Rasulullah SAW dan memelihara aqidah anak

 

1. Rasulullah ﷺ sangat menekankan keutamaan memelihara aqidah anak seorang Muslim. Al-Imam Ibn al-Qayyim menggambarkan bahawa seawal kelahiran anak kecil itu lagi kita telah dianjurkan untuk membisikkan azan di telinga mereka. Lafaz-lafaz tauhid yang menerobos telinga mereka menggambarkan betapa penerapan nilai aqidah perlu diterapkan sejak anak kecil itu lahir ke dunia lagi. (Tuhfah al-Maudud)

2. Baginda Nabi ﷺ juga dilihat mengajar anak-anak kecil tentang perihal aqidah sejak mereka kecil. Al-Imam al-Bukhari merekodkan bagaimana Nabi ﷺ menggunakan pendekatan ‘casual’ dalam mendekati Ibn Abbas dengan kefahaman aqidah. Rasulullah ﷺ dikatakan mengajar Ibn Abbas tentang perkara aqidah ketika Baginda ﷺ menunggang tunggangannya bersama Ibn Abbas. Sabda Nabi ﷺ:

يَا غُلَامُ, إِنِّي أُعَلِّمُكَ كَلِمَاتٍ: احْفَظْ اللَّهَ يَحْفَظْكَ, احْفَظْ اللَّهَ تَجِدْهُ تُجَاهَكَ, إِذَا سَأَلْتَ فَاسْأَلْ اللَّهَ, وَإِذَا اسْتَعَنْتَ فَاسْتَعِنْ بِاللَّهِ,

Maksudnya: Wahai anak! Sesungguhnya aku ajarkan kepadamu beberapa perkara. Jagalah Allah, maka Allah akan memelihara engkau. Sekiranya engkau ingin meminta sesuatu, maka mohonlah bantuan dari Allah! (al-Bukhari)

Lihatlah, betapa anak kecil ini sudah mula diberikan didikan oleh Nabi ﷺ dengan perkara aqidah.

3. Al-Imam al-Bayhaqi merekodkan bahawa Rasulullah ﷺ berpesan kepada Ibn Abbas dan Ibn Amru (riwayat Ibn al-Sunni), bahawa perkataan pertama yang seharusnya diajarkan kepada anak kecilmu adalah kalimah tauhid. Sabda Nabi ﷺ kepada Ibn Abbas:

افتحوا على صبيانكم أول كلمة لا إله إلا الله ولقنوهم عند الموت لا إله إلا الله

Maksudnya: Ajarkanlah atau jadikanlah perkataan pertama pertama anak kecilmu perkataan Lailahaillah. Dan ajarilah mereka saat kematian mereka juga perkataan Lailahaillah. (Shuab al-Iman)

4. Begitu juga dengan Muaz. Ketika Baginda ingin mengutus beliau sebagai duta Islam ke Yaman, Rasulullah ﷺ berpesan kepada beliau supaya diutamakan perkara aqidah daripada yang lain. Sabda Nabi:

قال إنك تأتى قوماً أهل كتاب ، فليكن أول ما تدعوهم إليه : عبادة الله وحده

Maksudnya: Sesunggunhnya Muaz, engkau akan berhadapan dengan ahli Kitab, maka perkara pertama yang perlu engkau seru mereka adalah mengabdikan diri hanya kepada Allah sahaja.

5. Sunnah Rasulullah ﷺ ini dapat juga kita fahami melalui perilaku sahabat. Jundub al-Bajlli turut menceritakan bagaimana ketika mereka muda remaja, Rasulullah akan menekankan tentang perkara aqidah dahulu sebelum pengajian Quran (Shuab al-Iman). Begitu juga dengan Ummu Sulaym yang mengajarkan Saidina Anas tentang lafaz tauhid sebelum perkara yang lain (Siyar A’lam al-Nubala).

6. Penekanan ini tidak lain tidak bukan adalah untuk menerapkan keutuhan aqidah sejak mereka kecil. Ini bagi mengelakkan mereka dari terjerumus dalam kekeliruan memahami makna Islam ketika mereka dewasa. Aqidah serta pemahaman yang kukuh akan membantu mereka menghadapi rintangan yang tidak terduga kelak.

Mudah-mudahan Allah memelihara kita dari fitnah yang tidak dijangka.

USTAZ DR AHMAD SANUSI AZMI
Pensyarah Kanan, Fakulti Pengajian Quran & Sunnah USIM

www.indahnyaislam.my

—-—

Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam:

MYDAKWAH RESOURCES
5628 3464 5315 (Maybank Islamik)

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published.



Sumbangan
Related Posts