Definisi Pilihanraya
Menurut Kamus Dewan Bahasa dan Pustaka edisi ke-4, pilihanraya memberikan maksud membuat pemilihan dengan cara mengundi yang dilakukan oleh semua orang. Iaitu dalam konteks negara Malaysia, pilihanraya ialah satu sistem yang dilakukan oleh warganegara yang mencukupi syarat-syarat untuk mengundi melakukan undian ke atas calon-calon yang bertanding samada yang membabitkan di peringkat negeri atau parlimen.
Pilihanraya dalam bahasa arab ialah الإنتخابات yang memberikan maksud pilihan ke atas sesuatu.
Pilihanraya merupakan satu satu konsep dalam sistem demokrasi yang dijalankan oleh Negara kita selain kebebasan bersuara, kebebasan berhimpun, kebebasan media dan sebagainya.
Justeru, pilihanraya merupakan satu sistem dalam rakyat memilih calon wakil mereka untuk dilantik sebagai pemimpin samada di peringkat negeri atau parlimen. Pemilihan tersebut dilakukan dengan cara mengundi salah seorang daripada calon-calon yang layak bertanding.
Konsep Pemilihan Dalam Al-Quran Dan Hadis
Dalam Al-Quran dan hadis secara tidak langsung banyak memaparkan kisah atau sejarah terdahulu serta sirah yang berlaku di zaman Nabi SAW berkenaan dalam memilih seseorang atau lebih untuk sesuatu penentuan. Justeru, konsep pemilihan ini merupakan salah satu cara untuk menaikkan seseorang atau melantik seseorang.
Bahkan pilihanraya sebagaimana yang diberikan definisi asas ialah memilih seseorang untuk dilantik sebagai pemimpin. Hal ini ada disebut dan kalimah yang digunakan samada dalam Al-Quran samada خ , ي , ر atau ص , ف , و yang memberikan makna memilih.
Antaranya ialah :
1- Dalam Surah Al-A’raf, pada ayat ke-155 yang bermaksud :
“Dan Nabi Musa telah memilih 70 lelaki dari kaumnya (untuk dibawa bersama ke Gunung Thursina) pada waktu yang telah kami tetapkan.”
2- Surah Taha, pada ayat ke-13 yang bermaksud :
“Dan Aku telah memilihmu menjadi rasul, maka dengarkanlah apa yang akan diwahyukan kepadamu.”
3- Surah Ad-Dukhan, pada ayat ke-32 yang bermaksud :
“Dan demi sesungguhnya, Kami telah memilih mereka dengan berdasarkan pengetahuan (Kami) – menjadi lebih pangkatnya lebih dari penduduk dunia (pada zaman itu)”
4- Surah Shad pada ayat ke-47 yang bermaksud :
“Dan sesungguhnya mereka di sisi Kami adalah dari orang-orang pilihanyang sebaik-baiknya.”
5- Surah Al-Isra’ pada ayat ke-40 yang bermaksud :
“Patutkah Tuhan mengambil dari makhluk-makhluk yang diciptakan-Nya menjadi anak-anak perempuan-Nya dan Dia mengutamakan dengan memilih kamu dengan anak-anak lelaki?”
Berdasarkan ayat-ayat Al-Quran di atas, kesemuanya menunjukkan perkataan memilih atau pilihan yang menjadi kata dasar. Dan inilah konsep pemilihan dalam sejarah dan kisah-kisah yang dibentangkan melalui Al-Quran.
Adapun dalam hadis-hadis, antaranya ialah :
1- Ketika berlakunya perjanjian Aqabah yang ke-2, Nabi SAW bersabda yang bermaksud :
“Keluarkan (tampillah) daripada kalangan kamu kepadaku akan 12 wakil sebagai lantikan naqib ke atas kaum-kaum mereka.” Kemudian lantas keluar 12 wakil dengan dilantik sebagai naqib, 9 daripada mereka dari kalangan Khazraj, bakinya daripada Aus.
