Politik Islam berdakwah, mendidik masyarakat

 

KUALA TERENGGANU – Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang menegaskan, perjalanan politik Islam bukan sekadar mendapat kuasa termasuk menang PRU, tetapi ia termasuk berdakwah dan mendidik masyarakat.

Oleh itu katanya, kerjasama bagi menentukan Islam tetap memimpin masyarakat majmuk berdasarkan dan berkonsepkan Islam yang wajib dipertahankan oleh Pas bukan sahaja sebelum, ketika atau selepas PRU.

Justeru, katanya Pas wajib menolak mereka yang nyata menentang Islam.

“Dalam perjalanan politik Islam, ia mewajibkan kepimpinan yang bercirikan Islam tanpa menentukan siapa yang menjadi perdana menteri, kerana perjuangan kita bukan mengangkat orangnya, tetapi dasar dan matlamatnya untuk mencapai keredaan ALLAH dan kebahagiaan dunia dan akhirat,” katanya dalam satu kenyataan yang dimuat naik dalam laman Facebooknya, semalam.

Beliau berkata, adil terhadap semua tanpa mengira agama dan kaum hanya boleh dilaksanakan oleh Islam dan kepimpinan yang beriman.

Kerana itu, katanya Pas memilih pendekatan budaya politik matang dan sejahtera (BPMS), yang mengeluarkan Pas daripada budaya politik fitnah, maki hamun dan bermusuhan.

“Kini Pas bebas menentukan di mana dan berapa jumlah kerusi yang hendak dipertandingkan bersama gagasannya, tanpa terikat dan diarahkan oleh pihak lain.

“Wawasan Pas sangat luas, bukannya dunia yang sempit, tetapi terus beristiqamah bersama Islam,” katanya.

Jelas Abdul Hadi, muamalat politik Islam adalah berkonsepkan kepimpinan Islam yang wajib dipertahankan, demi menegakkan konsep rahmat kepada seluruh alam dan adil terhadap semua.

“Maka, lebuh raya hubungan dengan semua pihak sangat luas, namun politik damai hendaklah diutamakan,” katanya.

Pas katanya, tidak hanyut dan dihanyutkan oleh sesiapa sahaja yang mahu memaksa, menipu atau melakukan provokasi.

“Majlis Syura Ulama, Dewan Harian, AJK Pas Pusat menentukan keputusan secara jama’ie (kolektif). Muktamar yang melibatkan akar umbi bagi membuat keputusan yang besar, supaya Pas bukan parti milik seorang atau kumpulan sehingga terkeluar daripada konsep asal,” katanya. – Sinar Harian

www.indahnyaislam.my

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *



Sumbangan
Related Posts