Proses Universal Periodic Review dan kedaulatan Islam di Malaysia

13769510_638147189674077_70791641708694745_n

 

A) Apakah Universal Periodic Review?

UPR atau Sesi Semakan Berkala Sejagat (UPR) adalah satu sesi di mana Majlis Hak Asasi Manusia @ Human Rights Council di bawah Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) menilai sejauh mana setiap negara anggota PBB menunaikan tanggungjawab dan komitmen mereka menjaga hak asasi manusia di negara masing-masing.

B) Bagaimana ia berjalan?

Semakan terhadap sesuatu rekod negara anggota adalah berdasarkan 3 dokumen:

i. Dokumen laporan yang disediakan oleh pihak kerajaan negara terbabit.

ii. Dokumen kompilasi maklumat yang ada pada PBB mengenai rekod hak asasi negara terbabit yang disediakan oleh OHCHR (Office of the UN High Commissioner of Human Rights).

iii. Dokumenlaporan/aduan/ desakan oleh PIHAK LAIN (stakeholders) mengenai hak asasi manusia di negara terbabit yang diterima oleh OHCHR yang menyediakan dan merumus aduan/desakan mereka.

Sesi semakan ini berlangsung di Geneva di mana laporan-laporan ini dibentangkan di hadapan 47 negara yang membentuk jawatankuasa kerja Human Rights Council (HRC) secara dialog interaktif dengan wakil negara yang disemak juga negara-negara pemerhati.

Seterusnya jawatankuasa kerja HRC ini akan membuat laporan akhir dan rekomendasi terhadap negara yang dinilai rekod hak asasi manusia mereka.

Hasil daripada perbincangan dan perdebatan inilah yang perlu diperhalusi dan dipertahankan oleh negara anggota kerana apa-apa rekomendasi oleh jawatankuasa bertindak akan digunapakai (adoption) oleh pihak HRC dalam item ke 6 mereka, dan negara anggota mesti mematuhi rekomendasi itu.

Malaysia juga tertakluk kepada semakan ini. Pada sesi semakan ke 2 dalam tahun 2013, Ikatan Muslimin Malaysia (Isma) telah dijemput menyertai sidang meja bulat badan bukan kerajaan (NGO) Islam anjuran Persatuan Peguam Muslim Malaysia bagi meneliti beberapa laporan, dan mendapati terdapat beberapa pihak yang menghantar laporan seperti dokumen (iii) yang dinyatakan di atas.

Mereka termasuk badan-badan seperti Becket Fund for Religious Liberty, Human Rights Watch, Amnesty International, Majlis Peguam, International Commission of Jurists dan lain-lain NGO hak asasi manusia.

Isi kandungan laporan COMANGO (iaitu gabungan NGO-NGO Malaysia di dalam proses UPR) membentuk sebahagian besar tuntutan yang terkandung di dalam dokumen-dokumen yang menjadi asas rujukan rekod hak asasi Malaysia pada pusingan itu.

Di dalam laporan COMANGO terdapat tuntutan-tuntutan di mana berlaku percanggahan antara nilai hak asasi manusia dan syariat yang digariskan Islam yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan seperti berikut:

i. Perenggan 1: Malaysia dituntut untuk menandatangani dan memeterai International Covenant on Civil & Political Rights (ICCPR). Di dalam ICCPR terdapat pada Perkara 18 iaitu berhubung hak kebebasan beragama. Implikasi penerimaan ICCPR ini bakal mengizinkan pemurtadan berlaku secara berleluasa dan bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan.

ii. Perenggan 6.8 berkenaan tuntutan untuk Malaysia menandatangani dan memeterai International Covenant on the Elimination of All Forms of Racial Discrimination (ICERD) yang didakwa “menyediakan rangka kerja undang-undang untuk mengadaptasi obligasi antarabangsa ke dalam undang-undang domestik”. Pematuhan terhadap ICERD ini hanya akan menyebabkan Malaysia mengikut telunjuk dan acuan sekular Barat yang memaksakan penafsiran istilah ‘racism’ atau perkauman ke atas sesuatu negara berdaulat.

iii. Malaysia ditekan untuk mengiktiraf hak-hak berlandaskan SOGI – Sexual Orientation & Gender Identity iaitu hak-hak LGBTIQ (Lesbian, Bisexual, Gays, Transgender, inter-sexed & queer-persons).

iv. Malaysia juga dipaksa tunduk pada kandungan di dalam Prinsip-prinsip Yogjakarta 2006 yang memberikan kebebasan mutlak kepada mereka yang mempraktikkan amalan seks songsang. Sekiranya hak-hak LGBT ini diizinkan, maka langkah pertama yang mesti dilakukan Kerajaan Malaysia ialah menghapuskan undang-undang berhubung kesalahan jenayah liwat. Ini adalah langkah yang membuka ruang untuk pengenalan undang-undang perkahwinan sesama jenis yang setakat ini telah dibenarkan di beberapa negara seluruh dunia.

v. Perenggan 6.2 mendakwa bahawa Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan berkenaan hak-hak istimewa kaum Melayu adalah bersifat perkauman dan diistilahkan sebagai ‘alat politik’. Ini bersalahan dengan kontrak sosial dan juga ciri-ciri utama yang membentuk Perlembagaan Persekutuan.

vi. Perenggan 9 mempersoalkan Enakmen-enakmen Kesalahan Jenayah Syariah, dan khususnya perenggan 9.5 mendesak pemansuhan atau pindaan terhadap kesalahan-kesalahan jenayah Syariah dan enakmen-enakmen yang didakwa sebagai ‘mengganggu hak peribadi’.

vii. Perenggan 10 mewujudkan kekeliruan terhadap isu kebebasan beragama di Malaysia. Di antaranya termasuk kes tuntutan penggunaan kalimah Allah oleh penganut Kristian. Laporan itu juga mempersoalkan larangan terhadap penganut ajaran Syiah menyebarkan fahaman mereka di kalangan umat Islam. Selain itu, hak seorang bapa beragama Islam untuk mengislamkan anak-anak di bawah umur juga dijadikan isu hak asasi manusia.