Jelas berlakunya pemilihan daripada kalangan rombongan dari Madinah yang berjumpa dengan baginda SAW untuk mengambil perjanjian Aqabah yang ke-2 yang datang sejumlah 70 orang (dalam riwayat lain seramai 72 orang). Pemilihan berlaku ke atas mereka untuk menaikkan 12 wakil daripada kalangan mereka sebagai naqib.
2- Dalam kisah pemilihan khalifah yang ke-3 selepas kewafatan Saidina Umar Al-Farouq, maka para sahabat yang menganggotai majlis syura telah berkumpul dan menyatakan pandangan dalam memilih seorang sahabat. Lalu Zubair menyatakan pilihannya iaitu Ali bin Abi Talib. Talhah pula memilih Usman bin Affan. Sa’ad pula pula memilih Abdul Rahman bin Auf. Maka terdapat 3 calon dalam menggantikan tempat khalifah iaitu Ali bin Abi Talib, Usman dan Affan dan Abdul Rahman bin Auf. Hasil perbincangan selepas itu, Saidina Usman bin Affan dilantik menjadi khalifah yang ketiga.
Dalam peristiwa tersebut menunjukkan berlakunya pemilihan dan undian ke atas 3 calon. Hasil keputusan syura menunjukkan Saidina Usman dipilih sebagai khalifah yang ketiga.
Kesemua ayat-ayat Al-Quran dan hadis serta sirah di atas menunjukkan wujudnya pemilihan dalam melantik seseorang atau lebih. Bahkan ayat yang digunakan juga menunjukkan makna memilih. Walaupun situasi tidak sama sebagaimana pilihanraya yang berlaku pada hari ini namun makna dari sudut bahasa iaitu “memilih” ada dinyatakan. Situasi yang berlaku pada hari ini adalah berbuah namun konsep pemilihan tetap berlaku mengikut situasi semasa.
Pilihanraya Dari Kacamata Islam
Pilihanraya merupakan salah satu sistem dalam pengamalan demokrasi di Negara Malaysia. Pilihanraya memberikan hak kebebasan kepada mana-mana individu untuk bertanding sebagai calon dan rakyat bebas memilih siapa sahaja yang dirasakan daripada calon-calon yang bertanding untuk menjalankan amanah dengan baik dan amanah.
Hasilnya, Dr Yusuf Al-Qardhawi menyebutkan bahawa demokrasi yang menurut Islam sebagaimana yang telah dijalankan oleh negara-negara Islam pada hari ini bukanlah sebagaimana yang dibawakan oleh pihak Barat. Akan tetapi demokrasi yang menurut Islam adalah digunakan dalam sudut politik iaitu dalam memilih pemimpin, konsep menasihati, amar makruf nahi mungkar dan konsep mesyuarat atau syura. Ia berbeza dengan doktrin pihak Barat dalam pembawakan demokrasi yang menyerahkan kuasa mutlak kepada manusia sehingga melebihi syara’.
Demokrasi yang dituntut dalam Islam memberikan kebebasan kepada rakyat untuk memilih serta mengundi wakil mereka sebagai pemerintah untuk melaksanakan amanah dalam bidang tugas pentadbiran Negara adapun dalam bidang syara’ ia tidak mencampuri. Pemimpin menjaga had dan batasan syara’ agar ia terpelihara dan suci dari sebarang pencerobohan dengan memastikan Islam dapat dilaksanakan dengan sempurna.
Justeru, Ulama berselisih pendapat berkenaan dengan hukum ke atas pilihanraya. Majoriti ulama dan pendapat yang digunapakai oleh negara-negara Islam pada hari ini ialah pandangan yang mengharuskan pilihanraya. Antara ulama yang menyokong pandangan ini ialah Syeikh Muhamad Rashid Redha, Al-Imam As-Syahid Hassan Al-Banna, Syeikh Muhamad Abu Zuhrah, Abu Al-A’la Al-Maududi, Abdul Qadir Audah, Dr Abdul Karim Zaidan dan Dr Yusuf Al-Qardhawi.
Hujah-hujah yang menyatakan bahawa pilihanraya adalah harus ialah :
1- Berdasarkan kaedah hukum asal bagi sesuatu perkara (dalam konteks urusan keduniaan) adalah harus selagimana tidak ada nas yang menunjukkan ia adalah diharamkan.
