Qari OKU wakili Malaysia dalam Majlis Tilawah dan menghafaz Al-Quran peringkat Antarabangsa

Qari orang kurang upaya (OKU) dari Kelantan, Muhammad Qayyim Nizar Sarimi bersama tiga lagi peserta bakal mewakili negara dalam Majlis Tilawah dan Menghafaz Al-Quran Peringkat Antarabangsa (MTHQA) ke-63 Tahun 1145 Hijrah/2023 Masihi yang berlangsung pada 19 hingga 24 Ogos ini.

Sementara itu, acara hafazan menyaksikan Ahmad Ikmal Mohd Ridhuan dari Johor dan Dian Karisma Mohd Japar (Sabah) akan menyaingi peserta dari negara lain dalam majlis yang diadakan di World Trade Centre Kuala Lumpur nanti.

Bertemakan ‘Perpaduan Teras Malaysia Madani’, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar berkata, acara tersebut bakal menampilkan 76 peserta keseluruhannya dari 52 buah negara.

Katanya, mereka bakal diadili seramai 20 orang hakim dari pelbagai negara. 

“Semua peserta itu telah melalui sesi ujian saringan yang diadakan pada Mei dan Julai lalu, masing-masing di Terengganu serta Melaka,” katanya dalam satu kenyataan sempena sidang media majlis pra pelancarannya di ibu negara pada Selasa.

Jelas beliau, Malaysia sememangnya terkenal dengan penganjuran MTHQA sama ada di peringkat kebangsaan mahupun antarabangsa sejak dianjurkan buat pertama kalinya pada 8 Mac 1960.

Malah katanya, negara pernah menerima pengiktirafan bagi kategori Penganjuran Al-Quran Terbaik 2016 oleh Kuwait International Prize of Holy Quran.

“Penganjuran acara tahunan oleh Kerajaan Malaysia ini adalah sebagai manifestasi bagi menzahirkan komitmen pihak kerajaan dalam menerapkan budaya minat membaca al-Quran dan memahami inti patinya serta mengaplikasikan tuntutan serta larangan Yang MAHA ESA dalam amalan kehidupan kita,” ujarnya.

Majlis perasmian MTHQA ke-63 bakal disempurnakan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 19 Ogos ini, jam 8.45 malam.

Pada 24 Ogos ini, Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah Ibni Almarhum Sultan Azlan Muhibbuddin Shah Al-Maghfur-Lah dan Raja Permaisuri Tuanku Zara Salim berkenan mencemar duli berangkat untuk perasmian penutupan dan pengurniaan hadiah kepada para pemenang.

Selain tunai daripada kerajaan, johan bagi kedua-dua kategori yang dipertandingkan bakal menerima tajaan emas oleh Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YaPEIM) berserta hadiah iringan dan sijil penyertaan.

Majlis anjuran Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) itu boleh disaksikan secara langsung menerusi RTM 1 bermula dari jam 8.45 malam hingga 11.30 untuk kategori tilawah dan TV AlHijrah bagi acara hafazan (9 pagi hingga 12 tengah hari). – Sinar Islam Plus

www.indahnyaislam.my

—-—

Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam:

www.indahnyaislam.my/Sumbangan-Indahnya-Islam

PERSATUAN INDAHNYA ISLAM

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *



Sumbangan
Related Posts
Read More

Keberkatan sahur

  1. RASULULLAH ﷺ sangat menggalakkan kita umat Islam agar bersahur. Dalam sebuah hadis yang sahih, Rasulullah ﷺ menyebutkan:…