Mengikuti kursus UPR di Geneva pada hari pertama ini, membuka mata kami bagaimana tuntutan-tuntutan yang dibuat oleh NGO-NGO hak asasi manusia ini telah mencabar kedudukan Islam sebagai agama Persekutuan.

Ianya turut dibuat melalui platform yang tidak sah seperti COMANGO kerana hanya 12 dari 54 daripada mereka, berdaftar dengan Pendaftar Pertubuhan Malaysia.

Proses UPR ini berlangsung setiap empat tahun sekali. Walaupun telah terlibat sejak tahun 2013, Isma dan Wanita Isma mengambil kesempatan ini bagi memahami dengan lebih mendalam perjalanan UPR dan meneliti laporan hak asasi manusia yang telah dikemukakan yang seringkali tidak tepat dengan suasana sebenar di Malaysia.

Sebagai contoh, terdapat laporan mengatakan bahawa Malaysia telah bertindak ganas dan membunuh penganut Syiah sedangkan hal demikian terjadi di negara tetangga.

Begitu juga penting bagi NGO-NGO Islam membentangkan analisis mengenai syariat Islam yang harmoni dengan hak-hak asasi manusia yang diterima sejagat seperti hak pendidikan, hak tidak mendiskriminasikan gender dan banyak lagi.

Dalam isu hak wanita, di mana undang-undang Syariah Islam sering digambarkan sebagai tidak adil dan mendiskriminasikan wanita, wanita Isma di dalam Persidangan Wanita Islam Antarabangsa (PERWANIS) 2016 telah membentangkan fakta daripada laporan The Millennium Development Goals 2015 (MDG) oleh PBB.

Menurut laporan MDG, jurang perbezaan gender semakin berkurang di Malaysia sejak bertambahnya kadar penyertaan tenaga buruh wanita (female labour force participation rate atau FLPR) yang meningkat kepada 53.6 peratus pada tahun 2014.

Kesaksamaan gender juga telah dicapai bagi kadar penyertaan wanita dan lelaki untuk sekolah rendah. Malah Malaysia menyaksikan fenomena wanita mengatasi lelaki dalam penyertaan bagi persekolahan peringkat menengah (93% vs 87.2%).

Dalam kadar menamatkan pembelajaran, sekali lagi wanita mendahului lelaki dengan 99.7 peratus menamatkan pengajian di peringkat rendah, berbanding 98.7 peratus lelaki, dan 93.7 peratus wanita berjaya menghabiskan pengajian, berbanding 86.4 peratus lelaki.

Kemasukan pelajar ke universiti pada sesi 2013/2014 juga mencatatkan wanita agak jauh meninggalkan lelaki dengan 68 peratus daripada mahasiswa adalah wanita.

Laporan ini juga menyebut terdapat peningkatan wanita sebagai pembuat dasar. Dalam sektor pekerjaan awam, 32.6 peratus daripada jawatan pembuat dasar adalah wanita.

Ini melebihi sasaran pencapaian yang ditetapkan iaitu 30 peratus. Manakala di dalam sektor swasta pula, peratusan pembuat dasar di kalangan wanita juga menghampiri sasaran iaitu sebanyak 29.5 peratus.

Semestinya masih terdapat beberapa masalah yang dihadapi oleh wanita seperti kes-kes penceraian dan tuntutan nafkah yang tertangguh, penderaan domestik dan lain-lain, yang bergantung kepada implementasi penguatkuasaan yang lemah, namun hakikat yang terpaksa diakui oleh PBB ialah melalui instrumen MDG, peningkatan pencapaian wanita dalam sasaran yang mereka tentukan sendiri, berlaku ketika Malaysia teguh dengan Perlembagaan Persekutuannya meletakkan Islam sebagai agama tonggak negara.

RUJUKAN
1. https://azrilmohdamin.com/…/tuntutan-tuntutan-comango-untu…/
2. https://azrilmohdamin.com/…/pertahankan-kedaulatan-islam-d…/
3. http://www.sinarharian.com.my/…/menghadapi-pusingan-ketiga-…
4. http://www.ismaweb.net/…/malaysia-tolak-tuntutan-comango-s…/
5. http://www.ismaweb.net/20…/…/comango-and-isma-an-evaluation/
6. Universal Periodic Review. A practical guide for civil society. Revised edition July 2014. www.ohchr.org
7. United Nations Human Rights Council. A practical guide for NGO participants. Revised edition Feb 2013. www.ohchr.org

Prof Madya Dr Rafidah Hanim Mokhtar
Ketua Penerangan Wanita Isma
23 Julai 2016

Sumber: http://www.ismaweb.net/2016/07/proses-universal-periodic-review-dan-kedaulatan-islam-di-malaysia/

www.indahnyaislam.my

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *



Sumbangan
Related Posts