Rayuan bapa demi keadilan Muhammad Adib

 

KUALA LUMPUR – Dalam keadaan hiba dan beremosi, Mohd. Kassim Abdul Hamid, 63, bapa kepada Allahyarham Muhammad Adib merayu agar penghakiman inkues anaknya dapat dilakukan dengan adil tanpa gangguan mana-mana pihak.

Mohd. Kassim menerusi rakaman video berdurasi 2.44 saat yang tular dalam laman sosial berkata, keputusan inkues yang ditetapkan pada 27 September ini adalah penentu sama ada keadilan untuk Allahyarham Muhammad Adib dapat ditegakkan atau sebaliknya.

“Saya menyeru kepada orang ramai untuk terus bersama-sama berdoa agar keputusan inkues nanti dapat memberi keadilan dengan sebaiknya. Kehidupan kami sekeluarga seolah-olah tidak sempurna memikirkan perihal keadilan Muhammad Adib yang telah tertangguh.

 

 

“Terima kasih kepada seluruh rakyat Malaysia yang membantu dan prihatin terutama mereka yang akan turut hadir pada 27 September ini untuk mendengar keputusan inkues tersebut,” katanya di sini hari ini.

Turut berada di samping Mohd. Kassim dalam video tersebut ialah Asma Aziz, ibu kepada Allahyarham Muhammad Adib.

Video rayuan bapa Allahyarham Muhammad Adib itu mula tular dalam laman sosial sejak pagi tadi dan menerima puluhan ribu reaksi daripada netizen yang menyatakan sokongan terhadap keluarga mangsa.

Mahkamah Koroner pada 21 Ogos lalu telah menetapkan 27 September sebagai tarikh keputusan prosiding inkues Allahyarham Muhammad Adib selepas meneliti semua keterangan yang diambil daripada saksi sebelum ini.

 

 

Prosiding inkues bagi menentukan punca kematian Muhammad Adib yang bermula pada 11 Februari lalu telah memanggil 30 saksi termasuk beberapa saksi pakar telah berlangsung selama 41 hari selain 137 eksibit dikemukakan.

Muhammad Adib, 24, yang merupakan anggota van Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Subang Jaya parah selepas dipercayai diserang dan dipukul perusuh dalam kejadian kekecohan di tapak Kuil Sri Maha Mariamman, USJ 25, Subang Jaya pada 27 November 2018.

Allahyarham menghembuskan nafas terakhir di Institut Jantung Negara (IJN) pada 17 Disember tahun lalu. – Utusan Online

www.indahnyaislam.my

—-—

Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam:

https://www.billplz.com/indahnyaislam

MYDAKWAH RESOURCES
5628 3464 5315 (Maybank Islamik)

Total
0
Shares
1 comment
  1. Semoga diberi ketabahan kepada keluarga Adib. Doa seluruh rakyat Malaysia insya Allah kebenaran akan memihak kepada Adib. Jasamu tetap dikenang.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *



Sumbangan
Related Posts