الأصْلُ في الأَشْياءِ الإِباحَةُ
2- Sistem pilihanraya pada zaman sekarang merupakan daripada urusan dunia maka tidak bermasalah untuk memperbaharui, mengubah teknikal dan sebagainya. Apa yang penting, tujuannya adalah melantik seseorang pemimpin. Teknik dan cara adalah terpulang kepada kebijaksanaan dan kesesuaian masa tersebut.
3- Pilihanraya seumpama konsep bai’ah[5] iaitu perjanjian ke atas pemimpin yang dilantik, ia dapat dilihat pada undian yang dilakukan iaitu seseorang akan memilih calonnya yang diredhai dan dipersetujui untuk calon tersebut menjadi pemimpinnya.
4- Banyak catatan sirah dan sejarah yang menunjukkan bahawa umat Islam juga menggunakan teknik yang digunakan oleh pihak luar seperti dalam peperangan Khandak iaitu menggali parit sedangkan ia merupakan kebiasaan oleh pihak Farsi ketika dalam peperangan, Saidina Umar di zaman pemerintahannya menubuhkan sistem jabatan bagi melicinkan pentadbiran dan sebagainya yang mana kesemua tersebut tidak dilarang dan tidak bercanggah dengan syara’. Ia dinamakan sebagai hikmah :
الحِكْمَةُ ضالَةُ المُؤْمِن فَمَنْ وَجَدَها فَهُوَ أَحَقُّ بِها
“Kebijaksanaan itu barangan peninggalan yang tercicir daripada orang mukmin. Maka sesiapa (orang mukmin) yang mendapatinya maka ia lebih berhak dengannya”
5- Tidak ada dalil yang menghadkan atau mengkhususkan sesuatu cara dalam melakukan pemilihan pemimpin. Cara atau teknik adalah terpulang kepada ijtihad yang bersesuaian dengan masyarakat, masa dan tempat selagimana tidak bertentangan dengan nas syara’.[6] Nabi SAW bersabda yang bermaksud :
“Kamu lebih mengetahui akan urusan keduniaan kamu.” – muslim
6- Ia termasuk juga dalam konteks maksud firman Allah berkenaan tolong menolong dalam perkara kebaikan dan kebajikan, dalam Surah Al-Maidah pada ayat ke-2 :
“Dan tolong menolonglah kamu dalam perkara kebaikan dan taqwa, dan jangan tolong menolong dalam perkara dosa dan melampaui batas”
7- Termasuk dalam konteks suruhan Allah berkenaan dengan amar makruf nahi mungkar.
Surah Ali Imran pada ayat ke-104 yang bermaksud :
“Hendak ada dari kalangan kamu satu kelompok yang menyeru ke arah kebaikan dan menyuruh melakukan perkara makrif serta mencegah kemungkaran, dan merekalah orang yang berjaya.”
Surah Ali Imran pada ayat ke-110 yang bermaksud :
“Kamu adalah sebaik-baik umat yang dikeluarkan kepada manusia untuk kamu menyuruh kepada perkara makruf, mencegah kemungkaran dan beriman kepada Allah.”
Umar Al-Tilmisani, mantan Mursyidul Am Ikhwan Al-Muslimin berkata :
“Sesungguhnya kita tidak mengejar akan kemenangan yang dinamakan dengan kemenangan politik. Akan tetapi kita mengejar akan kemenangan yang hakikatnya pertolongan daripada Allah. Maka apabila kita memasuki Dewan Rakyat / Parlimen, maka kita tidak menganggap ia sebagai satu kemenangan mengikut pertimbangan manusia, akan tetapi ia sebagai minbar atau medium untuk menyampaikan dakwah.”
8- Salah satu cara dalam mencegah kemungkaran yang dilakukan oleh pemerintah yang lepas. Iaitu dengan menggantikan dengan pemerintah yang adil dan amanah. Serta mampu membawa suara rakyat serta dakwah ke dalam parlimen. Hal ini termasuk dalam konteks “kuasa” dalam hadis Nabi SAW yang bermaksud :
“Sesiapa dari kalangan kamu yang melihat kemungkaran, maka cegahlah ia dengan tangan (kuasa), jika tidak mampu maka cegahlah dengan lisan, maka jika tidak mampu maka dengan hati, dan itu adalah selemah-lemah iman.”
