Platform BeDaie bantu 3,000 mualaf dalami Islam

Kota Bharu: Platform dalam talian iaitu BeDaie memperluaskan pengajian kitab secara digital dengan menjalinkan Memorandum Persefahaman (MoU) dengan Persatuan Cina Muslim Malaysia (MACMA) bagi membantu mualaf mendalami Islam.

Pengasas BeDaie, Muhammad Amar Mirza Ab Kadir Jailani berkata, platform BeDaie dapat membantu mualaf untuk menjawab pelbagai persoalan dan kemusykilan mereka berkaitan masalah agama dengan penyertaan ratusan ilmuwan agama dari pelbagai negara.

Beliau berkata, bagi fasa pertama pihaknya mensasarkan 3,000 mualaf dari seluruh Malaysia akan menyertai platfrom BeDaie, namun memerlukan dana tajaan RM250 bagi setiap seorang mualaf dengan kos keseluruhan RM750,000 untuk membantu mereka mendapatkan pengajian agama berbentuk digital secara tersusun.

“Tajaan ini bagi memberi peluang kepada mualaf untuk meneruskan pembelajaran mereka di dalam platform BeDaie dan tempoh pengajian mereka antara setahun hingga dua tahun.

“Kami akan menyediakan modul khas untuk mualaf mempelajarinya supaya dapat mendekatkan diri kepada pengajian kitab seperti tauhid, akhlak, fiqh, dan tasawuf yang disediakan dalam lima bahasa iaitu Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Bahasa Arab, Mandarin dan Urdu,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas MoU antara BeDaie dan MACMA Cawangan Kelantan di Pejabat MACMA, Taman Maju, di sini, hari ini.

Hadir sama, Naib Presiden MACMA, Dr Johari Yap.

Muhammad Amar Mirza berkata, disebabkan pandemik Covid-19, pengajian diadakan secara hibrid iaitu sebahagian akan belajar secara bersemuka dan selebihnya pula secara dalam talian.

Beliau berkata, BeDaie adalah projek pertama di Malaysia yang menggabungkan lapan negara termasuk Indonesia, Singapura, Thailand (Wilayah Pattani), China, India, Yaman, Afrika dan Sri Lanka dalam satu platform untuk berkongsi ilmu dalam pembelajaran agama mengikut kepakaran masing-masing.

“Sehingga kini terdapat ratusan delegasi ustaz dari pelbagai negara sudah mendaftarkan diri sebagai tenaga pengajar secara sah di platform BeDaie.

“Bagaimanapun, menjelang hujung tahun ini, kami mensasarkan kira-kira 100,000 individu akan menggunakan platform BeDaie untuk mendalami ilmu agama,” katanya.-My Metro

www.indahnyaislam.my

—-—

Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam:

www.indahnyaislam.my/Sumbangan-Indahnya-Islam

PERSATUAN INDAHNYA ISLAM
5622 6352 7695 (Maybank Islamik)

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *



Sumbangan
Related Posts