Puasa di sini lebih baik: Warga Rohingya

 

KUALA ROMPIN – Sebagai warga asing di negara orang, perkara yang paling menggembirakan sudah tentu jika dapat pulang menyambut Ramadan atau berpuasa di kampung halaman bersama keluarga.

Bagaimanapun, situasi itu bagaikan mustahil bagi pelarian etnik Rohingya di negara ini yang tidak dapat pulang kerana perlu meneruskan hidup dalam apa jua situasi hingga merasakan negara ini lebih baik daripada negara mereka, Myanmar walaupun isteri, anak dan ibu bapa masih berada di sana.

Pekerja syarikat sub kontraktor Alam Flora, Zabu Rahman Zaraman, 27, mengakui tidak pernah pulang sejak masuk ke negara ini pada 2014 walaupun keinginan untuk pulang sangat tinggi.

“Saya masih ada keluarga di kampung dan memang rindu mereka terutama isteri dan anak. Tapi saya tetap tunaikan tanggungjawab dan akan hantar wang belanja selepas dapat gaji setiap bulan.

“Saya nak balik tapi tak dapat sebab konflik agama yang berlaku di sana. Walau beza bangsa dan negara tapi amalan ibadah sama saja cuma di Malaysia jauh lebih selesa,” katanya ketika ditemui Sinar Harian di sini.

Osman Juhar Hussineddin, 23, berkata, sebagai umat Islam ibadah yang dikerjakan pada bulan Ramadan tidak banyak beza seperti bersahur, berbuka dan solat sunat tarawih.

Bagaimanapun, mereka tidak dapat melakukan solat tarawih berjemaah di masjid atau surau atas kekangan masa yang agak padat selain penat bekerja.

“Di sini kami tarawih berjemaah di rumah, Bukan tak boleh solat dengan penduduk tempatan di sini di masjid tapi balik kerja sudah penat.

“Kami habis kerja jam 4 petang, balik rumah mandi selepas itu pergi beli barang makanan untuk dimasak. Setiap hari begini kerana di rumah tiada peti sejuk,” katanya.

Osman berkata, berpuasa di Malaysia lebih baik dan dia bebas untuk pergi ke mana-mana kerana lebih selamat selain pemimpin negara juga dari kalangan orang Islam.

“Di negara saya, pemerintah bukan beragama Islam jadi kami tak dapat solat dengan rasa aman. Mereka juga menindas kaum kami seperti kanak-kanak tak dibenarkan ke sekolah dan menganggap kami orang luar dengan tidak memberikan kerakyatan.

“Saya gembira berpuasa di sini sebab kami boleh beli macam-macam untuk berbuka. Pergi pasar raya boleh beli ikan dan daging untuk digoreng. Jika di kampung bulan puasa kami biasa makan cendawan goreng dan ubi kentang masak kari, semua tu tak susah nak dapat di sini dan saya pun boleh masak sendiri,” katanya.

Menurutnya, berikutan tinggal di dalam rumah bersama lebih 20 rakan senegara, mereka terpaksa membuat pembahagian kumpulan giliran memasak juadah berbuka puasa.

Sementara itu, seorang lagi etnik Rohingya, Abu Sidik Mohammad, 27, mengakui turut bersedih dan merasakan seolah-olah badan sahaja di negara ini tetapi hati di negaranya.

Kerap teringat isteri dan dua anaknya di kampung, hampir setiap hari dia menghubungi mereka melalui aplikasi dalam telefon pintar yang lebih menjimatkan berbanding menggunakan panggilan telefon biasa.

Tiba di Pulau Pinang pada Januari 2014, dia bersama dua lagi rakannya itu berasal dari kampung yang sama dan setakat ini tidak pernah berpisah walau ke mana pun mereka bekerja.

Pernah berpindah randah untuk bekerja kebanyakannya sebagai pencuci, pada Januari 2016 mereka mula bekerja dengan Alam Flora di Jerantut, kemudian di Bentong dan terkini di Kuala Rompin.

Walaupun sukar untuk berkomunikasi pada peringkat awal, namun mereka tetap berusaha belajar bahasa Melayu dengan rakan warga asing lain yang dikenali di setiap tempat mereka bekerja.

“Mula sampai tak pandai cakap Melayu, kami belajar dengan bangsa lain yang dah pandai, bila ada kawan yang dah pandai, kami belajar pula dengan dia, kalau tak pandai lagi kawan yang pandai kena jadi jurucakap,” katanya. – Sinar Harian

www.indahnyaislam.my

 

 

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published.



Sumbangan
Related Posts