Resipi huffaz al-Quran raih 11A SPM

 

SABAK BERNAM [DIKEMASKINI] Seorang huffaz al-Quran memperoleh kejayaan cemerlang apabila memperoleh 11A dalam keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2019 yang diumumkan hari ini.

Daniel Haziq Mahadi, 17, dari Maahad Integrasi Tahfiz Selangor (MITS) Sabak Bernam memperoleh semua A dalam 11 subjek tersebut.

Daniel Haziq yang bergelar huffaz sejak berusia 16 tahun berkata, kaedah menghafaz al-Quran yang dipelajarinya ternyata resipi terbaik ketika menjawab peperiksaan.

“Sebenarnya apabila kita bergelar huffaz, lebih mudah untuk kita menghadam ilmu lain dengan lebih cepat terutama dalam pelajaran al-Quran dan sunnah, syariah Islamiah serta bahasa Arab,” katanya.

Daniel Haziq berkata, berkat menghafaz al-Quran juga dia mudah mengingati dan memahami pembelajaran di dalam kelas.

“Saya yakin ALLAH akan bantu jika kita mendampingi al-Quran kerana mukjizat teragung ini adalah kunci kepada kecerdasan fikiran,” katanya.

Daniel Haziq (berdiri, empat dari kiri) bergambar bersama guru dan rakannya selepas pengumuman SPM di MITS Sabak Bernam di sini hari ini.

Katanya, dia juga sering berkongsi ilmu dengan rakan lain bagi memudahkannya memahami pelajaran.

“Saya juga suka mengajar rakan yang tidak faham kerana teknik itu memudahkan saya mengingati apa yang saya ajar.

“Kita janganlah lokek ilmu kerana semakin kita belajar semakin pandai, selagi ada peluang capai kejayaan kita terus berjuang sebab ALLAH sentiasa bersama,” katanya.

Daniel Haziq bercita-cita menjadi pakar bidang animasi berkata, dia berhasrat menyambung pengajiannya di luar negara bagi meneroka teknologi itu.

“Saya berhasrat menimba ilmu animasi di United Kingdom kerana negara itu terkenal dengan filem animasi terkenal yang mempunyai seni visual dan grafik berteknologi tinggi,” katanya.

Sementara itu, Pengetua MITS Sabak Bernam, Dr Azammuddin Zainuddin berkata, keputusan SPM itu merupakan antara pencapaian terbaik tahfiz sejak penumbuhannya.

“Seramai 32 pelajar menduduki SPM tahun lalu dan kami memperoleh Gred Purata Sekolah (GPS) SPM 2.02 dan seorang pelajar memperoleh 11A dalam semua mata pelajaran.

“Kami juga menggalakkan mereka yang berkelayakan dan cemerlang dalam keputusan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) dan Peperiksaan Penilaian Sekolah Rendah Agama (PSRA) menyambung pendidikan di sini,” katanya. – Sinar Harian

www.indahnyaislam.my

—-—

Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam:

https://www.billplz.com/indahnyaislam

MYDAKWAH RESOURCES
5628 3464 5315 (Maybank Islamik)

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *



Sumbangan
Related Posts