9- Menyebarkan Islam dalam konteks yang lebih luas dan membawa maslahat kepada manusia. Hal ini demikian kerana Islam tidak hanya tertumpu kepada hubungan manusia dengan tuhan semata-mata, tidak hanya dalam konteks ibadah khusus semata-mata bahkan segenap urusan dalam kehidupan manusia.
Al-Imam Hassan Al-Banna menyebutkan bahawa :
“Islam adalah satu sistem yang menyeluruh yang merangkumi semua aspek dalam kehidupan. Ia adalah negara dan tanah air ataupun kerajaan dan umat. Ia adalah akhlak dan kekuatan ataupun rahmat dan keadilan. Ia adalah kebudayaan dan undang-undang ataupun keilmuan dan kehakiman. Ia juga adalah kebendaan dan harta ataupun kerja dan kekayaan. Ia adalah jihad dan dakwah ataupun ketenteraan dan fikrah. Sebagaimana juga ia adalah akidah yang benar dan ibadat yang sahih, kesemuanya adalah sama pengiktibarannya di sisi kita.”
10-Berdasarkan hadis yang menunjukkan pemilihan pemimpin. Antaranya sabda Nabi SAW yang bermaksud :
“Keluarkan (tampillah) daripada kalangan kamu kepadaku akan 12 wakil sebagai lantikan naqib ke atas kaum-kaum mereka.” Kemudian lantas keluar 12 wakil dengan dilantik sebagai naqib, 9 daripada mereka dari kalangan Khazraj, bakinya daripada Aus.
Sabda Nabi SAW yang bermaksud :
“Kamu keluar 3 orang yang bermusafir, maka hendaklah mereka melantik seorang ketua daripada kalangan mereka.”
Dalam hadis di atas jelas menunjukkan melantik seorang ketua atau wakil pemimpin melalui pemilihan samada undi mengikut majority atau kesepakatan bersama.
Bahkan Nabi SAW mengiktiraf akan konsep majority dalam sabda baginda SAW yang maksud :
“Sesungguhnya syaitan bersama-sama dengan satu individu, dan ia akan jauh apabila dua.”
Nabi SAW bersabda kepada Abu Bakar dan Umar Al-Khattab yang bermaksud :
“Sekiranya kamu bersepakat dalam mesyuarat akan sesuatu keputusan, maka aku tidak akan bertentangan dengan keputusan tersebut.”
11-Berdasarkan kaedah-kaedah, iaitu :
ما لا يَتِمُّ الواجِبُ إلا به فَهُوَ واجِب
Sesuatu kewajipan yang tidak akan sempurna melainkan dengan sesuatu perkara maka ia menunjukkan bahawa perkara tersebut adalah wajib. Membangunkan negara Islam adalah kewajipan kerana menegakkan syariat secara menyeluruh tidak dapat tidak mesti dengan pentadbiran sesebuah negara. Maka tanpa melalui pilihanraya, gerakan Islam tidak akan mampu meraih ruang kuasa untuk mentadbir negara.
Hukum Mengundi
Ulama berbahas dalam menentukan apakah hukum bagi mengundi. Terdapat perselisihan ulama dalam menentukan hukumnya. Walaupun begitu majoriti ulama meletakkan hukum mengundi sebagai penyaksian iaitu memberikan saksi bahawa calon yang undi tersebut adalah baik dan layak untuk memegang amanah sebagai pemerintah.
Pendapat ini digunakan oleh Al-Imam As-Syahid Hassan Al-Banna, Kesatuan Ulama Sedunia yang dipengerusikan oleh Dr Yusuf Al-Qardhawi, Syeikhul Al-Azhar Syeikh Ahmad Tayyib, Mufti Mesir Syeikh Ali Jumaah dan sebagainya.
