Resolusi muzakarah permasalahan syarak berkaitan perjuangan Palestin

بسم الله الرحمن الرحيم

الحمد لله رب العالمين وصلى الله على سيدنا محمد وعلى آله وصحبه وسلم

Muzakarah Majlis Ulama ISMA (MUIS) dengan tema “Beberapa permasalahan syarak berkaitan perjuangan Palestin yang berlangsung   pada 18 November 2023 bersamaan 4 Jamadil Awwal 1445H bertempat di Bilik Mesyuarat Utama GSB UKM telah merumuskan perkara-perkara berikut: –

1. WAJIB kepada semua orang Islam, segenap peringkat, pemimpin mahupun rakyat membantu perjuangan pembebasan Palestin dari penjajahan Israel dan perjuangan ini adalah termasuk di dalam Jihad yang diperintahkan dalam al-Quran dan Hadith. HARAM bagi umat Islam bersikap berkecuali dalam keadaan tanah umat Islam dirampas dan umat Islam dizalimi.

2. HARAM hukumnya kepada mana-mana pihak secara individu, organisasi mahupun Kerajaan memberikan bantuan dalam apa jua bentuk kepada penjajah Israel termasuklah sokongan moral. Umat Islam WAJIB menggunakan segala kemampuan yang ada termasuklah kekuatan ekonomi untuk memboikot produk-produk yang diketahui membantu penjajah. Keculasan di dalam usaha ini boleh dikategorikan sebagai bersubahat dengan penjajah.

3. Muzakarah menyeru umat Islam untuk memberi keutamaan dalam perbelanjaan kepada “JIHAD HARTA untuk Palestin” melangkaui amalan dan perkara-perkara sunat. Umat Islam juga diseru untuk menangguhkan sebarang perbelanjaan yang tidak perlu dan mengelakkan pembaziran.

4. Muzakarah berpandangan adalah menjadi KEWAJIBAN umat Islam untuk meneruskan jihad harta sehingga Palestin dibebaskan melalui organisasi yang telus dan amanah. Muzakarah menyeru semua organisasi yang terlibat menjalankan kutipan jihad harta agar telus dan memastikan kutipan sampai kepada sasaran serta pengoperasian yang mematuhi hukum syarak. Adalah penting untuk semua organisasi yang terlibat bekerjasama antara satu sama lain, tidak berhasad dengki dan menimbulkan fitnah yang boleh menjejaskan keyakinan masyarakat terhadap badan yang menguruskan kutipan ke Palestin.

5. Tanah Palestin adalah tanah waqaf umat Islam. Mengembalikannya kepada pangkuan umat Islam adalah satu kefardhuan. HARAM menyerahkan hak milik walaupun seinci tanah itu kepada penjajah dengan apa cara sekalipun sama ada menjual, menghadiahkan mahupun memaksa penduduk Palestin mengosongkan tanah air mereka. Justeru, umat Islam WAJIB membantu agar rakyat Palestin KEKAL di tanah air mereka dengan segala bantuan meliputi kewangan, sokongan moral dan sebarang kempen pembebasan Palestin.

6. Muzakarah hari ini menolak penyelesaian Two-State Solution kerana hakikatnya ia menyerahkan sebahagian daripada tanah Palestin kepada penjajah. Muzakarah juga menuntut kerajaan menolak penyelesaian Two-State Solution.

7. Institusi ulama rasmi kerajaan dan bukan kerajaan hendaklah menyatakan pendirian tegas berkaitan kewajipan membebaskan Palestin, seiring dengan pendirian institusi-institusi ulama antarabangsa. Ini bagi melambangkan kesepakatan dan keseriusan ulama seluruh dunia dalam membimbing umat untuk membebaskan al-Aqsa dan menguatkan semangat para mujahidin di medan jihad.

8. Muzakarah mencadangkan agar pusat-pusat zakat negeri memperuntukkan  kutipan zakat untuk untuk asnaf fi sabilillah disalurkan kepada Palestin kerana para pejuang di medan peperangan menepati takrif fi sabilillah, juga sebagai satu tanda kebersamaan dalam menanggung beban dan tanggungjawab, dalam masa yang sama boleh dikatakan kesemua asnaf wujud di tanah Palestin.

9. Para ulama dan asatizah hendaklah melipatgandakan usaha memberi kefahaman kepada masyarakat dan mengekalkan ruh jihad dalam nadi umat. Muzakarah ini mencadangkan agar guru-guru takmir melalui JAKIM menjadikan modul “Sejarah al-Aqsa” sebagai salah satu silibus yang diajar di masjid dan surau di Malaysia. Pihak Majlis Ulama ISMA sedia untuk bekerjasama dalam pembangunan modul berkenaan.

Semoga Allah memberi kemenangan kepada umat Islam, al-Aqsa dibebaskan dan memasukkan kita ke dalam golongan mujahideen dan murobitin.

وصلى الله على سيدنا محمد وعلى آله وصحبه وسلم

والحمد لله رب العالمين

Majlis Ulama ISMA (MUIS)

www.indahnyaislam.my

—-—

Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam:

www.indahnyaislam.my/Sumbangan-Indahnya-Islam

PERSATUAN INDAHNYA ISLAM

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *



Sumbangan
Related Posts