Redha ibu bapa buat hari tua lebih bermakna

Tempoh hari, kita baru meraikan hari warga emas yang teristimewa untuk insan-insan tersayang.

Menjelang tahun 2035, Malaysia akan menjadi sebuah negara tua. Pada tahun itu, terdapat lebih kurang 15 peratus rakyat berusia antara 60 hingga 65 tahun dan ke atas.

Bagi insan yang ketika ini berusia dalam lingkungan 40-an adalah calon yang bakal memenuhi kuota warga emas pada ketika itu.

Menurut perspektif Islam, seseorang individu berupaya menghadapi kehidupan pada hari tua itu secara lebih baik dan produktif sekiranya pada hari ini mereka berbuat baik kepada ibu bapa mereka.

Ini berdasarkan hadis nabi SAW: “Setiap dosa akan dilewatkan oleh Allah hukumannya mengikut kehendak-Nya sehingga hari kiamat, kecuali derhaka kepada ibu bapa. Maka sesungguhnya Allah akan menghukum kepada pelakunya semasa hidup sebelum kematian.” (Hadis riwayat al-Hakim).

Dan ingatlah dosa kepada ibu bapa akan dibalas di dunia lagi sebelum akhirat.

Bertuahlah badan, sekiranya ibu dan ayah masih ada di sisi. Teruslah berbakti kepada mereka walau sesibuk manapun kita menjalani urusan duniawi.

Ini kerana, apabila kita kehilangan mereka, amat terasa penyesalan untuk diputarkan kembali masa bagi berbakti kepada mereka.

Apabila melalui detik kehilangan itu, barulah hadir perasaan kecamuk rindu untuk sentiasa berbuat baik serta memohon keampunan kepada insan bergelar ibu bapa.

Bagaimanapun, janganlah berasa terlalu kecewa kerana peluang itu sebenarnya masih ada walaupun mereka sudah meninggalkan kita.
Sabda Rasulullah: Sesungguhnya Allah akan mengangkat darjat bagi seseorang hamba yang soleh di syurga. Maka dia berkata: Wahai Tuhan, dari mana aku dapat ini? Allah berfirman: Dengan istighfar anakmu kepadamu. (Hadis riwayat Ahmad).

Berbaktilah kepada ibu bapa bukan setakat berbuat baik sewaktu mereka masih hidup, malahan mestilah istiqamah walaupun mereka sudah berada di alam barzakh.
Allah berfirman dalam Surah Luqman, ayat 14: “Dan Kami wajibkan manusia berbuat baik kepada kedua-dua ibu bapanya; ibunya telah mengandungnya dengan menanggung kelemahan demi kelemahan (dari awal mengandung hingga akhir menyusunya), dan tempoh menceraikan susunya adalah dalam masa dua tahun; (dengan yang demikian) bersyukurlah kepada-Ku dan kepada kedua-dua ibu bapa mu; dan (ingatlah), kepada Akulah jua tempat kembali (untuk menerima balasan).”

Lagipun, berbuat baik kepada ibu bapa merupakan antara amalan paling dicintai oleh Allah sepertimana hadis yang diriwayatkan oleh Ibn Mas’ud yang mana beliau berkata: “Aku bertanya kepada Rasulullah SAW apakah amalan yang paling dicintai oleh Allah? Lalu baginda menjawab: “Mengerjakan solat pada waktunya”. Aku bertanya lagi, kemudian apa? Baginda menjawab: “Berbuat baik kepada ibu bapa.” Aku bertanya lagi, kemudian apa?

Baginda menjawab: “Jihad di jalan Allah.” (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim)

Bagi sesiapa yang sudah kehilangan kedua-dua ibu bapa, ia sama sekali tidak menghalang mereka untuk terus berbakti dan berbuat baik kepada orang tuanya.

Antaranya sentiasa mendoakan pengampunan dan kesejahteraan mereka di alam barzakh.

Amalan itu disebut jelas dalam hadis Rasulullah: “Tiga amalan seseorang yang tidak akan terputus meskipun sudah meninggal dunia iaitu sedekah jariah, ilmu yang bermanfaat dan doa anak yang soleh.” (Hadis riwayat Muslim)

Bagi anak-anak, siapakah yang dapat menggantikan tempat kedua-dua orang tua apabila mereka sudah tiada lagi di dunia ini?

Selagi masa masih bersisa, rebutlah peluang untuk berbakti kepada kedua-duanya.

Memang mudah menuturkan kata-kata sayang dan akan menjaga mereka sehingga ke akhir hayat.

Apabila kita diuji ketika mereka dalam keadaan uzur dengan ragam yang pelbagai, bersediakah kita untuk membuktikan janji manis kita kepada mereka?

Allah berfirman dalam al-Quran bermaksud: “Dan Tuhanmu telah perintahkan supaya engkau tidak menyembah melainkan kepada-Nya semata-mata dan hendaklah engkau berbuat baik kepada ibu bapa.

Jika salah seorang atau kedua-duanya sekali, sampai kepada umur tua dalam jagaan dan peliharaanmu, maka janganlah engkau berkata kepada mereka (sebarang perkataan kasar) sekalipun perkataan ‘ah’ dan janganlah engkau menengking menyergah mereka, tetapi katakanlah kepada mereka perkataan yang mulia (yang bersopan santun).” (Surah al-Isra’, ayat 23)

Begitulah analogi kehidupan muda dan tua yang silih berganti dan perlu diingat, kita semua sebenarnya menuju ke arah travelog perjalanan usia tua seperti ibu bapa kita.

Cuma bagaimana lukisan kanvas qada dan qadar Allah sahaja yang mencoretkan warna hitam putih kesudahan cerita saki baki kehidupan kita nanti.

Maka panjang atau pendek umur seseorang bukanlah dilihat pada bilangan tahunnya, tetapi pada sedikit atau banyaknya amal kebajikan yang dikerjakan dalam hidupnya.

Umur sebenarnya adalah satu teka-teki dalam perkara-perkara ghaib yang hanya diketahui oleh Allah.

Ada hadis yang meriwayatkan bahawa umur umat Nabi Muhammad SAW itu hanyalah sekitar 60 hingga 70 tahun.

Jadi, tepuk dada tanyalah diri secara sejujurnya adakah kita bersedia untuk meninggalkan dunia ini.

Ramai antara kita yang tidak menghiraukan urusan mengingati kematian seolah-olah berasakan akan hidup sampai bila-bila.

Akibatnya, mereka tidak bersungguh-sungguh melakukan amal kebajikan dan memperbaiki serta muhasabah diri. -Kosmo

Dr. Zaizul Ab. Rahman
Penolong Dekan Hal Ehwal Pelajar,
Fakulti Pengajian Islam, Universiti Kebangsaan Malaysia.

www.indahnyaislam.my

—-—

Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam:

www.indahnyaislam.my/Sumbangan-Indahnya-Islam

PERSATUAN INDAHNYA ISLAM
5622 6352 7695 (Maybank Islamik)Share

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published.



Sumbangan
Related Posts