Justeru warganegara yang layak mengundi wajib mengundi atas dasar memberikan penyaksian. Jika calon tersebut tidak layak serta tidak amanah maka ia tidak boleh berkrompomi dengannya. Jika calon tersebut amanah dan mampu memikul tanggungjawab pemerintah untuk menjaga agama dan maslahat keduniaan manusia ia mestilah mengundi calon tersebut. Hal ini demikian kerana memberikan kuasa kepada orang yang akan memberikan kerosakan adalah haram kerana bersubahat dengannya.
Berkata Al-Imam As-Syahid Hassan Al-Banna : “Memberikan undian adalah suatu penyaksian, manusia akan ditanya akannya (calon mana yang akan dipilih dan kenapa), maka putuslah untuk memberikan undian berdasarkan hati-hati kamu dan akal kamu, dan jadilah orang yang membantu akan kebenaran dan berani dalam memilih calon yang baik (serta amanah)”
Perkara ini disebut oleh Al-Imam As-Syahid pada tahun 1936 sewaktu memutuskan gerakan Islam Ikhwan Al-Muslimin untuk memasuki pilihanraya. Dan ia menambah lagi bahawa :
– Mengundi adalah hak bagi semua warganegara dan kewajipan yang mesti dilaksanakan
– Undian dalam pilihanraya merupakan salah satu penyaksian yang terbesar selain di padang mahsyar
Ini dikuatkan lagi dengan fatwa yang telah dikeluarkan oleh Syeikhul Azhar Syeikh Ahmad Tayyin dan Mufti Mesir Syeikh Ali Jumaah berkenaan dengan undian adalah wajib kerana ia merupakan suatu penyaksian, sebagaimana yang dikeluarkan dalam surat khabar tempatan Mesir yang bertarikh 28 November 2011.
Sehubungan itu, Dr Yusuf Al-Qardhawi menyebutkan bahawa :
“Sesiapa yang memberikan saksi (undian) kepada seorang yang tidak soleh bahawa lelaki tersebut adalah soleh (layak menjadi pemimpin) maka ia sesungguhnya orang yang memberikan undi tersebut telah melakukan dosa dan kesalahan berdasarkan firman Allah dalam Surah Al-Hajj pada ayat ke-30 yang bermaksud :
“Dan jauhilah kekotoran syirik dan perkataan yang dusta (menipu)”
Maka sesiapa yang mengundi seseorang calon kerana kepentingan peribadi seperti kroninya atau kawannya atau kepentingan lain (selain Islam), maka ia telah melanggar konsep saksi. Sedangkan Allah menyuruh manusia memberikan saksi kerana-Nya (kepentingan Islam) bukan sebab kepentingan lain. Berdasarkan kepada firman Allah SWT dalam Surah At-Thalak pada ayat ke-2 yang bermaksud :
“Dan hendaklah kamu menyempurnakan penyaksian itu kerana Allah semata-mata”
Dan sesiapa yang tidak mengundi atau tidak memberikan undi kepada yang selayak (dengan sengaja) ia dikira telah menyembunyikan penyaksian dan ini bersalahan dengan perintah Allah dalam Surah Al-Baqarah pada ayat 283 yang bermaksud :
“Dan janganlah kamu menyembunyikan penyaksian, maka sesiapa yang menyembunyikan penyaksian sesungguhnya ia berdosa akan hatinya”
Kesimpulan
Berdasarkan kepada penerangan-penerangan di atas dapat disimpulkan beberapa perkara :
– Pilihanraya merupakan salah satu jihad dalam menegakkan negara yang melaksanakan Islam dengan sepenuhnya
– Undian merupakan satu penyaksian. Maka ia merupakan hak dan kewajipan yang mesti dilaksanakan.
– Islam tidak menetapkan bagaimana konsep untuk melantik pemerintah, ia terpulang kepada ijtihad selagimana tidak bercanggah dengan syara’.
Wallahu a’lam
Disediakan oleh :
Muhamad Zuhaili Saiman
www.indahnyaislam.my
—-—
Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam:
www.indahnyaislam.my/Sumbangan-Indahnya-Islam
PERSATUAN INDAHNYA ISLAM