Permohonan MAIPs untuk beri pendidikan asas Islam kepada tiga kanak-kanak mualaf ditolak

KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi menolak permohonan Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) untuk memberikan pendidikan asas Islam kepada tiga kanak-kanak mualaf yang diletakkan di bawah jagaan ibu mereka, Loh Siew Hong.

Hakim Hayatul Akmal Abdul Aziz berkata mahkamah membuat keputusan itu selepas mendapati permohonan MAIPs tidak mempunyai merit.

“MAIPs telah gagal membuktikan kesnya dalam permohonan itu. Tiada justifikasi yang sah atau munasabah… Selepas menimbang semua fakta serta hujahan, saya mendapati tiada merit dalam permohonan MAIPs dan menolak permohonan itu. Tiada perintah berkaitan kos,” katanya.

Beliau berkata susulan pengalaman traumatik yang dialami oleh kanak-kanak terbabit, pertikaian yang berlarutan serta tidak perlu berhubung akses bukanlah perkara terbaik untuk mereka.”Semua pihak harus menerima situasi ini.

Berhenti menafikan dan campur tangan dalam kehidupan mereka ketika mereka sedang membesar serta hormatilah mereka sebagai anak yang matang. Mereka tidak sepatutnya dijadikan alat dalam perundangan bagi memaksa mereka melakukan apa yang mereka enggan lakukan,” katanya.

MAIPs memohon perintah variasi bagi melaksanakan tanggungjawab terhadap tiga kanak-kanak itu antaranya membawa mereka menunaikan solat Jumaat dan meraikan hari-hari kebesaran Islam di masjid berhampiran, memberi bantuan zakat serta membantu menampung kos sara hidup mereka dari aspek pendidikan, keperluan dan kebajikan.

Pada 7 Feb lepas, Mahkamah Rayuan telah membenarkan permohonan MAIPs untuk menjadi responden kedua dalam petisyen perceraian yang difailkan oleh bekas suami Loh, Muhammad Nagahswaran Muniandy, membabitkan isu hak penjagaan tiga anak mereka yang diperoleh wanita itu.

Loh, 34, telah diberikan hak penjagaan dan kawalan tunggal ke atas sepasang kembar perempuan berusia 15 tahun dan seorang kanak-kanak lelaki berusia 12 tahun.

Hayatul Akmal juga berkata kebajikan dan kepentingan kanak-kanak itu tidak dapat dipenuhi dengan memberikan akses kepada MAIPs bagi mendekati mereka dua kali seminggu untuk memberikan pendidikan asas Islam.

Beliau berkata semasa sesi temu bual pada 27 Sept, kanak-kanak terbabit memaklumkan bahawa mereka tahu mengenai permohonan MAIPs untuk mendapatkan akses kepada mereka dan mereka tidak mahu perkara itu berlaku.

Hakim itu berkata kanak-kanak terbabit telah menyatakan bahawa mereka ingin tinggal bersama ibu mereka dan takutkan bapa mereka yang terlibat dengan najis dadah serta sering mendera ibu mereka.

“Kanak-kanak terbabit berkata mereka amat gembira ke sekolah ketika ini dan menjalani aktiviti kokurikulum. Mereka memaklumkan saya bahawa mereka tidak berminat untuk kekal sebagai penganut agama Islam,” katanya.

Peguam Mohamed Haniff Khatri Abdulla mewakili MAIPs manakala Loh diwakili J.Gunamalar.

Sementara itu, Loh berkata beliau berharap tidak ada lagi mana-mana pihak yang campur tangan dalam kes tersebut.”Saya ingin hidup dengan tenang bersama anak-anak, saya tak mahu orang kacau saya, cukuplah.

Sebagai seorang ibu, saya mahu fokus mengenai pendidikan mereka, bukan fikir pasal kes mahkamah sahaja kerana kami mahu hidup dengan tenang,” katanya dalam nada sebak.– BERNAMA

www.indahnyaislam.my

—-—

Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam:

www.indahnyaislam.my/Sumbangan-Indahnya-Islam

PERSATUAN INDAHNYA ISLAM

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *



Sumbangan
Related Posts