetaka di tanah Palestin dengan hilangnya negara Palestin daripada peta dunia dan berlangsungnya penghapusan etnik terhadap rakyat Palestin.

Lebih 750,000 orang penduduk asal dihalau keluar dari tanah air mereka dan menjadi pelarian serta 15,000 orang dibunuh.

Wilayah Gaza waktu itu diserahkan kepada Mesir dan Tebing Barat kepada Jordan. Tahun 2023 menandakan sudah 75 tahun insiden Nakbah berlangsung dan masih belum tamat.

Dalam tempoh 75 tahun ini, pelbagai kesengsaraan dihadapi rakyat Palestin. Setelah berlalunya masa, negara-negara Arab memilih jalan perdamaian dengan Israel dan menerima konsep penyelesaian dua negara termasuk dalam kalangan gerakan Palestin sendiri.

Kebangkitan baharu perjuangan Palestin mula dilihat pada 1987 yang juga tahun secara rasminya Hamas ditubuhkan.

Rakyat Palestin meneruskan momentum perjuangan dengan bertempur secara terus dengan Israel sejak kebangkitan itu.

Penentangan yang hebat ini memaksa Israel berundur sepenuhnya dari Gaza pada 2005.

Namun, setelah Hamas memenangi pilihan raya secara sah pada 2006, Amerika Syarikat dan Israel tidak mengiktirafnya lalu mengenakan sekatan penuh melalui darat, laut dan udara terhadap Gaza dari 2007 sehingga hari ini.

Tanggal 7 Oktober lalu yang disebut sebagai Taufan Al-Aqsa menyaksikan bermulanya fasa baharu dalam perjuangan Palestin, iaitu fasa pembebasan penuh Palestin.

Fasa ini menuntut kita untuk turut bersama dalam perjuangan dengan bersolidariti dan menyokong penuh usaha para pejuang Palestin membebaskan Masjid Al-Aqsa dan seluruh tanah Palestin yang dijajah.

Kita perlu menggunakan segala kemahiran yang ada untuk mematahkan naratif Zionis yang berpuluh tahun telah menipu dunia dan menjelaskan hakikat sebenar sejarah panjang perjuangan Palestin. – UTUSAN

AHMAD NU’MAN MAZLAN
Pengurus Aman Palestin Cawangan Temerloh

www.indahnyaislam.my

—-—

Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam:

www.indahnyaislam.my/Sumbangan-Indahnya-Islam

PERSATUAN INDAHNYA ISLAM

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *



Sumbangan
Related Posts