Rumah dan isteri, harta dan warisan, dan harga sebuah perjalanan

 

SUATU hari dikatakan kepada Nabi Isa AS, tidakkah kamu mahu jika kami berikan kamu sebuah rumah ?

Lalu baginda AS menjawab : Apakah pandanganmu terhadap sesuatu yang dibina di atas ombak ?

Mereka menjawab : Sudah pasti tidak akan kekal.

Lalu mereka bertanya lagi, tidakkah kamu mahu beristeri ?

Kemudian baginda AS menjawab : Apakah pula yang aku boleh lakukan kepada seorang mayat ?

Dipetik daripada kitab Az-Zuhd oleh Imam Ahmad bin Hanbal.

Suatu jawapan yang memberi pelbagai perspektif dalam melihat dunia dan isinya. Perspektif yang melihat dunia dalam kerangkanya yang hakiki, dan melihat nikmat-nikmat dunia sebagai bekalan yang sementara.

Cara fikir ini jarang-jarang kita dengar, khususnya pada zaman di mana penilaian material menjadi pemberat utama dalam melihat hakikat dunia dan isinya.

Mengenai harta, suatu hari Umar Abd Aziz ketika hujung usianya, ditanya mengenai apakah beliau tidak ada meninggalkan harta untuk anak-anaknya ?

Lalu beliau menjawab : “Anak-anakku hanya ada dua golongan. Sama ada golongan orang yang saleh atau sebaliknya.

Jika mereka adalah golongan orang saleh, maka Allah akan menjaganya.

Jika mereka adalah sebaliknya, maka aku tidak mahu membantu seseorang yang jahat untuk melakukan kejahatan.”

Mungkin sebahagian daripada kita akan melihat kata-kata ini sebagai berlebih-lebihan kerana ada juga saranan hadis Nabi SAW kepada sahabat RA apabila dia mahu mensedekahkan keseluruhan hartanya sebelum beliau meninggal dunia, lalu Rasulullah SAW mengatakan lebih baik kamu tinggalkan mereka dalam keadaan serba cukup daripada mereka meminta-minta, dan sepertiga daripada harta yang ditinggalkan untuk disedekahkan itu pun sudah dikira banyak untuk disedekahkan.

Namun bagi sesiapa yang mendalami ‘hikmah’ Rasulullah SAW akan mendapati bahawa setiap jawapan Rasulullah SAW itu terkandung ‘fiqh’ ke atas jiwa manusia yang khusus.

Perkara ini mudah difahami dengan kita melihat beberapa hadis yang ditanyakan kepada Rasulullah terhadap apakah dia sebaik-baik amalan dan apakah pula wasiat yang paling penting.

Ada yang dijawab : Solat pada awal waktu. Ada pula yang dijawab : Jangan marah. Ada pula yang dijawab : Katakanlah Aku beriman kepada Allah kemudian beristiqamahlah. Dan seumpamanya.

Mengapa jawapannya berbeza sedangkan soalannya sama ?

Ini kerana setiap manusia yang bertanya mempunyai kondisi jiwa yang berbeza, latar belakang yang berbeza dan permasalahan yang berbeza. Jadi jawapannya tentu berbeza.

Demikian juga saranan untuk tidak menghabiskan Al-Quran kurang daripada tiga hari kerana ia tidak akan memahaminya, hadis itu disebut kepada Abdullah bin Amr bin Al-Aas, seorang pemuda pada ketika mana saidina Uthman Al-Affan RA pada ketika itu mengkhatamkan Al-Quran pada satu malam. Adakah dia termasuk dalam ‘celaan’ hadis itu ? Sudah pasti tidak.

Demikian juga dalam bab infaq, Rasulullah SAW menerima sedekah Abu Bakar As-Siddiq RA dengan keseluruhan hartanya ketika perang Tabuk, dalam masa yang sama selepas perang Tabuk, dalam kes Kaab bin Malik RA, selepas diisytiharkan penerimaan taubatnya, beliau mahu menginfaq keseluruhan hartanya, namun Rasulullah SAW menolaknya dan mengatakan : Simpanlah separuh hartamu.

Ini kerana setiap perkataan yang dikatakan Rasulullah SAW kepada para sahabat bersesuaian dengan ‘jiwa’ seseorang sahabat pada ketika-ketika itu.

Walaupun ulama mengambil nas-nas hadis itu sebagai kaedah umum dalam syariat dan membina fiqh atas dasar itu, namun seseorang yang mahukan ketinggian akan cuba mencapai tahap jiwa sahabat yang lebih tinggi dan lebih mulia.

Oleh itu kita perlu sentiasa jelaskan kefahaman, mendalamkan dzon kita kepada Allah SWT, dan cuba meniti jalan-jalan keyakinan dengan meningkatkan status hubungan kita dengan Allah SWT.

Hanya kerana, hanyasanya Dialah ‘tujuan’ dan ‘matlamat’.

وأن إلى ربك المنتهى

Wallahua’lam bissawaab.

Ustaz Syamil Esa

www.indahnyaislam.my

—-—

Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam:

https://www.billplz.com/indahnyaislam

MYDAKWAH RESOURCES
5628 3464 5315 (Maybank Islamik)

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *



Sumbangan
Related Posts