Punca fahaman ateisme, liberalisme galak tersebar

 

BANGI – Doktrin pelaksanaan ajaran Islam di Malaysia yang tidak dijadikan satu kewajipan dalam kehidupan bernegara menjadikan fahaman ateisme mudah tersebar.

Menghuraikan perkara itu, Pensyarah Kanan Fakulti Sains Pentadbiran dan Pengajian Polisi, UiTM Kelantan, Dr Iskandar Hasan Tan Abdullah berkata, di negara-negara Eropah dan Amerika Syarikat, doktrin perlaksanaan ajaran Kristian telah menjadi satu kewajipan dalam kehidupan bernegara kerana merupakan sumber perundangan.

Namun, sebaliknya di Malaysia di mana agama Islam hanya menjadi sebagai keperluan dan bukan satu kewajipan kehidupan bernegara.

Justeru, beliau berkata, tidak menghairankan jika golongan tidak beragama (ateis) wujud dalam kalangan umat Islam di negara ini.

“Golongan ini sememangnya telah lama wujud dalam kalangan bukan Islam sejak 1990, tetapi dipandang ringan persatuan-persatuan agama bukan Islam.

“Ledakan fahaman ateisme dan liberalisme dalam kalangan orang Islam di negara ini berlaku akibat perkembangan pesat penggunaan alam maya.

“Tetapi jika idea kebebasan hidup dalam beragama dikembangkan kepada umat Islam, maka idea tersebut akan dipelbagaikan dan berkekalan. Maka golongan anti Islam ini menggunakan idea liberalis dalam kehidupan manusia. Tujuannya menggunakan logik akal dalam memesongkan pegangan akidah umat Islam,” katanya dalam satu artikel yang diterbitkan dalam Sinar Online, hari ini.

Mengulas lanjut, beliau berkata, idea liberalisme mampu meruntuhkan pengaruh sesuatu parti.

“Mereka tahu UMNO dan PAS sebati dalam politik Malaysia. Untuk melemahkan pengaruh kedua-dua parti berteraskan agama dan bangsa, maka idea liberalisme perlu disebarkan dengan tujuan mengubah budaya geo-agama dan politik di Malaysia.

“Perjuangan mereka dapat dilihat dalam isu menghalalkan penggunaan kalimah Allah dan tudung tidak dibenarkan dipakai dalam pekerjaan industri perhotelan.

“Jika ingin didebatkan dalam konteks penggunaan kalimah Allah maka cadangan ini perlu digunakan dalam prinsip Rukun Negara, iaitu menukar prinsip Kepercayaan Kepada Tuhan kepada Kepercayaan kepada Allah selaras Perkara 3 Perlembagaan Persekutuan Malaysia, tetapi golongan liberalis tidak bersetuju kerana mempunyai implikasi ke atas Prinsip Rukun Negara lain iaitu Keluhuran Perlembagaan.

“Mahu tidak mahu, fahaman ateis dan liberalis ini bertentangan dengan Perkara 11, Perlembagaan Persekutuan.
Perlembagaan Persekutuan hanya memperuntukkan konsep kebebasan beragama dan bukannya tidak beragama.

“Tambahan pula, kebebasan beragama ini merujuk kepada tata susila agama selaras Prinsip Rukun Negara iaitu Kesopanan dan Kesusilaan.

“Jadi fahaman liberalis ini turut bertentangan dengan tata susila beragama di negara ini, tetapi kenapa sebahagian individu dalam golongan ini masih kebal dengan perundangan Perlembagaan Persekutuan? Adakah hal ini mempunyai kaitan politik atau ekonomi, atau kedua-duanya?,” soalnya. – Ismaweb

www.indahnyaislam.my

——

Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam:

MYDAKWAH RESOURCES
5628 3464 5315 (Maybank Islamik)

 

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published.



Sumbangan
Related Posts