Qatar tolak senarai ‘pengganas’ dikeluar empat negara Arab

 

DOHA – Qatar menolak tuduhan menyokong individu dan entiti yang disenaraikan sebagai ‘pengganas’ oleh empat negara Arab, yang telah memutuskan hubungan diplomatik dengan Doha.

Arab Saudi, Emiriah Arab Bersatu (UAE), Mesir dan Bahrain mengeluarkan senarai 59 individu dan 12 kumpulan serta entiti yang didakwa ada hubungan dengan Qatar dan berkaitan pengganas.

Dalam kenyataan bersama oleh keempat-empat negara Arab berhubung ‘senarai penyumbang kewangan pengganas’, sekali lagi menunjukkan tuduhan tidak berasas, kata kerajaan Qatar.

Senarai itu termasuk ulama terkenal Islam, Yusuf al-Qaradawi dan pertubuhan amal Qatari.

Profesor di Universiti Qatar, Mahjoob Zweiri berkata, senarai yang dikeluarkan itu adalah sebahagian daripada kempen fitnah terhadap Qatar.

“Mereka memburuk-burukkan Qatar dan cuba menjadikan senarai itu sebagai bukti. Senarai itu meragukan kerana ada badan dalam Kementerian Hal Ehwal Sosial Qatar, yang memantau kerja amal dan setiap wang yang diperoleh,” katanya.

Badan amal ini bekerjasama dengan agensi bantuan antarabangsa, termasuk Agensi Pembangunan Antarabangsa Amerika Syarikat (USAID) dan Oxfam – agensi berpangkalan di United Kingdom – di zon konflik di Syria dan Iraq, katanya.

Di London, Pertubuhan Hak Asasi Arab (AOHR) berpangkalan di United Kingdom mengeluarkan kenyataan mengutuk senarai dikeluarkan empat negara itu dan menganggapnya sebagai tidak tepat.

“Senarai itu jelas dibuat sesuka hati, demi agenda politik, tanpa bergantung kepada apa-apa keterangan dan berat sebelah. Takrif undang-undang yang tepat dan jenayah keganasan perlu dibuat oleh badan kehakiman yang bebas, yang bukan daripada empat negara itu,” kata pertubuhan berkenaan.

AOHR juga berkata, senarai itu melanggar undang-undang dan jelas satu fitnah, hingga meletakkan individu serta badan kebajikan berkenaan dalam risiko. – Ismaweb

www.indahnyaislam.my

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *



Sumbangan
Related Posts