Quranic Valley Afzan semarak penghayatan al-Quran warga sekolah

KUANTAN – Laman Quranic Valley Afzan yang dilancarkan pada Jumaat lalu menjadi mercu tanda bermesej dalam usaha menyemarakkan penghayatan al-Quran buat warga Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tengku Afzan di sini.

Quranic Valley Afzan berinspirasikan Program My#QuranTime yang disiarkan stesen TV Alhijrah juga menjadi mercu kejayaan sekolah itu yang memiliki kelas aliran agama (kelas kemahiran al-Quran).

Idea bagi mewujudkan laman Quran itu dicetus bekas pengetuanya, Haniliza Sulaiman pada awal tahun lalu.

Haniliza yang kini bertugas sebagai Ketua Penolong Pengarah Kanan, Sektor Pendidikan Khas, Jabatan Pendidikan Negeri Pahang bangga dan terharu apabila dijemput untuk merasmikan Quranic Valley Afzan itu pada Jumaat lepas.


Beliau berkata, laman Quranic Valley Afzan yang terletak di pintu masuk sekolah itu juga menjadi mercu tanda selamat datang dengan sinergi al-Quran yang mendamaikan kepada warganya dan pengunjung lain.

“Ia satu usaha dalam menyemarakkan penghayatan al-Quran buat warga sekolah ini kerana kitab suci itu bila dibaca dan difahami akan menyentuh nilai kehidupan,” katanya.

Haniliza berkata, daripada satu kawasan surau yang biasa, ia berubah menjadi laman yang bermakna atas kesungguhan warga sekolah itu merealisasikan komitmen tersebut.

Bagi Pengetua SMK Tengku Afzan, Sharida Abd Latif, kewujudan laman itu ada auranya yang tersendiri bahkan pernah mendapat pujian nazir penyeliaan Kurikulum Pendidikan Islam baru-baru ini.


Menurutnya, melihat kepada papan tanda zikir sepanjang laluannya seolah-olah berada di sekolah agama.

“Bagi kami yang penting adalah mesejnya sangat jelas dan sentiasa dihayati warga sekolah ini,” katanya.

Sementara itu, bagi Pengurus Projek Quranic Valley Afzan, Rozamli Mohd Rozak, sebagai tenaga pengajar kelas kemahiran al-Quran, laman bermesej itu bertujuan membugarkan penghayatan al-Quran dalam kalangan pelajar dan warga sekolah yang lain.

Menurutnya, kempen infak bagi menjayakan projek itu juga sebagai legasi akhirat buat guru dan pelajar yang telah meninggalkan sekolah itu.

Laman Anjung Quranic Valley antara tema yang terdapat di Quranic Valley SMK Tengku Afzan.
“Hidup akan lebih bermakna bila ada erti di sebalik tindakan.

“Begitu juga dengan ilmu, ia akan berbekas bila hati dan hidup berpandu Ilahi bukan nafsu dan itulah roh Quranic Valley Afzan ini,” katanya.

Rozamli yang juga sekretariat Rumah Ngaji Pahang berkata, cadangan penubuhan laman itu dibentangkan dalam Mesyuarat Jawatankuasa Bina Insan tahun lalu.

Menurutnya, melalui kempen infak yang dilancarkan, laman itu dibangunkan dengan menempatkan sebuah gazebo dilengkapi kerusi dan meja batu serta laman-laman bertema.

“Antara temanya, Laman Botani Quranik, Pondok Teduhan Wahyu, Laman Zikir Terapi dan Anjung Quranic Valley.

“Laman ini berfungsi sebagai hentian rehat untuk solat dan rawat dengan ruang luar untuk aktiviti pengajaran dan pemudahcaraan (PdPc), Klinik Celik al-Quran (CaQ), usrah, medan aktiviti kelab, Aspirasi MyQuran Time @Quran Hour dan Wadah Suluhan Ilmu dan Budi,” katanya. -Sinar Harian

www.indahnyaislam.my

—-—

Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam:

www.indahnyaislam.my/Sumbangan-Indahnya-Islam

PERSATUAN INDAHNYA ISLAM


Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published.



Sumbangan
Related Posts