Pertikaian undang-undang syariah negeri mesti diatasi segera

Bangi – Majlis Agama Islam Selangor (Mais) bimbang gerakan pihak-pihak tertentu yang secara halus cuba untuk menjejaskan kedudukan agama Islam sebagai agama negeri dan Persekutuan melalui proses litigasi mahkamah.

Pengerusinya, Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof berkata, Ini termasuk mempertikai bidang kuasa negeri dalam menggubal peruntukan undang-undang Islam yang kebanyakannya adalah kelestarian daripada undang-undang Islam yang telah diamalkan dan dikuatkuasakan di negeri-negeri di Malaysia sebelum pembentukan Perlembagaan Persekutuan.

Merujuk kepada kes Nik Elin yang memohon Mahkamah Persekutuan membatalkan 20 peruntukan dalam Enakmen Kanun Jenayah Syariah Kelantan 2019, beliau berkata, Mais menghormati prosiding mahkamah sedang berjalan dan kuasa Mahkamah Persekutuan dalam memutuskan perkara berkaitan pentadbiran keadilan.

Bagaimanapun katanya, Mais berpendirian bahawa tindakan segera perlu diambil untuk mengelak pertikaian seperti kes Iki Putra dan Nik Elin ini berlaku lagi pada masa akan datang.

Ini kerana katanya, pertikaian seperti itu hanya akan menjejaskan kuasa negeri berhubung dengan agama Islam.

“Justeru, Mais menggesa Kerajaan Persekutuan menyegerakan penubuhan jawatankuasa khas di peringkat Persekutuan untuk membuat kajian mengenai kompetensi Dewan Undangan Negeri menggubal undang-undang Islam dalam kerangka ditetapkan Perlembagaan Persekutuan.

“Ini termasuklah mencadangkan pindaan terhadap Perlembagaan Persekutuan dan Akta 355 berkaitan dengan bidang kuasa jenayah syariah negeri.

“Ini adalah seperti mana titah Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor sebagai Pengerusi Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal lslam Malaysia (MKI) sempena Mesyuarat MKI Kali ke-70 baru-baru ini,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Abdul Aziz menegaskan, Mais sentiasa komited untuk memperkasa perundangan Islam di Selangor.

Sehubungan itu, Mais menyatakan komitmen dan mengharapkan Kerajaan Persekutuan agar melibatkan Majlis Agama lslam Negeri termasuk Mais untuk bersama-sama dengan jawatankuasa khas yang dibentuk.

“Ini adalah untuk memastikan tindakan yang menyeluruh dapat dibuat untuk menyelesaikan isu berhubung dengan kompetensi badan perundangan negeri dalam menggubal undang-undang lslam demi untuk menjaga kedudukan agama Islam sebagai agama Persekutuan dan agama negeri,” katanya.

Nik Elin Zurina Rashid sebelum ini memohon Mahkamah Persekutuan mengisytiharkan supaya 20 seksyen kesalahan jenayah syariah dalam Enakmen Kanun Jenayah Syariah (I) Kelantan 2019, terbatal dan tidak sah, selain memohon mahkamah mengisytiharkan DUN Kelantan tidak mempunyai kuasa membuat enakmen berkaitan kesalahan jenayah syariah yang terpakai kepada orang Islam saja.

Mahkamah Persekutuan menetapkan 20 November ini bagi menyambung pendengaran petisyen peguam itu.

www.indahnyaislam.my

—-—

Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam:

www.indahnyaislam.my/Sumbangan-Indahnya-Islam

PERSATUAN INDAHNYA ISLAM

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *



Sumbangan
Related Posts